Social Icons

Pages

Tuesday, 8 May 2012

Aku Saksi? Ko Seriyes? (part 2)




AMARAN: Artikel ini memerlukan tahap khayalan/gambaran/penghayatan beresolusi tinggi (HD). Pihak kami sama sekali tidak akan bertanggungjawab di atas segala kehilangan nyawa, harta benda, kunci loker dan lain-lain. Dah sapa suruh korang baca. Haha. Layan…

Tips: Untuk mendapatkan penghayatan terbaik, diharapkan dapat menyelami cerita ini dengan bersungguh-sungguh. Kalau boleh sambil pejam mata. Eh, tapi kalau pejam mata macam mana nak baca pulak? Haha jadi buat-buat macam pejam mata je la okey?...




   Bangunan ini bangunan lama. Sudah lama ditinggalkan tidak berpenghuni. Menurut datuk anda, bangunan ini merupakan tinggalan sejarah pra-kemerdekaan dahulu. Suatu ketika dahulu, ianya pernah dijadikan bangunan pentadbiran British di pekan ini. Namun, akibat tidak dijaga dengan baik, yang tinggal bukan lagi sekadar tinggalan sejarah, malah lebih menjurus kepada tinggalan sarang-sarang kelawar dan burung walit, dan tinggalan najis-najis mereka, yang baunya macam harem itu. Anda sendiri hairan mengapa bangunan ini masih segan-segan untuk dirobohkan oleh pihak berkuasa. Hanya menyakitkan mata memandang. Apatah lagi di tengah malam-malam begini. Menyakitkan mata dan bulu roma.
 
 Kira-kira beberapa langkah sahaja lagi untuk anda dan Malik sampai ke lorong tersebut, tiba-tiba, dan tanpa disangka-sangka….

“BANG! BANG!!!”…..

 Kedengaran bunyi dua das tembakan dilepaskan. Bunyinya menggema ke seisi ruang angkasa.


“ Opocot mak engkau!” Hilang sudah macho anda tadi. Serta-merta anda berpaling ke arah bunyi tembakan itu berasal, sebagai tindak balas refleks terhadap bunyi yang amat kuat itu.

“Purr….”
  Habis bertempiaran berterbangan beratus-ratus ekor kelawar dari bumbung bangunan itu, beberapa ekor daripadanya masih sempat melepaskan beberapa ketul najis, sebagai tanda protes diganggu sebegitu di tengah-tengah malam begini…

“Opocot mak aku juga!!!” Malik turut tidak ketinggalan menyertai pesta latah itu. Dalam tidak disedarinya, seluar jeans lusuhnya sudah separuh basah, akibat terlalu terkejut.

   Bunyi tembakan itu rupa-rupanya berasal dari sepucuk pistol; yang anda tidak tahu, dan tidak pernah ambil tahu jenisnya, yang sedang di pegang oleh seorang lelaki. Lelaki itu berada kira-kira 30 meter dari anda berdua, sedang berdiri di tepi lorong itu. Dan di sebelah sana lorong, kelihatan seorang pemuda sedang terperosok ke dalam timbunan kotak-kotak di situ, mukanya kelihatan sedang menahan kesakitan yang amat sangat. Sambil mengerang kesakitan, pemuda itu memegang bahagian perutnya yang BERDARAH!. Ya berdarah.

  Berdasarkan kesimpulan ringkas yang sempat diproses oleh otak anda, nyata bahawa lelaki berpistol itu bukan seorang yang baik. Yang boleh diajak bersembang di kedai kopi.

  Dengan tidak semena-mena, lelaki itu berpaling ke arah anda dan Malik. Nampaknya  lelaki itu menyedari kehadiran anda.

“Hoi!!!” tempik lelaki itu. Kemarahan.

   Kini otak anda telah mampu berfungsi sepenuhnya. Nyata bahawa anda dan Malik telah menjadi saksi penting dalam kes jenayah ini. Ya, dan nyawa anda berdua kini dalam bahaya!

   Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Lelaki itu mula mengorak langkah, berlari ke arah anda sambil menjerit sesuatu. Tetapi, anda dan Malik sudah terlalu kaget untuk menangkap butiran jeritan lelaki itu. Mujurlah pengalaman luas anda sebagai seorang pengakap kanak-kanak sewaktu di bangku sekolah rendah dahulu banyak membantu. Dengan pantas anda merentap kuat tangan Malik, menariknya yang sudah tergamam akibat terlalu takut untuk melarikan diri.

   Langkah diayun sekuat-kuat hati. Bunyi tapak kaki masih kedengaran sayup-sayup mengejar di belakang. Tiba di satu lorong yang agak gelap, terlindung dari limpahan cahaya bulan, anda menarik Malik untuk membelok masuk ke lorong itu. Kaki mula terasa perit dan sakit, selipar jepun yang dipakai sebentar tadi entah hilang ke mana. Langkah mulai terasa semakin memperlahankan rentaknya akibat badan yang terasa sudah pancit.

   Walaupun anda pernah memenangi pingat gangsa dalam acara pecut temasya sukan sekolah, berlari sambil berkaki ayam dan menarik tangan Malik yang agak gempal itu terasa amat berbeza dengan memecut di atas padang trek sekolah. Apatah lagi anda tidak melakukan sebarang senaman regangan dan pemanas badan terlebih dahulu. Jika dilihat oleh guru pendidikan Jasmani anda, Cikgu Karim, pastilah beliau berasa amat marah akibat anda mengabaikan pesanannya itu.

  Tetapi itu semua sudah tidak penting lagi. Nyawa anda dan Malik yang sedang berada dalam bahaya, bagai telur di hujung tanduk itu lebih penting berbanding mematuhi pesanan Cikgu Karim supaya mamanaskan badan terlebih dahulu itu.

   Akibat kepenatan yang sudah menguasai diri, anda mula memperlahankan langkah.Nampaknya nasib menyebelahi anda berdua pada malam ini. Di tengah-tengah lorong itu terdapat sebuah tong sampah besar, yang diperbuat daripada besi, dan timbunan kotak-kotak dan surat khabar lama, yang terletak bertentangan antara satu sama lain.

   Tanpa berlengah, anda mengisyaratkan kepada Malik supaya bersembunyi di sebalik timbunan kotak-kotak besar itu, dan anda sendiri dengan pantas dan komfidennya terus melompat masuk ke dalam tong sampah besar itu.

“Bedebush….”

   Hanya setengah saat selepas itu barulah anda mengetahui bahawa anda telah mengambil pilihan yang amat, kurang bijak. Bau-bauan yang amat memualkan yang datangnya dari sampah-sarap, saki-baki makanan yang telah basi, bahkan sisa-sisa perut ayam mula menusuk tajam ke dalam rongga hidung anda. Hampir-hampir anda mengeluarkan segala isi perut anda yang baru sahaja diisi kira-kira tiga jam yang lepas. Mujurlah anda sempat menutup mulut dan hidung anda dengan kedua-dua tapak tangan.

   Ketika anda cuba untuk keluar kembali dari tong sampah itu, barulah anda menyedari bahawa anda sudah tidak punya masa lagi. Lelaki berpistol itu sudah sampai di hujung lorong tempat anda sedang bersembunyi sekarang ini, sedang terbongkok sambil memegang perutnya yang agak boroi itu, mungkin akibat kemengahan yang amat sangat.

   Segera anda kembali meniarap di dalam tong sampah itu, sambil menutup hidung dan mulut anda, berharap bahawa lelaki itu akan segera beredar. Malangnya, perkara sebaliknya yang berlaku. Dari sebalik lubang-lubang karat tong sampah itu, samar-samar anda dapat melihat lelaki itu berjalan kemengahan menuju ke arah anda dan Malik.

