Social Icons

Pages

Tuesday, 21 August 2012

Musafir di Aidilfitri




7 a.m.

Tarik nafas.

Lepas.

Tarik nafas.

Lepas.

“Baiklah.. Inilah masanya...” nafas dihela panjang-panjang.

“Gulp...” air liur ditelan beberapa kali. Gugup.

“Satu...”

“...dua”

“...tiga!!!”

“Ngap!” mata dipejamkan rapat-rapat.

Sebiji ketupat dimasukkan kedalam mulut. Lantas dikunyah rakus.

Mata meliar ke kiri dan ke kanan. Tiada apa-apa yang berlaku.

“Alhamdulillah...”

                                                                 ***


  
Mungkin ada di antara anda yang menghadapi dilema seperti ini, semestinya pada pagi 1 Syawal. Rasa serba-salah untuk memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka selepas terbitnya fajar siddiq (baca: makan).

  
Ok fine. Mungkinla tidak seteruk situasi di atas. Tapi rasa bersalah itu tetap ada. Rasa bersalah itu point penting di sini, okey? Haha.

  
Setelah genap sebulan perut didera, dilatih dan ditarbiah untuk tidak lagi sewenang-wenangnya menerima kehadiran tetamu semenjak masuk waktu subuh, pastinya kehadiran tetamu tanpa diundang itu di pagi lebaran menimbulkan rasa aneh dan janggal. 

   Apatah lagi tetamu itu datang dalam bentuk yang berkolestrol tinggi seperti sebiji ketupat daun palas itu. Ahaha.

  
Begitulah hebatnya Sekolah Rendah Tarbiah Ramadhan. Hinggakan makan di siang hari terasa begitu asing. Terpaksa meng’usha line’ kiri dan kanan, bimbang ditangkap dek jabatan agama, lantas dibawa berkeliling kampung dengan van jenazah, sebelum sampai waktunya.

                                                               ***


Ya benar, belum masuk tajuk pun lagi. Itu barulah intro kepada muqaddimah. Hahaha.

  
Oh, sebelum itu, sukalah untuk saya mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin’, ‘Eid Mubarak’, ‘Taqabbalallahu minna waminkum’ dan ‘Kullu Am Waantum Bilkhair’ kepada satu, dua, tiga, empat, lima, enam (ya, andalah! Siapa lagi!) pembaca yang sudi membaca post ini, tidak kiralah sama ada anda memang mengikuti perkembangan blog marhaen ini, atau sekadar musafir di angin lalu yang terserempak dengan post ini.

  
Maafkan saya jika ada terkasar font (saya menggunakan font saiz 14, jika ada yang sudi tahu) dan bahasa, jika ada sepanjang penulisan-penulisan saya selama ini yang menghina, mengherdik, mencaci (mak aih) mahupun memerli manja kepada anda. Sungguh, saya tidak bermaksud sebegitu.

***

 
Ok, baru nak masuk tajuk.

  
Bukan, dengan tajuk yang agak berbaur konspirasi ini, bukanlah niat saya untuk bercerita kepada anda semua perjalanan musafir keliling malaya saya di lebaran ini. Jauh sekali untuk saya berkongsi pengalaman beraya sebagai seorang musafir di perantauan akibat tiket bas habis (sebab takde pengalaman pon). Jauh sekali bukan.

  
Bukan, salah juga tekaan anda bahawa post saya kali ini berkaitan dengan lagu ‘Musafir di Aidilfitri’ yang dinyanyikan pakcik S. Jibeng yang segak berkaca-mata hitam itu. Bukan! Bukan!


Musafir Di Aidil Fitri

Gema takbir di subuh hari
Menjelang sudah aidil fitri
Tapi hamba musafir diri
Ke sana sini membawa diri

Ayah ibu lamalah pergi
Pergi menyahut seruan Illahi
Tinggal hamba seorang diri
Tiada siapa ingin hampiri

( korus )
Oh Tuhan Yang Maha Kaya
Hamba menangis di pagi raya
Aidil fitri hari bahgia
Tapi hamba dilanda derita

Pusara ayah dan juga ibu
Di pagi bahgia hamba kunjungi
Dengarlah ini ratapan anakmu
Hamba musafir di aidil fitri

Eh???


***

   Pejam, celik, pejam, celik, pejam, pejam, pejam (ada juga yang dah tak celik-celik dah), sudah tiba masanya kita berpeluk salam laga pipi dengan Ramadan Al-Mubarak, kerana Cikgu Ramadan itu terpaksa ditukar ke tempat lain. Dan tempatnya digantikan pula oleh Cikgu Syawal. Peluk salam laga pipi kembali. Dan main mercun. Eh?

  
Cuba kita renungi kembali, serasa baru semalam kita dijengah mesra oleh 1 Ramadan, masih baru lagi kita melihat kereta-kereta polis singgah di depan pintu rumah kita, membawa pergi syaitan-syaitan untuk menginap di penjara sebulan lamanya, juga seakan-akan masih panas kerusi yang diduduki oleh pakcik penyimpan mohor besar raja-raja (walau tak tahu kat mana dia simpan) untuk mengumumkan tarikh permulaan puasa.

