Tok! Tok! ada orang tak? boleh saya nak tumpang? |
Kalaulah Ramadhan itu Ramadan, dan bukannya sekadar Ramadhan, tentu keadaannya akan jauh berbeza berbanding Ramadhan itu Ramadhan. Manakan tidak, jika Ramadhan itu Ramadan, tentulah tak sama dengan Ramadhan itu Ramadhan. Mana mungkin sama Ramadhan dengan Ramadan. Mana mungkin!
Mungkin ke?
Err, saya pun dah pening.
Baiklah, mari kita pendekkan cerita, sebelum ada mana-mana mangsa yang jatuh menggelupur di atas tanah diserang migrain mahupun sawan tarik. Haha
Baiklah, mari kita pendekkan cerita, sebelum ada mana-mana mangsa yang jatuh menggelupur di atas tanah diserang migrain mahupun sawan tarik. Haha
Pernah tak anda bayangkan? Tentu la tak pernah kan, sebab saya tak sempat nak bagitau pun lagi apa yang nak dibayangkan.
Ok kita start sekali lagi.
Cuba anda semua bayangkan…
Suatu hari, seorang lelaki pertengahan umur, bermisai lebat, berkulit sawo matang dengan tidak semena-mena muncul di hadapan pintu rumah anda. Asal Jawa Timur. Tukimin namanya. Nama Facebook, Ustaz Ramadan Tukimin.
Ustaz Ramadan Tukimin muncul di pintu rumah anda dalam hujan renyai-renyai, mengetuk kuat pintu hadapan rumah sejurus selepas anda sekeluarga selesai menonton pengumuman tarikh puasa di televisyen. Meminta izin untuk tumpang menginap, Ustaz Ramadan Tukimin mendakwa beliau di rumah anda sebentar cuma. Hanya sepurnama.
Namun tak ramai yang sedar, tujuan kedatangan Ustaz Ramadan Tukimin ini bukanlah calang-calang, bukan hanya sekadar menumpang menginap di rumah anda sepurnama penuh sambil menemani kanak-kanak ribena riang bermain bunga api, berpeluh-peluh membantu ayah mencari buluh lemang, bersimpuh bersama emak membakar bahulu dan membuat popia simpul, apatah lagi untuk sekadar menemani anda berjam-jam di hadapan komputer riba itu.
Sudan tentu bukan. Itu bukan motif Ustaz Ramadan Tukiman bersusah-susah menempah tempat duduk di dalam kapal terbang Air Asia itu untuk terbang ke mari.
Sebaliknya Ustaz Ramadan Tukimin datang dengan tugas besar, sebesar Gua Niah. Ustaz Ramadan Tukimin datang dengan misi penting lagi mulia. Ustaz Ramadan Tukimin datang untuk mendidik anda! Memberikan tuisyen agama intensif secara percuma kepada anda.
Ya, selama sebulan penuh itu, Ustaz Ramadan Tukimin akan menginap di rumah anda, dengan tujuan untuk mengajar, melatih dan mendidik anda sekeluarga. Anda akan dididik dengar erti sabar, ikhlas, pengorbanan, ketakwaan, keimanan dan bermacam-macam lagi. Untuk mencipta suasana belajar yang kondusif lagi efektif, anda sekeluarga diminta untuk berlapar dahaga pada siang harinya, dan digalakkan supaya mengikutnya menunaikan solat sunat pada sebelah malamnya.
Selama sebulan ini, inilah peluang anda untuk mengikuti tunjuk ajar dan nasihat-nasihat daripada Ustaz Ramadan Tukimin yang sememangnya sudah pakar dan arif dengan hal-hal sebegini. Pengalamannya selama belasan tahun menuntut di pesantren-pesantren sekitar Jawa Timur ditambah dengan pertapaannya tiga purnama di puncak Gunung Merapi membuatkan Ustaz Ramadan Tukimin diberita anginkan sudah hampir-hampir mampu berjalan di atas ais.
Bukan sekadar itu. Ustaz Ramadan Tukimin turut menjanjikan ganjaran besar bagi mereka-mereka yang sudi menerima didikannya, menuruti latihan-latihannya. Seribu rupiah? Sepuluh ribu? Sejuta? Bukan. Besar, sangat besar. Besar macam ni. (nampak tak?)
Usai sebulan, sejurus sebelum bunyi mercun berdentum tidak henti-henti, tanda syaitonirrajim sudah bebas kembali, Ustaz Ramadan Tukimin pun bersalam peluk laga pipi dengan anda, tanda sudah mahu pamit ke negara asalnya.
“Senang-senang, mampir lagi tahun depan ya pak ostad?” Tutur anda yang sudah mampu bertutur sikit-sikit dalam bahasa Indonesia, akibat terlalu banyak menonton sinetron.
“Insya Allah. Minta didoakan sih.”
Begitulah ceritanya…
***
Persoalannya, adakah Ustaz Ramadan
Tukiman akan datang lagi tahun hadapan?
Setelah segala ajaran dan didikannya diterima
acuh tak acuh oleh anda?
Setelah kehadirannya hanya disambut dan diraikan
sekadar di angin lalu oleh anda?
Setelah ganjaran dan tawaran-tawaran hebatnya
bagai tidak disambut hangat oleh anda?
Setelah malam-malam terakhirnya dibiarkan
bersendirian tanpa teman oleh anda yang telah keletihan membeli-belah sepanjang
hari?
Setelah tercuri-curi dengar bahawa anda sekeluarga memang bergembira sakan menunggu malah hingga mengira-ngira hari kepergiannya?
Setelah tercuri-curi dengar bahawa anda sekeluarga memang bergembira sakan menunggu malah hingga mengira-ngira hari kepergiannya?
Juga setelah melihatkan segala ajaran dan tunjuk
ajarnya selama sebulan penuh itu, sudah kembali dilupakan dan dipandang sepi?
Dan di saat-saat perpisahan, anda dengan selambanya mempelawa beliau agar datang lagi di masa-masa akan datang?
Apa mungkin Ustaz Ramadan Tukimin kepingin untuk mampir kembali ke rumah anda setelah semua itu anda lakukan terhadapnya?
Err….
***
Betapa baiknya Allah, Dia tidak datangkan Ramadhan saban tahun dalam bentuk Ramadan, Ustaz Ramadan Tukimin. Jika tidak, sudah tentulah Ustaz Ramadan tidak akan sudi untuk mengunjungi kita lagi. Sebaliknya, Allah datangkan dalam bentuk bulan Ramadhan yang penuh barakah dan rahmat. Yang akan setia menemui kita saban tahun, menawarkan diri untuk membantu memperbaiki diri kita.
Ya benar, Ustaz Ramadhan akan tetap datang lagi ke rumah tahun hadapan. Cuma, adakah anda pasti anda masih ada di rumah?
*kalau anda ada terserempak dengan Ustaz Ramadhan, tolong beritahu bahwa saya merinduinya. Semoga berjumpa lagi tahun hadapan. ^^
*baru sebentar
mendapat perkhabaran seorang sahabat, malah mungkin tidak keterlaluan saya
panggil murabbi, menerima tawaran untuk terbang ke seberang laut. Enggan bermuram,
sebaliknya saya mengambil keputusan untuk menulis.
stylo !
ReplyDeletelama tak baca hasil enta :)