Social Icons

Pages

Saturday, 1 September 2012

Debat Merdeka

[kredit]


*Sempena sambutan kemerdekaan yang ke 55 ini, saya dengan penuh rasa patriotik dan suka-suka hatinya mempersembahkan cerpen ‘Debat Merdeka’!!!
Semoga terhibur… ^^

“Merdeka!
Merdeka!!
Merdeka!!!
Mer…!!”

“Hoi! Senyap sikit jiran sebelah!!!”
-Pakcik Razali(bukan nama tipu), jiran sebelah.



“Tik tok! Tik tok! Tik tok!”

  
Sayup-sayup kedengaran dari jauh. Perlahan, namun cukup kuat untuk memecahkan kesunyian malam itu. Jarum yang paling panjang dan halus itu bergerak laju, seakan berusaha memintas dua lagi jarum yang lebih besar daripadanya. Tidak beberapa lama kemudian, ketiga-tiga jarum itu bertemu pada titik yang sama berhampiran dengan angka tiga. Menandakan waktu sudah menganjak ke jam tiga enam belas minit enam belas saat.

  
Di luar, dari kejauhan sudah mula kedengaran bunyi kokok ayam jantan bersahut-sahutan. Seakan-akan mengajak manusia untuk bangun dan mengabdi pada Tuhan. Bunyi cengkerik dan cicak turut berselang-selang, menjadikan malam yang suram itu dipenuhi oleh melodi alam.

  
Dia yang dari tadi tidak dapat tidur, menggaru-garu kaki dan tangan. Tidak selesa, barangkali diganggu oleh nyamuk-nyamuk buas. Disinari cahaya kelam dari lampu kecil di atas meja belajarnya, kelihatan dia sedang terkelip-kelip sendirian. Bukan dia tidak mahu melelapkan mata, bahkan sudah berkali-kali dicubanya. Namun hasilnya tetap sama. Gagal. Seakan-akan ada yang masih belum beres dari benak fikirannya.

  
Sekali lagi, dia memejamkan mata. Memaksa diri untuk tidur. Sebaliknya, fikirannya mula menerawang jauh…


                                                                ***


  
Bunyi tapak kasut itu semakin menghampiri. Habis bertempiaran pelajar-pelajar kelas Tingkatan Lima Al-Khawarizmi itu bergegas ke tempat duduk masing-masing. Mereka sudah arif benar dengan bunyi itu. Bunyi tapak kasut Cikgu Zura, guru kelas mereka. Suasana yang tadinya hingar-bingar, kini sunyi sepi.

  
Beberapa ketika kemudian, ternyata Cikgu Zura sudah tercegat di muka pintu kelas mereka. Masing-masing menunggu dengan penuh tanda tanya. Sekarang bukan waktu Cikgu Zura di kelas mereka.

“Hassan, Kumar, Linda, sila ke bilik saya sekarang…”
Serius nada Cikgu Zura sebelum beredar pergi.

  
Suasana kelas kembali hingar. Tertanya-tanya apa yang sedang berlaku, masing-masing mula membuat spekulasi dan andaian sendiri. Hassan, Kumar dan Linda perlahan-lahan bangun, mula mengorak langkah untuk menuruti Cikgu Zura. Mereka sendiri juga kurang pasti mengapa mereka dipanggil secara mengejut sebegitu.

“Oii!! Cikgu Zura panggil Hassan je la, bukannya Mat Hassan Munas! Hahaha…”
Bad mula mengusik. Seisi kelas ikut ketawa.

“Ni kau nampak ni???”
Hassan mengacukan buku limanya kea rah Bad. Geram.

 
Mat Hassan Munas. Itulah namanya. memang kedengaran agak pelik, namun dia sudah lali dengan usikan dan sindiran rakan-rakannya. Lagipun, itulah nama yang telah diberikan oleh arwah ayahnya.

  
Lama dahulu, pernah juga dia yang masih kanak-kanak itu merungut kepada ayahnya. Malahan, pernah beberapa kali juga dia meminta agar ayahnya menukarkan namanya. Namun ayahnya hanya sekadar tersenyum dan memandang tepat ke anak matanya.

“Hassan. Bukankah itu nama cucu kesayangan baginda Rasulullah? Dan Mat Hassan Munas pula, itu nama insan istimewa. Ulama yang menghunuskan senjata.”

