[kredit] |
Petang itu tenang. Bunyi riuh-rendah para pelajar sudah reda, lalu sunyi mengisi atmosfera.
Dari jauh, Amir termenung melempar pandang ke arah perkarangan asrama lelaki yang sudah sepi. Barangkali semua penghuninya sudah bergerak ke kelas semula untuk sesi kelas persediaan petang. Dari atas tangki di puncak bukit itu, tiada sebarang kelibat manusia kelihatan di sekitar asrama. Mungkin empat lima orang pelajar yang malas untuk ke kelas sudah curi-curi masuk kedalam dorm masing-masing.
Tidak lama kemudian, dari jauh kelihatan satu susuk tubuh seorang gadis gempal sedang berjalan terkedek-kedek menuju kearah blok akademik sambil mengepit beberapa buah buku rujukan. Amir kenal benar, tentu sahaja itu Ani, bendahari kelasnya yang sudah terlewat untuk ke kelas. Amir sekadar tersengih dari jauh. Kalau dekat sudah pasti dia akan menyakat si Ani gempal itu. Sekali-sekalai Ani berhenti sambil membetulkan letak beg sandangnya di bahu.
"Cantik."
Satu suara perlahan dari sebelahnya membuatkannya separuh melompat. Terkejut.
"Hah! Apa kau kata?"
Amir berpaling spontan ke sebelahnya, tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
Kelihatan Muadz sedang berbaring di sebelahnya. Matanya sedang menengadah ke langit.
"Cantik."
Gumamnya perlahan sekali lagi.
"Langit. Cantik. Warna biru."
Ujar Muadz perlahan tanpa mengalihkan pandangan. Senyum terukir di bibirnya.
Amir menghembuskan nafas kelegaan. Tidak lama kemudian, dia turut menyertai Muadz berbaring diatas lantai tingkat atas tangki air asrama mereka itu. Pandangannya turut dilemparkan kosong ke langit. Biasa-biasa aja. Getus hatinya.
"Amir. Cita-cita kau nanti nak jadi apa ek?"
Sekilas Muadz memandangnya sebelum kembali memandang kearah langit.
"Ek?"
Amir mengerutkan kening. Berfikir.
"Erm entahlah Muadz, tak pernah pulak aku berfikir serius pasal tu. Aku ingat kan, kalau susah-susah sangat nanti, aku apply je mintak jadi Sultan. Tak pun jadi Yang di-Pertuan Agong pun masyuk gak. Hahaha"
"Pukk!"
Tangan Muadz sudah hinggap di dahinya.
"Woi, ape ni? Sakit la... Yang kau tu tiba-tiba tanya kenapa? Cita-cita kau apa?"
Amir menggosok-gosok perlahan dahinya.
"Cita-cita aku? Tu."
Ujar Muadz sambil menjuihkan bibirnya ke langit.
"Ek, langit? Kau nak jadi angkasawan?"
"Tak. Tu tinggi sangat. Gayat. Lagipun mana pernah dibuat dek orang orang Malaysia naik ke angkasa. Ingat kita ni duduk Russia ke apa?"
"Habis tu?"
"Aku nak jadi pilot. Langit warna biru. Cantik."
Senyum Muadz makin melebar.
Amir buat muka meluat.
"Eleh, nak jadi pilot konon. Prep pun ponteng..."
Ujarnya perlahan.
"Pap!"
Sekali lagi tangan Muadz melayang hinggap atas dahinya.
"Woi, sakit la woi! Apa main pukul kepala ni?"
"Haha padan muka kau. Nasib baik aku tak bagi kaki."
"Kurang ajar. Meh sini aku balas balik."
"Mimpi la kau! Haha"
Tiba-tiba dari jauh kedengaran kuat bunyi enjin sebuah motosikal Honda tua.
"Alamak!!! Ustaz Khairul! Cabut!"
Kedua-dua mereka kelam kabut menuruni tangga tangki air itu.
***
"Mamak, Nasi goreng U.S.A satu, teh tarik satu."
Ujar Pijan sejurus sahaja sebelum melabuhkan punggungnya di atas kerusi restoran itu.