  
Tidak lupa, seperti baru semalam kita berapi-api bebola mata, bersemangat untuk mengisi masa sepanjang Ramadan ini dengan ibadat-ibadat wajib dan sunat, tilawah, zikir, qiamullail, infaq, sedekah dan lain-lain lagi.

  
Jadi, apa salahnya kita mengambil sedikit ruang sementara menunggu perut yang senak dipenuhi lemang, rendang dan almond london untuk kembali lapar itu, untuk kita merenung kembali, muhasabah kembali, sejauh mana kita telah pergi sepanjang sebulan ini? sejauh mana azam dan cita-cita kita itu telah terlaksana?


“ Menyesal dan rugilah. Menyesal dan rugilah.” Lalu mereka bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” jawab Rasulullah S.A.W:
“Orang yang masuk ke bulan Ramadhan sehingga ke penghujung bulan tetapi dosanya tidak diampunkan.” (HR At-Tirmidzi)

“ Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah S.W.T telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta syaitan dibelenggu. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan sesiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti diharamkan baginya segala rupa kebajikan.” (HR Ahmad dan An-Nasa’ie)


Aduh!!! Sapa cucuk mata saya ni!!!

***

 
Syawal Satu Kemenangan

   Saya yakin, saudara mesti pernah tengok perlawanan bolasepak kan? Tak kira la tengok sebab minat ke, sebab terpaksa tengok sebab semua orang lain tengok ke, ataupun tengok sebab pemain dia kacak-kacak belaka. Yang penting pernah tengok kan.

  
Jadinya pasti anda semua pernah tengok aksi pemain-pemain yang berjaya menjaringkan gol. Ada yang melompat berpusing-pusing, ada yang buat simbol ‘love’ guna jari, ada yang meluncur atas padang sebelum kena hempap dengan rakan-rakan sepasukan. Pernah kan?

  
Mungkin anda juga pernah tengok Lin Dan berlari-lari keliling gelanggang terlompat-lompat sebelum membaling kasutnya kepada peminat-peminat. Pernah kan?

  
Tipulah kalau korang tak pernah tengok orang nangis-nangis kegembiraan sambil pegang cek besar ratus-ratus ribu, lepas tu berpeluk-peluk dengan mak ayah, sebelum beri ucapan “kemenangan ini adalah untuk peminat-peminat yang mengundi saya tanpa lelah dan jemu (walau habis kredit)” Pernah kan?

Erk? Kaitannya saudara?

Sebab apa diorang-diorang yang disebutkan tadi tu bersuka-ria tak ingat dunia?

Tentulah sebab diorang menang kan?

   Ada ke anda semua pernah lihat penjaga gol yang baru saja dibolosi tiba-tiba melompat berpusing-pusing sebelum menanggalkan jersi kegembiraan lantas berlari ke arah kamera di sudut padang?

   Ada ke sape-sape pernah tengok orang kalah final badminton tiba-tiba berpusing keliling gelanggang, baling-baling kasut busuk dia kat peminat? Err..

   Atau mungkin ada saudara pernah tonton kat televisyen peserta realiti tv yang dah tersingkir sejak minggu pertama lagi, tiba-tiba menangis-nangis peluk mak ayah waktu final, lantas memberi ucapan sambil tersedu-sedu terharu?

   Saya tak kira apa pun jawapan anda semua. Jawapan yang saya nak dengar adalah ‘tak ada’. Hahaha.

Kenapa? Mudah. Sebab mereka tak menang.

   Sunnatullah telah menetapkan bahawa manusia akan meraikan sesuatu, hanya apabila mereka berjaya atau berasa menang. Lihatlah mana-mana perayaan atau keraian, pasti sebab musababnya tidak lari daripada yang saya sebutkan tadi.

-Pesta Keamatan, kerana meraikan kejayaan musim menuai mereka, berkat pertolongan semangat padi dan roh nenek moyang mereka.

-Hari Merdeka, 55 Tahun Sebangsa, Senegara, Sejiwa Janji Ditepati, adalah kerana meraikan kejayaan negara kita bebas daripada penjajahan kolonial British.

Bagaimana pula dengan Idul Fitri?

  
Oh, sudah tentulah meraikan kemenangan besar kita menewaskan nafsu sepanjang sebulan Ramadhan. Sebulan puasa dengan tarawikh tak tinggal kot... Tutur anda dengan yakin.

  
Menepuk-nepuk bahu. Betul ke bro kita betul-betul menang melawan nafsu sebulan ni? Ibadah full sehari semalam? Solat berjemaah tiap-tiap awal waktu? Qiamullail tiap-tiap malam? Berbuka tak ikut nafsu? Tak usha awek/balak/akhawat/ikhwah cun/hensem? Tak pernah mengumpat? Betul?

  
Eh, bila pulak Mak Ngah menganjurkan pesta memotong bawang berjemaah kat dapur tu?

  
Bahkan, ada yang lebih aneh dan menghairankan bila mana ada juga segolongan yang tak pernah berjuang apa pun sepanjang sebulan yang lalu, yang turut meraikan hari kemenangan umat Islam ini.