  
Itulah jawapan ayahnya, setiap kali dia mengadu dan merungut. Jujurnya ketika itu, dia masih terlalu pucuk untuk menghadamkan kata-kata ayahnya itu. Dia hanya sekadar belajar untuk menerima hakikat. Apatah lagi selepas kematian ayahnya, persoalan itu tidak pernah lagi dibangkitkannya. 

Apa yang dia tahu, namanya, Mat Hassan Munas bin Mat Li.


                                                               ***


“Apa kau kata Linda? Cuba ulang sekali lagi? Telinga aku kurang dengar la…”
Kumar bersuara separuh terkejut.

“Betul la tu… Memang tajuk ni yang keluar, dan kita di pihak pembangkang…”
Linda menjawab acuh tak acuh.

“Bagi sini kertas tu.”
Hassan mencapai sehelai kertas dari tangan Linda.


‘TOK JANGGUT, DATO’ BAHAMAN, ABDUL RAHMAN LIMBONG: PEJUANG NEGARA?


   Minggu lalu, mereka bertiga dipanggil ke bilik Cikgu Zura. Debaran di dada mereka akhirnya terjawab apabila Cikgu Zura memaklumkan bahawa mereka bertiga terpilih untuk mewakili kelas mereka dalam pertandingan debat Piala Kemerdekaan peringkat sekolah mereka.

  
Pertandingan debat tersebut akan berlangsung seminggu sebelum Hari Merdeka. Dan mereka perlu melalui beberapa pusingan untuk sampai ke peringkat akhir yang akan diadakan di dewan besar sekolah pada Hari Merdeka nanti.

Hassan, Kumar dan Linda. Sememangnya barisan pendebat terbaik di kelas mereka.

  
Mat Hassan Munas Mat Li, tidak perlu diperkenalkan lagi sememangnya seorang pendebat berbakat semulajadi. Sering sahaja memenangi pertengkaran dan sesi bertikam lidah secara tidak formal di dalam kelas mereka.

  
Kumar A/L Ramasamy pula, meskipun bukan berbangsa Melayu, namun menurut guru sejarah mereka, Cikgu Hayati, Kumar lebih ‘Melayu’ daripada kebanyakan pelajar Melayu di sekolah mereka. Bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, Kumar juga amat menggemari puisi, syair, dan gurindam Melayu. Dia malah gemar sekali membaca Hikayat Hang Tuah dan sejarah Melaka.

  
Dan terakhir, Linda Muhamad. Gadis tinggi lampai ini sekali pandang mungkin kelihatan ala-ala perempuan Melayu terakhir. Namun begitu, siapa sangka disebalik wajah jelita dan penampilan lemah lembut itu, tenyata Linda amat petah berbalas hujah. Malahan ada teman sekelasnya menggelarkannya sebagai ‘Cik Linda Peluru’ disebabkan gaya pertuturannya yang agak laju itu.

  
Maka tidak hairanlah mereka bertiga dengan mudah sahaja berjaya melangkah ke pusingan akhir. Namun lawan mereka di pusingan akhir juga bukan calang-calang. Sakinah, Alia, dan Rasyid dari kelas Tingkatan Lima Al-Biruni. Sebagai juara bertahan, Sakinah, Alia dan Rasyid dilihat sebagai pilihan utama untuk menang. Apatah lagi tajuk kali ini seakan memihak kepada mereka.

“Dan aku dengar-dengar, pusingan akhir nanti akan ada tetamu istimewa yang datang. Khabarnya Menteri.”
Suara Linda kembali menujah ke dalam telinganya.

“Apa??? Aduh, ini yang buat aku lagi stress ni. Susah kot tajuk kita… arghhh!”
Kumar mula merungut.

“Takpe. Kita boleh menang.”
Tutur Hassan. Yakin.

                                                                  ***


  
Hassan kembali merenung ke arah jam dinding itu. Jam sudah menunjukkan pukul tiga setengah pagi. Entah mengapa, dia masih belum mampu untuk tidur. Emaknya sudah seawal jam sebelas malam tadi masuk tidur. Bukan dia tidak tahu, dia mesti tidur. Kerana esok merupakan hari penting buatnya. Pertandingan Debat Piala Kemerdekaan Peringkat Akhir.

  
Sebagai barisan pembangkang, mereka harus mematikan dan membangkang habis-habisan segala hujah dan isi daripada pihak kerajaan. Dan untuk pusingan akhir ini, mereka terpaksa membangkang tajuk ‘Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Abdul Rahman Limbong: Pejuang Negara?’