   Di sebelah sana lorong anda dapat melihat Malik, sedang menggigil ketakutan. Kedua-dua tangannya sedang memeluk erat lututnya bagi mengelakkannya daripada menggigil, justeru bakal mendedahkan kedudukannya kepada lelaki jahat itu.

   Selang beberapa detik kemudian, pemandangan yang anda saksikan amatlah mengejut dan mendebarkan. Sekarang anda pula yang terketar-ketar menyaksikan adegan yang berlaku di depan mata anda itu.
Tidak berapa jauh dari lokasi persembunyian Malik, seekor kucing kurus sedang berjalan, selangkah demi selangkah, mungkin sedang mencari sisa-sisa makanan yang ditinggalkan di tepi-tepi lorong itu. Setiap langkahannya semakin menghampiri Malik. Bulat mata anda melihat kucing itu semakin lama semakin menghampiri Malik. Tetapi tiada apa yang mampu anda lakukan untuk membantu Malik. Anda hanya mampu sekadar melihat.

   Kenapa anda takut? Tu kan kucing je. Mungkin itulah yang akan terlintas di minda orang lain. Tetapi anda tidak. Kerana anda tahu bahawa….

   Ya, Malik amat alahan kepada kucing. Amat. Sehinggakan melihat gambar kucing ataupun hello kitty yang menjadi gambar profil sahabat-sahabat facebook nya itupun dia sudah alahan. Inikan pula berjumpa di hadapan mata begini. Ini kerana… ya, anda sangat tahu itu. Bila Malik berada berhampiran kucing, dia akan…


“AAAAACCCHHHHUUUUUUMMMM!!!!!”

Malik terbersin dengan kuat sekali. Habis berterabur jatuh segala kotak-kotak yang tersusun di hadapannya itu, yang menjadi perlindungan terakhirnya daripada lelaki jahat itu. Kucing itu pula entah sudah lari lintang pukang ke mana, akibat terlalu terkejut.

   Ya, begitulah Malik. Anda sudah masak benar dengan kelakuan dan laku-tingkahnya itu. Malik akan terbersin apabila terbau bau kucing.

   Semuanya berubah sekelip mata. Lelaki itu yang sudah hampir beredar akibat gagal menemukan anda dan Malik itu berpaling semula ke arah anda sebaik sahaja terdengan bunyi orang terbersin. Apa yang dilihatnya sangat tidak diduga. Seorang pemuda bertubuh gempal, kira-kira 5 kaki 4 inci tinggi, sedang bergolek sambil terbersin-bersin di tepi timbunan kotak-kotak yang sudah jatuh berteraburan.

   Lantas bibirnya mengukirkan sekuntum senyuman jahat, ala-ala joker dalam filem batman itu. Tanpa berlengah, dia berjalan selangkah demi selangkah mendekati Malik. Anda yang hanya sekadar menyaksikan segala-galanya dari celah-celah lubang tong sampah majlis perbandaran itu. Anda amat tahu, bahawa dalam situasi sekarang ini, tiada apa yang mampu lakukan, selain menutup mulut rapat-rapat, bagi mengelakkan sebarang bunyi terkeluar, justeru dapat mendedahkan kedudukan anda pula.

   Walaupun anda pernah menonton di dalam drama-drama televisyen, dalam situasi seperti ini, pastinya akan ada hero yang keluar dari tempat persembunyian untuk membantu sahabatnya yang dalam bahaya ini. Biasanya hero ini akan mengetuk tengkuk penjahat sehingga pengsan. Ataupun untuk lebih dramatik lagi hero tersebut akan menawarkan dirinya sebagai ganti, untuk menyelamatkan nyawa sahabatnya.

