Social Icons

Pages

Thursday, 12 July 2012

Akhi I’m In Love



 Bismillahirrahmanirrahim…
oh, sebelum tu, terlupa, ini adalah sekuel kepada drama epic air mata Ukhti, I'm In Love


   Incheon Gukje Gonghang, Seoul, seperti hari-hari lainnya, sibuk dengan lautan manusia, sesuai dengan tarafnya sebagai antara lapangan terbang yang tersibuk di dunia. Tiada apa-apa yang berbeza hari ini, melainkan salji yang agak lebat turun lambat-lambat dari langit yang memutih.


   Jika anda melontarkan pandangan jauh-jauh ke luar jendela lapangan terbang ini, nescaya akan kelihatan butiran-butiran putih seperti kapas, seakan mengapungkan diri, menghiasi langit malam. Salji jarang-jarang turun selebat ini, terutamanya ketika musim sejuk hampir tamat seperti sekarang.

   “Ah, kuasa Tuhan. Siapa kita untuk menafikan.” Getus hati Fazwan.

   Tentu saja Fazwan ketika itu merujuk kepada penghujung ayat 43 surah An-Nur.

“...dan Allah juga menurunkan (butiran) ais dari langit, dari gumpalan awan seperti gunung maka ditimpakanNya ais itu kepada siapa yang dikehendakiNya dan dipalingkanNya siapa yang dihendakiNya. Kilauan kilat itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.”
(Surah An-Nur: 43)

  Fazwan menggalas beg sandangnya ke sebuah kerusi kosong yang berhampiran. Teman-temannya yang tadi datang menghantar pastinya sudah pulang, selepas puas bersalam-salaman dan berdakap-dakapan, tanda perpisahan.

   Fazwan menarik nafas berat dan menghembus perlahan-lahan. Dalam tak sedar, sudah setahun dia kembara di bumi asing ini. Usai tempoh pertukaran pelajar dahulu, ternyata dia ditawarkan mengikuti kursus pendek di sini. Entah mengapa, cepat sahaja dia menerima.

   Kesejukan, dia mengusap-usap jambang nipisnya itu, lalu mendekatkan kedua telapak tangan ke mulut. Haba dari mulut digunakan buat memanaskan telapak tangannya. Ternyata hangat seketika. Dia terkenang pengalaman pertama kali menghadapi musim sejuk di sini, sejuk yang menusuk-nusuk ke tulang hampir-hampir membuatkan dia jatuh sakit. 

   Manakan tidak, bagi dirinya yang berasal dari negara beriklim tropika itu, musim sejuk tidak jauh bezanya daripada memasuki peti ais di rumahnya, dan tidak keluar-keluar selama berbulan-bulan.

  Bunyi pengumuman yang keluar dari corong speaker lapangan terbang mengembalikannya ke alam nyata. Diamat-amatinya pengumuman dalam bahasa Korea itu. Kedengarannya seperti penerbangannya akan tertunda. Entah. Dia bukannya terlalu faham bahasa asing itu.

   Susulan pengumuman yang dibuat dalam bahasa Inggeris nyata mengesahkan tekaannya. Penerbangan Korean Air ke Kuala Lumpur terpaksa ditunda 3 jam akibat salji yang agak tebal.

   Dia mengangkat begnya yang sebentar tadi diletakkan di atas lantai. Membuka beg, dia mengeluarkan sesuatu. Enggan membuang masa begitu saja, dia memilih untuk membaca. Buku ‘Beberapa Studi Tentang Islam’ karya Syed Qutb itu dikeluarkan dari beg galasnya. Dia membuka buku pemberian Abang Manaf itu ke muka surat yang dibacanya kali terakhir dahulu.

‘...Kita menyeru kepada suatu dunia yang lebih baik, ketika kita menyeru
untuk dimulainya lagi suatu kehidupan Islam, untuk mendirikan suatu
masyarakat Islam. Kita menyeru kepada suatu keadilan sosial yang jauh lebih sempurna dari setiap konsep keadilan sosial dalam setiap sistem lain yang pernah dikenal ummat manusia. Kita menyeru kepada...’