   Untuk itu, mereka harus mengerah segala kudrat dan keringat untuk membuktikan kepada barisan hakim, bahawa kenyataan tersebut adalah diluar daripada kebenaran sama sekali.

  
Hassan bingkas bangun, lantas menuju kearah meja belajarnya. Kerusi ditarik keluar sebelum duduk di atasnya. Tidak lama kemudian, Hassan sudah kembali membelek-belek helaian-helaian kertas berkeping-keping di tangannya itu. Helaian-helaian kertas itu mengandungi segala fakta-fakta dan isi bagi membantu hujah-hujah mereka nanti.

  
Benar, tajuk yang diperolehi seakan-akan tidak memihak kepada mereka. Bahkan Kumar sehingga hampir-hampir berputus asa. Walaupun begitu, pengalamannya dalam bidang debat telah banyak mengajarnya betapa setiap pihak sebenarnya mempunyai isi dan hujah yang seimbang untuk dibidas dan dipertahankan.

  
Menyelak helaian demi helaian, Hassan kembali membaca sepintas lalu isi-isinya. Sekadar memastikan dia sudah benar-benar bersedia.

 

Dato Bahaman:
Sebab penentangan:
-Hilang hak mengutip cukai
-Menentang pembinaan balai polis Lubuk Terua
-British memaksa Sultan melucutkan gelarannya

H.A.Rahman Limbong:
Sebab penentangan:
-Peraturan Tanah Baru 1921
-Pguatkuasaan Undang-undang Binatang Buas
-Peraturan Tanah Baru 1924

Tok Janggut
Sebab penentangan:
-Peraturan tanah yg mnyulitkan
-Cukai membebankan
-Sentimen anti-British
-Masalah membayar cukai


   Nah, bukankah di situ telah terletak jawapannya. Bahawa perjuangan tokoh-tokoh tersebut hanyalah didasarkan oleh beberapa faktor yang kebanyakannya membabitkan kepentingan diri mereka sendiri. Hilang hak memungut cukai, dilucutkan pangkat, kehilangan pengaruh dan berbagai lagi. Mana mungkin layak untuk mereka ini dinobatkan sebagai pejuang andai perjuangan mereka hanya didasarkan kepentingan peribadi mereka yang tergugat.

  
Apatah lagi melihatkan penentangan-penentangan mereka ini kebanyakannya tidak  mendapatkan restu daripada istana dan Sultan sekaligus menandakan mereka ini telah menderhaka kepada sultan. Penderhaka mana yang layak digelar pejuang. Bukankah Melayu itu pantang sekali membuat durhaka pada titah Sultan?

   Selain itu, kedatangan British di Tanah Melayu ketika itu ternyata membawa kemajuan dan kemodenan. Lihat saja jaringan pengangkutan yang dimajukan. Jalan-jalan berturap mula dibina di serata negara. Getah dan kelapa sawit diperkenalkan dan ditanam secara meluas. Bandar-bandar maju mula diwujudkan. Sektor perlombongan diterokai secara serius. Dan pelbagai lagi hujah dan isi yang sudah serasa mantap dan mapan membuktikan jasa-jasa baik pihak British kepada Tanah Melayu.

  
Hassan tersenyum sendiri. Keyakinan mula timbul dalam diri. Dia sudah dapat merasa kemenangan sudah hampir menjadi miliknya. Apatah lagi dengan kebijaksanaannya sebagai pendebat ketiga untuk menyanggah dan menghunjam hujah-hujah lawan. Dia seakan-akan sudah membayangkan wajah-wajah di pihak kerajaan yang akan tergamam membisu setelah dibidas olehnya. Senyumnya makin melebar.

  
Ketika dia sudah bersiap untuk meletakkan kembali helaian kertas itu, dia terlihat sehelai kertas lagi yang tertinggal tidak diambilnya tadi dari atas meja. Diambilnya sambil mengimbas baca sepintas lalu. Bimbang ada isi-isi yang tertinggal. Tiada apa-apa isi penting. Hanya perihal latar belakang beberapa orang tokoh tersebut.