   Namun anda cukup waras untuk tidak melakukan semua itu. Ini dunia reality, bukannya dalam mana-mana babar drama mahupun filem. Yang anda di sekitar anda hanyalah sampah-sarap dan kotak-kotak, macam mana anda nak ketuk kepala lelaki itu. Dan anda bukanlah cukup berani untuk menawarkan diri, menjadi galang-ganti kepada Malik.

   Sedang anda sibuk mengelamun seorang diri, anda tersentak apabila mendengar bunyi ketawa terbahak-bahak. Lelaki itu sekarang sudah sampai di hadapan Malik.

“ Hahaha. Hoi budak! Mana kau nak lari lagi ha!!!” sergah lelaki itu.

“Ttttto…. To… toloong…. Sa… sssaa… ssayya. Jjjaa… jjjjannngan apa-apakan sssaaa..sssaaayaa!” rayu Malik sambil terketar-ketar.

“Hahaha. Baiklah tapi kau mesti bagitau aku mana lagi sorang budak tu pergi! Cepat!!! Kalau tak aku tembak kau!!!” ugut lelaki itu sambil mengeluarkan sepucuk pistol yang diselit di belakang pinggangnya itu.

  Bulat mata Malik melihat pistol itu. Dia tidak pasti sudah berapa lama dia tidak terkencing dalam seluar seperti yang sedang dilakukannya sekarang ini. Dia tahu ‘budak itu’ yang dimaksudkan oleh lelaki itu adalah anda, sahabatnya.

   Malik mengerling sebentar ke arah tong sampah yang menjadi tempat persembunyian anda itu. Pandangan matanya bertembung dengan pandangan mata anda. Walaupun Malik tidak tahu bahawa anda sedang menyaksikan segala-galanya.  Wajahnya kelihatan sayu sekali.

“Sssaaaya… ssaya ttttaaakk ttttaahuu….” Cukup sukar untuk memahi butir-butir kata yang diucapkan Malik sambil terketar-ketar itu.

“Kau tipu!!!! Cepat!!! Sebelum aku tembak kau!!!”
 
   Herdik lelaki itu sambil mengacukan pistol tepat ke dada Malik sambil menarik picu pistol itu. Lelaki itu benar-benar serius. Bak kata orang putih, “He really means it.”

“Bbbeee.. bbbeeetttul… sssaaayaaaa ttttaaakkk ttttaaahu. Tttooolloong bbbaanng.”

   Kedua mata Malik sudah terpejam. Air mata perlahan-lahan jatuh dari kelopak matanya. Tidak sanggup lagi dia melihat. Dia tahu nyawanya bakal melayang bila-bila masa saja lagi.

   Begitu juga anda.sambil memejamkan rapat-rapat mata anda, anda juga terpaksa menggigit lidah anda dengan kuat, bagi mengelakkan sebarang bunyi keluar. Biarlah luka sekalipun, anda sudah tidak peduli lagi. Kini anda menangis teresak-esak, rasa keseorangan di dalam tong sampah hapak ini.

“ Baiklah! Nampaknya kau betul-betul keras kepala! Jangan salahkan aku, kau sendiri yang pilih!” kedengaran jerkahan lelaki itu. Diikuti dengan satu bunyi klik.

“TTOOLLLONGGG!!! BBBAAANNNG!!! JJJAAANNNGAAAN” rayu Malik. Mungkin buat kali terakhir.

   Kini anda menekup pula kedua-dua telinga anda. Anda sudah tidak tahan lagi. Malik, dia sahabat anda. Dengan pantas segala kenangan manis persahabatan anda dan Malik sejak dari tadika itu bagai dimainkan dalam minda anda.

Serentak dengan itu kedengaran,


“POWWWW!!!!” bunyi tembakan kedengaran, diiringi dengan bunyi raungan kesakitan, Malik.

   Anda tersentak. Seluruh badan anda terasa kejang. Segala-galanya yang berlaku pada malam yang pelik ini begaikan mimpi. Namun anda tahu ini semua benar belaka. Tak perlu untuk anda menampar atau mencubit pipi tembam anda itu.