   Pembacaannya terganggu. Sepasang remaja lalu di hadapannya sambil berbual-bual dengan suara yang agak kuat. Melihat gaya mereka yang saling berpegangan tangan itu, Fazwan dapat mengagak tentulah mereka itu merupakan pasangan kekasih. Yang sedang hangat bercinta tentunya.

Dahulu, dia juga begitu.

   Tiba-tiba fikirannya menerawang jauh. Jauh, sangat jauh, merentasi lautan beribu kilometer untuk pulang ke Malaysia...


***********************************************************************************

   Fazwan menarik nafas dalam-dalam. Gemuruh dalam dadanya belum reda. Jantungnya dipam selaju seakan-akan baru menamatkan larian pecut seratus meter akhir sukan olahraga sekolah. Dia memejamkan mata, cuba menenangkan diri. Menghela nafas sedalam-dalamnya, lalu mencapai telefon bimbitnya.

   Lambat-lambat dia menyelongkar senarai kenalan, lalu dengan jari yang sudah mula berpeluh, dia menekan butang hijau itu. Butang memanggil.

   Nafasnya sudah kembali tidak teratur. Dan apabila kedengaran panggilan diangkat di sebelah sana, dia seakan tersentak. Setelah cuba menguasai diri, dia membaca basmalah perlahan-lahan, lalu...

“ Assalamualaikum...”


****************************************************************
******************


   Sejak dia mengambil keputusan untuk menyertai program pertukarang pelajar ke Korea Selatan itu, ternyata hatinya rusuh. Dia merasa kurang enak begitu. Hilang tanpa khabar. Tanpa berita. Sudah lebih seminggu dia mengambil keputusan untuk tidak lagi mengangkat panggilan telefon dari Iman, apatah lagi menjawab pesanan ringkasnya. Kini dia akan terbang ke luar negara pula.

   Bohonglah jika dia kata dia tidak tahu betapa risaunya Iman apabila gagal menghubunginya. Dia masak benar kelakuan gadis itu. Masakan tidak, hampir setiap jam Iman cuba menelefonnya. Itu belum dikira dengan berpuluh-puluh pesanan ringkas yang diterimanya setiap hari. Dia faham.

   Dan penipu besarlah dia jika dia mengaku dia tidak rindukan Iman. Setiap kali panggilan dari Iman diterima, setiap kali itulah juga dia akan merenung telefon bimbitnya yang sedang bergetar-getar itu. Sungguh-sungguh menahan dirinya dari menjawab panggilan itu. Menunggu sehingga getaran itu berhenti dengan sendirinya.

   Perit. Memang perit. Namun dia faham. Dia sudah mula faham.

“ Sabar, ini untuk kebaikan aku... dan Iman...” dia mengingatkan diri sendiri.

   Ketika pesawat sudah tidak menjejakkan tayarnya ke bumi lagi, perlahan-lahan meninggi ke awan meninggalkan bumi Malaysia, dia tidak dapat menahan perasaan lagi. Dia kalah dengan rasa. Segala kenangan lampau terimbas dengan pantas dalam fikiran. Dia teringatkan Iman. Air matanya mengalir deras ke pipi.

Akhirnya, dia pergi. Tanpa pesan.


************************************************************
**********************



“May I sit here, sir?” seorang lelaki Korea pertengahan umur bertanya dengan slang Korea. Meminta izin untuk duduk di tempat duduk kosong sebelahnya.

“Yeah, please...” Fazwan yang baru tersedar dari lamunan gesit menjawab. Menawarkan tempat duduk di sebelahnya.

“Thank you.”

   Fazwan tersenyum sendiri. Jauh sungguh dia mengelamun. Mengenang kisah silam. Dia menggeleng-geleng perlahan lantas menyambung bacaan.

‘Dunia sekarang sedang mengalami suatu kebimbangan pemikiran dan
kemasyarakatan. Dunia sedang mengalami satu kegoncangan dalam sistem dan situasinya, mengalami keresahan yang tidak pernah tenang-tenang...’