H.A.Rahman Limbong
-nama sebenar: Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid
-dikenali dengan nama Abdul Rahman Limbong kerana kerap ke Limbong, Kemaman untuk mengajar ilmu agama.
-mengetuai Kebangkitan Tani dari 1922-1928
Dato Bahaman
-nama sebenar: Abdul Rahman bin Imam Noh
-dianugerahi gelaran Orang Kaya Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan.
-menjadi pembesar Temerloh selepas kematian Orang Kaya Indera Saga
Tok Janggut
-nama sebenar: Haji Mat Hassan bin Munas
-dilahirkan pada 1853 di Pasir Puteh, Kelantan.
-mendapat pendidikan pondok di Kelantan sebelum melanjutkan pengajian di Mekah.


Benar, tiada apa-apa isi penting. Dia kembali meletakkan helaian itu di atas meja.

  
Nanti dahulu! Tiba-tiba, ada perkara yang menjengah fikirannya. Dia kembali mengambil helaian kertas itu sebelum kembali membacanya dengan teliti.


Tok Janggut
-nama sebenar: Haji Mat Hassan bin Munas
-dilahirkan pada 1853 di Pasir Puteh, Kelantan.
-mendapat pendidikan pondok di Kelantan sebelum melanjutkan pengajian di Mekah.

-nama sebenar: Haji Mat Hassan bin Munas

Ya benar! Itu namanya!!!

                                                                ***


   Dia merenung jauh. Realiti yang baru disedarinya itu sedikit sebanyak mengganggu fikirannya. Selama ini dia menyangka bahawa hanya dia seorang yang memiliki nama sebegitu. Dia menyalahkan dirinya sendiri bagaimana dia boleh gagal menyedarinya, sedangkan ianya jelas-jelas telah tercatat di dalam lembaran buku teks sejarah yang mereka telaah saban minggu itu. Fikirannya kini seakan-akan buntu.

  
Jam sudah menunjukkan pukul empat pagi. Setelah sekian lama berjaga, akhirnya matanya sudah mula terasa berat dan pedih. Semakin lama kelopak matanya semakin terkatup. Akhirnya Hassan pun terlena.

  
Dalam tidurnya itu, Mat Hassan Munas dijengah mimpi yang aneh-aneh. Dalam mimpinya, dia diziarahi oleh gemulah ayahnya. Ayahnya yang sentiasa tersenyum manis itu ditemani oleh beberapa orang lelaki asing. Kesemuanya berpakaian serba putih. 

   Dan lelaki asing yang paling hampir dengan ayahnya itu berwajah cerah bercahaya. Janggutnya memutih hingga ke paras dada. Mereka semua tersenyum kepada Hassan. Senyum penuh makna.

“Anakku Hassan. Hassan. Bukankah itu nama cucu kesayangan baginda Rasulullah? Dan Mat Hassan Munas pula, itu nama insan istimewa. Ulama yang menghunuskan senjata.”

Hassan makin larut dibuai mimpi…


                                                                  ***


Hari pertandingan.

  
Awal-awal pagi lagi Hassan telah bangun. Usai sahaja solat Subuh dan sarapan, Hassan sudah bergegas bersiap untuk ke sekolah. Ibunya juga naik hairan melihatkan tingkah-lakunya pagi itu. Serba tidak kena.

  
Setibanya sahaja di sekolah, Hassan terus menuju ke Blok A. Tergesa-gesa dia mendaki anak-anak tangga menuju ke tingkat dua. Destinasinya, pusat sumber sekolah. Separuh terkejut Cikgu Zura, yang merangkap sebagai pengurus pusat sumber sekolah itu melihatkan kehadiran Hassan.

“Hah, Hassan, kamu buat apa di sini?”

“Cikgu, saya nak guna pusat sumber…”
mengah akibat mendaki tangga masih belum hilang.

“Tapi kan harini pusat sumber tutup. Cuti Hari Merdeka. Kamu dah siap-sedia ke untuk pertandingan debat tengah hari nanti?”

“Tolong cikgu, izinkan saya guna pusat sumber pagi ini. Pagi ini saja cikgu….tolong…”


                                                                ***


  
Para pelajar sudah mula memenuhi Dewan Ibnu Sina itu. Sebentar sahaja lagi, mereka akan menyambut kehadiran Dato’ Menteri, tokoh perasmi acara sambutan kemerdekaan sekolah mereka. Sejurus selepas itu, acara kemuncak hari itu akan berlangsung. Pertandingan Debat Piala Kemerdekaan Peringkat Akhir.