   Yang kedengaran hanyalah bunyi gelak tawa terbahak-bahak. Selepas suatu ketika, suasana menjadi sunyi sepi. Anda mengangkat kepala untuk mengintai di celah-celah lubang itu. Pemandangan yang kelihatan amatlah menyayatkan hati. Malik kini terbaring tidak bermaya, memegang erat dadanya yang sudah merah dibasahi darah.

   Kemudian lelaki itu berpusing untuk beredar. Sekilas anda terlihat wajahnya. Tergamam. Wajahnya seperti…

Kedengaran bunyi erangan perlahan dari Malik.

   Selepas beberapa ketika, selepas anda cukup pasti bahawa lelaki itu sudah beredar cukup jauh, anda melompat keluar dari tong sampah itu lantas meluru dengan pantas kearah Malik.

“MALIK!!! MALIK!!! BANGUN MALIK!!!” Malik kini terbaring tidak bermaya di atas ribaan anda.

Darah semakin banyak mengalir dari luka di dadanya. Baju angry birdnya yang berwarna biru muda itu kini sudah bertukar warna. Merah pekat. Likat.

“ Uhuk,…. (nama anda), dengar sini, pembunuh sebenarnya… ialah….”

  Sukar sekali untuk Malik menuturkannya satu demi satu. Jika tidaklah mengenangkan keadaan Malik sekarang ini, sudah anda jentik telinganya supaya lebih lancar pertuturannya.

“Ialah siapa Malik??” mata anda sudah dibasahi air mata hangat.

“Sa… sa.. samm… sammee.. Sameon.” Akhirnya terpacul keluar juga nama itu dari mulut Malik.

   Ya Sameon. Bukan anda tidak kenal Sameon. Bahkan boleh dikatakan hampir 99.9 peratus penduduk di kejiranan ini mengenali Sameon. Bukanlah Sameon itu seorang wakil rakyat, saudagar mahupun imam masjid. Namun Sameon dikenali sebagai ketua penyangak di kejiranan anda itu. Mencuri, meragut, mengedar dadah dan pelbagai aktiviti jenayah berprestasi tinggi yang lain sudah sinonim dikaitkan dengan Sameon.

 Dan yang terkini yang baru diketahui oleh anda dan Malik ialah; Sameon kini adalah seorang pembunuh!.

“Baik, baik Malik. Kita berdua akan pastikan, Meon akan diheret ke muka pengadilan. Kita akan pastikan dia akan dikenakan hukuman setimpal atas dosa-dosanya selama ini Malik. Bangun Malik. Malik?”

Anda menggoncang-goncangkan tubuh Malik. Tiada repon. Kaku.

“Malik? Bangun Malik?” anda semakin cuak.

Malik kekal begitu. Terkulai layu dalam pangkuan anda.

“ MMAAAAAALLLLIIIIIIIKKKKKKK!!!!!!!!!!”

  Semuanya beransur gelap dan kabur. Dua saat kemudian. Anda sudah mendapati diri anda rebah terbaring di sebelah jasad Malik yang sudah tidak bermaya lagi.

“Malik….”

Tutur anda lemah. Sebelum semuanya menjadi gelap. Anda kini sudah hilang ditelan kegelapan yang bukat.


(Hehe. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Apakah kesudahan kisah tragedi-komedi-romantik ini? Benarkah gossip-gosip yang timbul mengatakan anda akan berpindah membawa diri ke Selat Hormuz selepas kematian Malik? Atau benarkah tuduhan-tuduhan liar yang mengatakan ini semua hanya mimpi anda semata-mata, sewaktu menunggu Malik di bawah pokok ketapang di tepi surau itu?
Semua ini akan terjawab dalam siri terakhir drama ini: “Aku Saksi? Ko Seriyes? (Epilog)”
Hehe.

Part 1
Part 3

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...