   Baru beberapa baris ayat ditatapnya, dia sudah kembali hilang fokus.


************************************************************
***********************


   Minggu-minggu pertamanya di bumi asing itu, dia kelihatan tak tentu arah. Semua yang dilakukannya terasa ada yang tidak kena. Perasaan teruja yang sepatutnya dia rasa, seperti teman-teman lainnya, berubah menjadi galau. Malah menurut beberapa orang temannya, dia kelihatan seperti seorang mamat psiko. Seperti Kapten Jack Sparrow hilang kapal, kata Karim, sahabatnya. Sungguh.

   Jujurnya, dia sebenarnya bukan berminat sangat untuk menyertai program ini. Dia sekadar menyertainya hanya untuk melarikan diri. Eskapisme. Untuk lari dari realiti, lari dari kenangan. Lari dari Iman. Sungguh dia tak betah untuk terus bertahan mengelakkan diri dari Iman. Dia tahu lambat laun Iman pasti akan dapat menjejaknya. Malah dia jadi seakan takut untuk keluar rumah dan ke kelas. Mengetahui bila-bila masa saja dia mungkin terserempak dengan Iman.

 Jadi ini jalan terbaiknya. Lari.

   Abang Manaf juga akhirnya mengizinkannya, mengetahui betapa sukarnya hidupnya sehari-hari. Betapa sukarnya menyingkirkan seorang yang bernama Iman, yang pernah memancarkan warna-warna pelangi dalam hidupnya.

   Sungguh, Abang Manaflah yang telah banyak membantu dirinya menghadapi semua ini. Malah, jauh lebih penting daripada itu, Abang Manaflah orang pertama yang berjaya mengetuk hatinya, menyedarkan dirinya bertapa selama ini dia hidup dalam kegelapan. Tanpa arah tujuan. Betapa apa yang sedang dia lakukan itu salah.

  Ah, mengenangkan Abang Manaf, dia jadi rindu pula kepada pemuda budiman itu. Namun biarlah segala kenangannya dengan Abang Manaf itu disimpannya saja. Dia belum bersedia untuk berkongsi dengan siapa-siapa.

 
***********************************************************************************


   Lama-lama, baru Fazwan menyedari, dia sekadar merenung kosong halaman buku itu. Fikirannya entah melayang ke mana. Menggosok-gosok mata, dia kemudiannya mengeluarkan sebotol air mineral dari begnya, lantas meneguk perlahan-lahan isinya. Setelah terasa puas, dia mengembalikan botol tersebut ke tempatnya.

Buku kembali dipangku, tetap cuba menyambung bacaan.


‘...Pada waktu kita menyeru agar kehidupan Islam itu dihidupkan
kembali, agar masyarakat Islam itu ditegakkan kembali, yang kita
maksudkan adalah agar kita dapat menjaga diri terhadap kegoncangan
masyarakat yang menghancurkan itu. Kita ingin untuk membangun
kehidupan kita atas suatu bidang tanah yang kukuh, atas dasar-dasar yang
lebih dalam dan dasar-dasar yang goyah itu, dasar yang tidak bersandarkan
pada aqidah dan tidak terpusat kepada suatu gagasan. Dalam pada itu kita
menuntut agar kita, dan setiap orang memakai petunjuk dengan petunjuk
Islam, mempunyai suatu kehidupan yang lebih baik, dalam suatu dunia yang
lebih baik...’

.....


***********************************************************************************

  
Di bumi Korea ini, terlalu banyak yang dia telah pelajari dan telusuri. Alhamdulillah, di sini juga dia dikurniakan teman yang baik-baik, persis Abang Manaf. Sahabat yang sudi berkongsi susah dan senang, sudi menarik kembali sahabat-sahabat lain yang hampir-hampir tergelincir ke lembah-lembah hina dan dosa.

 Sahabat-sahabat bulatan. Yang bergembira.

   Di sini, dia banyak belajar tentang hidup. Realiti bahawa bumi ini bukanlah hanya sekadar berputar di sekeliling dirinya. Bahkan berjuta-juta lagi watak utama di luar sana, membintangi drama hidup masing-masing.