  
Beberapa lama kemudian, pengerusi majlis mengumumkan pertandingan bermula. Peserta-peserta dari kelas Tingkatan Lima Al- Biruni dan Tingkatan Lima Al-Khawarizmi mula melangkah naik ke atas pentas. Buat seketika, dewan gamat dengan tepukan dan sorakan sokongan dari para pelajar bagi menyatakan sokongannya pada pasukan pilihan masing-masing. Sakinah, Alia, Rasyid, Linda dan Kumar mula mengambil tempat.

“Sekejap-sekejap, mana Mat Hassan Munas?”
Ujar Bad dari tempat duduk penonton yang perasan meja pendebat ketiga pasukan dari kelas mereka itu masih belum terisi.

“Entah. Kau nampak dia pagi ni?”

“Tak nampak.”


                                                                ***


  
Keterujaan tersebar memenuhi atmosfera dewan. Masing-masing memberi tumpuan penuh kearah pentas    di mana pertandingan debat peringkat akhir sedang hangat berlangsung.

  
Buku bertemu ruas, mungkin itulah yang paling tepat untuk menyifatkan pertembungan barisan pendebat daripada kelas Al-Khawarizmi dan Al-Biruni ini. Masing-masing berusaha keras untuk menegakkan hujah pihak mereka. Sukar untuk meramalkan pihak mana yang akan berjaya memenangi pusingan akhir ini.

  
Namun yang anehnya, Hassan yang tiba lewat itu dari tadi masih belum bersuara. Usahkan untuk bangun mencelah dan mengganggu hujah pihak lawan. Hassan dari jauh kelihatan bermuram durja. Seakan ada suatu beban besar dalam kotak fikirannya.


                                                                  ***


  
Hassan menarik nafas dalam-dalam. Debar dalam dadanya cuba ditenangkan. Semuanya seakan berlalu dengan begitu pantas. Sekarang Alia sebagai pendebat ketiga dari meja kerajaan sedang petah berhujah untuk mematahkan setiap hujah dan isi daripada pasukan mereka. Linda dan Kumar selaku pendebat pertama dan kedua pasukan pembangkang nyata telah melakukan tugas yang cemerlang.

  
Itu menambahkan tekanan ke atasnya. Sebentar lagi, tibalah gilirannya sebagai pendebat ketiga. Seluruh harapan rakan-rakan sekelas mereka, harapan Cikgu Zura kini terpikul di atas pundaknya. Nafas berat dilepaskan. Sebentar sahaja lagi…


                                                                  ***


   Seisi dewan gegak gempita dengan sorak-sorai dan tepukan gemuruh dari kerusi penonton. Dato’ Menteri yang duduk di kerusi dif kehormat di sebelah pengetua hanya tersenyum. Luar biasa. Dia sendiri tidak menyangka anak-anak yang masih di bangku sekolah itu mampu berhujah sepintar dan sebernas ini.

  
Beberapa saat kemudian, suasana dewan menjadi sunyi sepi. Semua pasang mata yang ada di dalam dewan itu menumpukan pandangan kepada pendebat terakhir yang akan berhujah. Mat Hassan Munas.

  
Hassan semakin bergemuruh. Dia sudah selesai dengan kata-kata aluan. Dia memejamkan mata seketika. Mengumpulkan kekuatan.

“Saya selaku pendebat ketiga dari proksi pembangkang dengan ini ingin menyatakan dengan tegas bahawa saya menyokong penuh tajuk perdebatan kita hari ini…”

  
Dewan menjadi gamat sekali lagi. Ada yang ketawa. Tidak kurang yang berbisik-bisik hairan. Mereka menyangkakan Hassan tersasul bicara. Kumar malah menyiku perlahan Hassan sambil berbisik.

“Hassan! Kita pembangkanglah hari ini oi!!! Yang kau pergi sokong buat apa?”
Kumar berbisik geram kepada Hassan.

“ Saya dengan ini ingin mengajak para penonton dan hadirin sekalian untuk kembali merenung sejauh mana pembohongan sejarah yang telah disuapkan kepada kita semua selama ini.”

Semua sidang penonton mula kehairanan. Aneh.

“ Betapa selama ini dalam tidak kita sedari, sejarah negara kita diseleweng sewenang-wenangnya demi menjaga kepentingan pihak tertentu. Dalam diam, sejarah negara kita sendiri telah dilondehkan dihadapan mata kita sendiri. Kita telah dimalukan dengan sejarah bangsa kita sendiri.”

Penonton mula berbisik tidak senang.