  
Maksud saya, ada juga yang sepanjang Ramadan lalu, mereka ini sama sahaja seperti bulan-bulan lain, tidak menunaikan solat, mendedahkan aurat, mengumpat, rasuah, korupsi dan lain-lain. Namun bila tiba bab-bab menyambut hari kemenangan ini, merekalah yang berada di baris paling hadapan kaunter-kaunter pasaraya untuk membayar harga baju kurung, baju melayu, langsir, kasut, beg tangan, kebaya dan lain-lain lagi.

  
Mereka (atau mungkin kita) inilah golongan yang ajaib! Kerana mereka ini meraikan kejayaan tanpa kejayaan apa-apa! Menyambut kemenangan tanpa berjuang apa-apa! Menang tanpa bertanding.

   Cuba anda bayangkan, anda yang mencatatkan masa 50.4 saat untu berlari sejauh 100 meter itu, tiba-tiba dengan megahnya berjalan mendahului Usain Bolt untuk menuju ke podium bagi menerima pingat!


Sudah-sudah la tu Mak Ngah!

***


Syawal Bukan Penamat

  
Dan bagi anda-anda (baca: kita) yang merasa telah berjuang sepanjang Ramadan yang lalu, ketahuilah kedatangan Syawal bukan bermaksud penamat bagi segala-gelanya. Dengan berpindahnya Cikgu Ramadan yang baik hati itu, bukan bermakna anda sudah bebas melakukan apa sahaja.

  
Bahkan, kayu ukur kejayaan bulan Ramadan dan puasa kita dapat dilihat sepanjang sebelas bulan seterusnya, adakah kita menjadi semakin baik, atau syaitan yang menjadi lebih baik daripada kita? Adakah tujuan ‘semoga kamu bertakwa’ itu berjaya kita raih sebenar-benarnya?

  
Tidak ada maknanya segala penat-lelah kita sepanjang sebulan yang lalu, jika kita musnahkannya dengan kehadiran Syawal ini. Apa gunanya segala latihan keras dan tarbiah yang kita dapat melalui puasa, solat sunat, tadabbur al-Quran, solat malam dan sedekah jika kita kembali berpesta maksiat?

  
Apa gunanya esak tangis kita di sepuluh malam terakhir Ramadan bagi mencari lailatul Qadar, jika kita berhajat untuk kembali menikmati maksiat untuk seribu bulan yang akan datang?

Apa faedahnya kita menyambut hari kemenangan dengan kekalahan?

   Bayangkan jika Usain Bolt selepas berhempas pulas untuk memenangi emas di Olimpik London, tiba-tiba dengan bangga dirinya mengisytiharkan bahawa dia menggunakan dadah terlarang.

  
Atau Tanah Melayu, selepas gegak gempita melaung merdeka merdeka tujuh kali, tanda bebas daripada cengkaman British, tiba-tiba menghantar surat tawaran kepada Jepun untuk kembali menjajah negeri ini.

Eh.

Kita Hanya Musafir, Musafir di Aidilfitri

   Ada orang, mereka menyangka Aidilfitri adalah segalanya. Tidak hairanlah mengapa mereka sanggup berhabis-habisan bagi menyambut lebaran.

  
Namun sebenarnya, kita ini hanya musafir. Musafir di bumi Allah yang luas ini. Dalam letih perjalanan, dalam lelah mencari bekal buat meneruskan perjalanan, Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang memberi kita hari untuk bergembira. 

Idulfitri namanya. Hari untuk kita bergembira seketika.

  
Untuk kita kembali mengumpul tenaga, meraih momentum. Sebelum kembali bergerak mencari bekal permusafiran.

  
Idulfitri ini hanya hari raya. Hari raya yang kita sambut dalam musafir. Mahu beraya sakan? Tunggulah kita pulang ke kampung akhirat nanti.

Sekarang ini kita hanya musafir. Musafir di Aidilfitri.


*Maafkan saya kerana terlalu lama bercuti. Haha.
*Serius, sila jangan salah faham penulisan saya kali ini. Sumpah, ini bukanlah bermaksud saya inilah orang yang sebenar-benar layak untuk meraikan idulfitri, bukan juga bermaksud sayalah orang yang telah berjaya berjuang mengharungi sebulan Ramadan ini. Jujur, saya sendiri pancit di akhir-akhir Ramadan. Mungkin akibat kekurangan latihan intensif sebelum Ramadan.
*Dalam kemeriahan Syawal kita, jangan pernah lupa saudara mara seagama kita di seantero dunia. Mereka beraya dengan darah.
*Akhir kata, jika ada salah dan silap, jangan segan silu tegur. Maafkan saya jika mengguris hati saudara. Maafkanlah ek? Raya ni kot... ehehe

2 comments:

  1. pnjang. tahniah. akhirnya ada post ;p
    maaf zahir dan batin

    ReplyDelete
  2. sebulan tak menulis, haruslah panjang... :-D
    Taqabbalallahu minna waminkum...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...