   Dia seakan baru terjaga dari mimpi ketika didedahkan dengan realiti penderitaan umat Islam di serata dunia. Betapa, sejak khilafah islamiyah yang terakhir runtuh, umat Islam umpama anak yatim yang kehilangan bapa tempat berlindung. Sewenang-wenangnya dibunuh, didera dan diseksa, umpama objek-objek tanpa roh. Tanpa ada bapa untuk bangkit membela.

   Mengalir air matanya bila didedahkan dengan penderitaan umat Islam di Bosnia, Kashmir, Iraq, Afghanistan, Chechnya, Palestin, Patani, Mindanao, dan pelbagai lagi ceruk rantau dunia. Berjuta-juta  nyawa mereka diragut tanpa pembelaan, anak-anak gadis mereka diperlakukan sesuka hatinya. Mayat-mayat mereka dicincang, bakar dan dijadikan makanan anjing.

Lalu apalah sangat dengan masalahnya.

   Dia juga seperti baru pulih dari koma yang panjang, untuk menyedari betapa jauhnya manusia hari ini dari lunas-lunas agama. Betapa hanya kepala mereka sahaja yang sujud menyembah Tuhan, sedang hati  leka sujud menyembah jahiliah. Agama mereka hiburan dan harta meski memakai nama-nama Islam.

Lalu mana perginya Muslim-muslim lain, untuk membela nasib mereka, menyedarkan mereka?

Mereka, sama seperti dirinya, sibuk dengan masalah ‘besar’ masing-masing.

   Namun dalam hampa, kecewa, dan putus asa. Dia bertemu cahaya. Ternyata dalam kelalaian dan kehinaan umat Islam, masih ada sekelompok yang sedang giat berjuang, bertarung bagi menegakkan Islam kembali. Mereka-mereka yang mencari hidup yang abadi di akhirat kelak.

Dan dia mahu bersama mereka.

   Benarlah kata-kata seorang seniornya,

“Tarbiah bukan segala-galanya, tapi segala-galanya bermula dengan tarbiah.”

Untuk itu, banyak yang harus dikorbankan.

***********************************************************************************


   Sehinggalah pada malam itu, dia berjaya mengumpul kekuatan. Untuk menghubungi tanah air. Dia sedar,dia tak mungkin mampu melarikan diri buat selama-lamanya. Dan Iman tak harus terus menjadi mangsa keadaan.

   Menggeletar tubuhnya mendengar suara lemah menjawab di hujung sebelah sana talian. Tuhan saja tahu betapa rindunya dia untuk kembali mendengar suara itu. Namun, segalanya tidak berjalan dengan lancar. Iman mula teresak-esak menangis, marah-marah dan enggan mendengar penjelasannya. Sungguh, dalam hal ini, Iman tak layak untuk dipersalahkan. Hinggalah akhirnya Iman menjerti entah apa lantas memutuskan talian.

   Dia beristighfar banyak-banyak. Meminta kekuatan dari Allah S.W.T.
Selang beberapa lama kemudian, dia kembali mencapai telefon bimbitnya. Dengan jari yang terketar-ketar, lambat-lambat dia menaip.

“ Insya Allah, awak akan belajar melupakan saya, jika awak mula belajar mengingat, apa yang lebih wajar untuk diingat. Maafkan saya, Iman.”
-Fazwan

sending....

Sent!

Seluruh tubuhnya lemah-longlai. Matanya mula mengumpul air. Dia mematikan telefon bimbitnya. Segera menuju ke bilik air.

   Ini masanya untuk membabar sejadah. Menekur sujud. Meminta pertolongan dari Tuhan.

   Entah mengapa, selepas malam itu, selepas dia menangis sepuas-puasnya di atas tikar sejadah, dia berasa tenang. Seakan beban berat yang dipikulnya selama ini terbebas dari belakangnya. Sungguh dia yakin dengan keputusannya. Dia nekad.