  
“Sama ada kita sedari atau tidak, kebanyakan teks-teks sejarah yang ada hari ini secara diam dan licik cuba menyuntik doktrin-doktrin jahat ke dalam minda rakyat dari usia yang sangat muda lagi. 
   Kita cuba dimomokkan bahawa kebangkitan pejuang-pejuang tempatan seperti Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong ini hanyalah merupakan satu pemberontakan terhadap pemerintahan kolonial British pada masa itu. Penentangan mereka ini hanya disebabkan oleh faktor-faktor murahan dan bacul. Hanya disebabkan oleh hak-hak mereka yang terganggu dan kuasa mereka mula terhakis.
   Berapa ramai antara kita hari ini yang menganggap kebangkitan Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hanya kerana mereka ini kehilangan kuasa memungut cukai dan dilucutkan pangkat. 
   Namun berapa ramai yang tahu hakikat sebenar kebangkitan jihad mereka? Apa mungkin perjuangan suci mereka yang turut mendapat suntikan semangat jihad dari ulama tersohor Tok Ku Paloh yang juga dikenali sebagai ‘Syaikul Islam Terengganu’, sewaktu mereka berundur ke Terengganu itu, hanya disebabkan periuk nasi mereka terganggu?
   Apa mungkin Tok Ku Paloh ini bersungguh-sungguh memotivasikan mereka agar kembali ke Pahang untuk menyambung perjuangan, hanya demi untuk harta dunia yang sementara itu?
      Dan juga adakah semurah itu perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu? Bersusah payah bangkit menentang hanya kerana dilarang untuk membuka tanah pertanian baru dan berburu binatang liar. 
   Adakah serendah itu sahaja mentaliti pejuang bangsa ini yang hidupnya sehari-hari dihabiskan untuk kepentingan agama, berulang alik ke Limbong, Kemaman untuk menyebar dan mengajarkan agama? 
   Apa kita rela untuk terus mengakui bahawa ulama besar yang mengajar kitab-kitab seprti Al-Jurumiyyah, Mutammiman, Tashil Nail Al-Amani, Matn Ummul Barahin, Faridah al-Faraid dan berbagai-bagai lagi hanya bangkit menentang kerana dihalang untuk bercucuk tanam? 
   Juga pastinya tidak ramai yang mengetahui bahawa ulama yang suka mengembara ini malah mempunyai ramai murid di serata Sambas, Jambi, Riau dan Brunei.

Hadirin yang saya kasihi,

  
Adakah kita akan terus berdiam diri, apabila Tok Janggut terus dicop sebagai pengganas dan pemberontak kepada penjajahan British di Kelantan. Apa benar Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan bin Panglima Munas ini mengangkat senjata hanya kerana terbeban dengan cukai yang tinggi? 
   Benar tokoh pejuang ini mengisytiharkan perang ke atas British hanya disebabkan kedatangannya berkali-kali ke pejabat bayaran cukai untuk membayar cukai tidak dilayan oleh British?
   Namun, berapa ramai yang menyedari bahawa tokoh ulama yang pernah menuntut ilmu hingga ke Mekah ini bangkit mengangkat senjata, adalah demi untuk menyahut seruan jihad yang difatwakan oleh mufti besar Khilafah Turki Uthmaniah? Berapa ramai yang sedar, Haji Mat Hassan bin Munas ini berjuang demi untuk kesejahteraan agama dan kita semua? 

Sungguh, mereka semua ini insan istimewa. Ulama yang menghunus senjata!

  
Dengan ini, saya, Mat Hassan Munas bin Mat Li, sekali lagi mengulangi pendirian saya yang menyokong penuh tajuk pada hari ini. Bahawa Tok Janggut, Dato Bahaman, Haji Abdul Raman Limbong dan pejuang-pejuang yang lainnya merupakan pejuang negara yang harus kita kenang dalam doa-doa kita. 

   Marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihan kepada roh-roh mereka. Mudah-mudahan diampunkan dosa-dosa kita, yang telah banyak memfitnah, memperlekeh, dan salah faham terhadap perjuangan mereka.
   Saya tinggalkan hadirin sekalian dengan satu persoalan. Siapakah sebenarnya yang menulis sejarah negara kita? Kita sendiri ataupun Barat yang menulisnya?”

“Assalamualaikum W.B.T”

  
Sejurus selepas itu. Hassan terus beredar meninggalkan pentas langsung meninggalkan dewan. Meninggalkan para hadirin dan barisan hakim yang masih kebingungan. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru berlaku di sebentar tadi di hadapan mata. Linda dan Kumar juga ikut terdiam. Tidak tahu untuk berbuat apa.


                                                                  ***


   Malam itu Hassan masuk tidur lebih awal dari biasa. Seharian yang berlalu tadi amat mendera jiwanya. Sebaik sahaja dia melangkah keluar dari dewan itu hinggalah ke loceng akhir dibunyikan, tiada seorang pun yang mahu bercakap dengannya. Dari khabar angin yang didengarinya juga, tuan pengetua turut kesal dengan tindakannya. Dia dianggap tidak menghormati majlis. Malahan, dia dituduh telah memalukan imej sekolah di hadapan Dato’ Menteri.

  
Kumar dan Linda juga turut bermasam muka dengannya. Manakan tidak, segala harapan menggunung mereka untuk menyandang juara hancur berkecai disebabkannya. Tanpa perlu bersusah-payah menghitung markah, Tingkatan Lima Al-Biruni diumumkan sekali lagi sebagai pemenang pertandingan debat Piala Kemerdekaan tahun ini.

   Dalam pada itulah, tanpa disedarinya, dia terlena. Dalam tidurnya, dia kembali dijengah gemulah ayahnya. Dan tentu sahaja teman-teman asingnya. Kali ini, ayahnya menghampirinya lantas mengusap-usap rambutnya seperti yang selalu dilakukan semasa dia masih anak kecik dahulu. Air mata mula bertakung di kelopak matanya. Tuhan sahaja mengetahui betapa rindunya dia kepada arwah ayahnya.

“Kau tahu siapa yang bersama-sama ayah ini Hassan?”

  
Ayahnya bersuara tenang sambil memandang sekilas kepada teman-teman di belakangnya. Lelaki tua berjanggut panjang dan beberapa lagi temannya tersenyum manis kepadanya.

“Tidak, ayah. Siapa mereka?”
Balas Hassan.

“Inilah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas atau Tok Janggut. Yang disebelahnya itu Haji Abdul Rahman Limbong, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau. Mereka semua datang untuk menziarahimu.”
Ujar ayahnya.

Tetamu-tetamu serba putih itu melangkah menghampirinya.

“Terima kasih Hassan. Kerana sudi membela kami.”
Ujar Tok Janggut sambil tersenyum.

“Benar, terima kasih. Allah sahaja mampu membalasnya.”
Ujar beberapa orang temannya yang lain.

“Ingatlah. Meski kau tidak menang di dunia, kau akan menang di Sana.”
Ayahnya menyambung bicara sambil merangkul tubuhnya. Memeluknya. Erat.

  
Malam semakin larut. Dan Hassan semakin hanyut dibuai mimpi. Dan buat kali pertamanya hari itu, dia tersenyum. Senyum penuh makna. Senyum penuh erti.


“Hassan. Bukankah itu nama cucu kesayangan baginda Rasulullah? Dan Mat Hassan Munas pula, itu nama insan istimewa. Ulama yang menghunuskan senjata.”


-Tamat-


-Akhi Nawawi

   Fuh, Alhamdulillah berjaya juga saya menyiapkan cerpen ini. Beruban jugakla nak menyiapkan cerpen ini. Kepada yang sudi membaca sehingga ke akhirnya ini, ribuan maaf dipinta. Terlebih panjang dari yang sepatutnya. Moga susah payah kalian membacanya berbaloi dengan manfaat yang dapat diambil darinya.
p/s: Cerpen ini terinspirasi dari kisah benar. Ya, sudah tentu telah saya gubah dan rombak sesuka hatinya melempaui batasan. Haha.

   Akhir kata, marilah kita sedekahkan bacaac Al-Fatihah kita kepada arwah-arwah ‘pemberontak’ negara kita ini, semoga mereka ditempatkan di kalangan syuahada’. Dan juga, jangan pernah kita lupa, untuk mendoakan kemenangan kepada perjuangan saudara-saudara ‘pemberontak-pemberontak’ kita di Syria dan seluruh ceruk rantau lain dunia. Amin.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55!!!
(untuk mengelakkan sebarang kontroversi, tiada tema kemerdekaan dari mana-mana pihak yang digunakan di sini, haha)



1 comment:

  1. peh
    saya baca !
    tahniah

    ini harus diketengahkan. ramai masih tertipu

    moga Allah redha dgn usaha nta :)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...