***********************************************************************************


   Pengumuman dari corong speaker lapangan terbang memaklumkan beberapa lagi penerbangan yang terpaksa ditunda kembali menarik dirinya kembali ke tempat duduk balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon itu.

   Fazwan tersenyum sendirian, entah mengapa, hari ini banyak benar dia mengelamun. Akhirnya mengalah, dia menutup dan menyimpan buku tersebut.

   Namun benarlah, bumi Korea, dan tarbiah pastinya, telah banyak mengubah hidupnya. Di sini, dia jadi benar-benar menghargai Islam yang ada pada dirinya. Melihat manusia-manusia yang bagai meraba-raba dalam kegelapan mencari hala tuju hidup, dia jadi malu sendiri. Betapa selama ini dia langsung tidak menghargai nikmat Islam dan Iman yang dikurniakan kepadanya selama ini. Tak dapat dia bayangkan bagaimana jika dia tidak diberikan sama-sekali nikmat itu.

   Mungkin kelihatan aneh, namun ironinya, bumi yang sedang giat dibadai kristianisasi itulah sebaliknya yang telah menyalakan kembali obor Islam dalam hatinya.

   Melihat dunia dengan kaca mata Islam, memang sungguh berbeza. Segala yang dilihat, dapat dijadikan iktibar buat diri, jadi sorongan untuk kembali kepada Allah. Tidak dapat diungkapkannya kesyukurannya atas segala nikmat yang telah diberikan Allah kepadanya selama ini.

   Dia kembali mengangkat beg galas ke ribaannya, kali ini Fazwan menarik keluar komputer ribanya. Dia berhajat untuk menghubungi Malaysia sebentar. Sudah seminggu dia tidak berhubung dengan Abang Manaf. Kali terakhir dia berbual dengan Abang Manaf, melalui panggilan video ialah minggu lepas, sewaktu dia memaklumkan kepulangannya ke Malaysia.

   Abang Manaf beria-ia menawarkan diri untuk mengambilnya di lapangan terbang. Rindu katanya, dia hanya mampu tersenyum. Dan tidakdisangka-sangka, dia mendapat khabar gembira. Ya, Abang Manaf telah bertunang!

  *********************************************************************************

 
   Dia membuka tetingkap Yahoo Messenger nya, lalu membaca senarai kenalannya yang sedang diatas talian. Dan...

“Alhamdulillah, Abang Manaf online!”

Pantas jari-jemarinya menari di atas papan kekunci komputer ribanya.

Faz_wan90: Assalamualaikum!

AkhManaf: Waalaikummussalam!!! Subhanallah! Wan, dalam flight dh ke ni???

Faz_wan90: Kalau dalam flight mcmmna nak online abang manap oi! Haha. Ni, flight delay. :-(

AkhManaf: bagus la tu.

Faz_wan90: Eh??? Kenapa bagus? Orang rindu Malaysia dah ni...

AkhManaf: Bagus la, malaysia tak siap lagi buat persiapan nak sambut kepulangan enta. Ni tengah sibuk bentang karpet merah atas jalan ni. Haha.

Faz_wan90: ceh, main-main pulak. Ni betul ke akh nak ambik wan esok ni?

AkhManaf: betul la, 2 jam 14 minit sebelum wan cecah tanah ana dah tercegat kat Klia. Standby dengan group kompang Kampung Datuk Harun. Hehehe

Faz_wan90: :-P

AkhManaf: eh, lupa pulak nak tanya, apa khabar iman, apa khabar hati?

Faz_wan90: Oh... Iman alhamdulillah, sihat. Hati pun sihat, tapi tak la se ‘sihat’ dan se‘berbunga’ hati orang tu.

AkhManaf: Eh, pulak dah? Tapi tak best la aritu, Wan takde... walimah ana nanti Wan wajib datang tau! Jadi tukang basuh pinggan. Huahuahua.

Faz_wan90: Wah abang ingat Seoul-KL boleh naik teksi? Kalau abang kerja cop duit kat bank negara, hari-hari ana berulang je pergi balik KLIA-Incheon.

AkhManaf: Ini sudah memperkecilkan kerjaya ana ni. Hahaha.

Faz_wan90: eh, abang, lupa nak tanya aritu, maklumla eksaited sangat...

AkhManaf: Apa dia?

Faz_wan90: sapa dia insan terpilih yang bertuah jadi bakal zaujah anta tu?

AkhManaf: Haisy, cerita dah basi baru mau tanya ka???

Faz_wan90: sape???

AkhManaf: Ain. Siti Nur Ain binti Jaafar.

Faz_wan90: What??? Kak Ain??? Seriyes????

AkhManaf: Eh? Kenapa? Kenal ke???


************************************************************************************


   Tepat jam 8 pagi, dia selamat mendarat di KLIA. Perjalanan sepanjang 6 jam itu terasa amat singkat. Dia hanya sempat solat Subuh di dalam kapal terbang. Sejak tayar kapal terbang mencecah bumi Malaysia, dia sudah tidak dapat menahan senyum. Rindunya bukan kepalang. Tak sabar rasanya ingin bertemu Abah, Mak, Along, Adik, dan kawan-kawannya. Dan tentu sekali Abang Manaf.

   Dia bergegas ke balai ketibaan, tempat Abang Manaf  berjanji menantinya. Sedang dia tertinjau-tinjau mencari, bahunya dicuit orang. Apabila dia berpusing,

“Abang Manaf!!!” serta merta dia mendakap tubuh agam Abang Manaf. Kejap.

************************************************************************************


   Senyumnya masih belum putus-putus. Dia terduduk keletihan dalam Produa Alza Abang Manaf. Abang Manaf datang seorang.

“Ai, tak pernah abang tengok Wan seceria macam ni. Time nak fly dulu muka moyok je... ai, ada apa-apa ke kat Korea ni???” Abang Manaf menyakat.

“Ada.”

“Apa?”

“Tarbiah.”

Fazwan dan Abang Manaf serentak mengukir senyum.

“Okey, kita pergi sarapan dulu, lepas tu....”

“Lepas tu balik rumah ana la. Tak sabar nak peluk Mak ni.”

“Opps, opps sori. Kita terpaksa pergi universiti dulu. Ada mission imposible. Arahan Big mama.”

“Eh?”

“Ni ha, mak ana suruh pass ni kat Ain.” Abang Manaf menghulur sebuah bekas plastik.

“???” dia mengambil bekas tersebut, lalu diamat-amati isinya. Penuh dengan kuih-muih.

“Wahahaha habis la Abang macam ni.”

“Kenapa?” Abang manaf kehairanan.

“Mak abang lagi ‘sweet’ daripada abang....” ketawa Fazwan tidak dapat ditahan lagi.

Abang Manaf menumbuk lembut bahunya.


************************************************************************************


 Tamat.


“Hidup ini lagu.
Ada lagu sedih, gembira, rindu, kecewa, bahagia,
Ada lagu yang baik-baik, ada yang jahat,
Terpulang kepada kita untuk menyanyikannya.
Dan suatu hari nanti,
Lagu tak didendangkan lagi,
Lalu kita pun mati.”


9.36 pm waktu seoul.
tempat terpaksa dirahsiakan sekali lagi. haha

5 comments:

  1. huh..best baca citer nih..cam cerpen..tapi, citer ni, boleh dijadikan novel, jika nta rajin la..
    bukan sekadar cerita kosong, nampak apa yg nta cuba sampaikan.. mubarak ^_^
    teruskan berkarya..n then kumpulkan karya2, terbitkan dalam satu buku..insya ALLAH, laris..

    ReplyDelete
  2. Sis Izzah: jika saya punya empat pasang tangan untuk menaip... letih wo menaip... haha

    ReplyDelete
  3. Tuan inspektor jangan la begini... malu sahaya... ini bacaan kurang sesuia untuk insan setaraf tuan inspektor... hahaha

    ReplyDelete
  4. "akh,i'm in love"
    akhi nawawi,menarik laa tulisan ni..
    credit abg Manaf.... hee

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...