"Ah, hari ni aku tak kira, memang nampak menipu sangat la kalau budak baru balik Rusia taknak belanja. Ala, aku tau ko kat sana bukan pakai banyak mana pun duit biasiswa tu. Daripada reput kena baham tikus macam tu je baik buat makan. Hahaha."
Pijan menyeringai sengih kearah Muadz.
"Haah ye la sangat tu aku ni banyak duit. Buatnya kejap lagi aku tak cukup duit, aku bayar pakai Russian Rubles maunya terbeliak mata mamak tu. Haha."
"Alah kau Muadz. Bukan selalu pun dapat peluang nak lepak sama-sama macam ni. Nanti kau dah start jadi pilot nanti, nak cecah kaki kat bumi pun dah jarang. Jadi baik manfaatkan kesempatan untuk belanja kitorang ni."
Awe turut berkomplot mengenakan Muadz. Kali ini, Amir dan Pijan hanya jadi tukang gelak.
"Alah, ye la ye la. Aku belanja."
"Yes!"
"Heaven!"
"Hahaha"
***
"Eh Muadz, esok kau ade ape-ape plan tak?"
Amir memandang sekilas Muadz di tempat duduk penumpang.
"Erm... Aku rasa takde kot. Baru-baru balik ni tak sibuk lagi. Kenapa?"
"Jom?"
"Mana?"
"Ala, tempat biasa..."
Amir mengangkat kening dua kali kepada Muadz.
"Uish, hang tak takut kena ligan ngan Ustaz Khairul ke?"
"Ala, apa nak takut. Aku dah jadi warden kat sana sekarang."
"Pergh!!!"
***
"Fuh, rasa macam jadi muda semula kot. Macam zaman-zaman sekolah menengah dulu."
Ujar Muadz sambil duduk berpeluk lutut disebelah Amir. Angin yang bertiup kuat di puncak menara tangki air itu menghembus mukanya sambil bermain-main dengan hujung rambutnya.
"Eleh, ye la tu macam muda. Muka dah macam bapak orang dah lagi mahu perasan muda ka dey?"
Amir tersengih mengusik sambil menolak kepalanya.
"Woi apa main kepala ni? Haha"
Tidak lama kemudian, kedua-dua mereka mengubah posisi. Berbaring menghadap ke langit. Suasana sepi seketika. Masing-masing hanyut melayan perasaan. Mengimbau kenangan.
"Subhanallah langit. Warna biru. Cantik."
Ujar Amir sambil matanya menerawang ke langit.
"Ek? Itu trademark aku la. Apsal ko plak yang guna."
"Haha."
Suasana jadi sunyi semula. Fikiran Muadz kembali menerawang jauh.
"So, sekarang, apa cita-cita kau Muadz?"
Tiba-tiba Amir memecahkan kesunyian.
"Apa dia kau tanya?"
"Aku tanya, sekarang, apa pulak cita-cita kau. Dulu kau cakap cita-cita kau nak jadi pilot. Sekarang kau dah capai cita-cita tu. So, apa pulak cita-cita kau lepas ni."
"Eh? Means? Maksudnya?"
Muadz memandang Amir di sebelahnya dengan kening berkerut. Tanda kurang mengerti.
***
Jam dinding di ruang tamunya sudah berdenting sebanyak tiga kali. Tanda waktu sudah menginjak ke pukul 3 pagi. Ahli keluarganya yang lain sudah lama tidur.
Namun Muadz masih terpisat-pisat di atas katilnya sambil merenung kipas siling biliknya yang sedang berputar perlahan-lahan.
Sekali-sekala pandangannya jatuh kearah meja belajarnya. Sebuah buku kecil terletak damai diatas meja itu. Buku pemberian Amir tadi siang.
Antara Semalam Dan Hari Ini.
Namun yang tak pernah berhenti terngiang-ngiang dalam fikirannya ialah perbualannya bersama Amir tadi.
"Ye la, dulu kau bercita-cita nak jadi pilot. Nak bawak kapal terbang. Dan sekarang, here you are. Kau dah capai apa yang kau cita-citakan. Apa yang kau nak selama ni dalam hidup kau, kau dah dapat. Sekarang apa? Apa cita-cita kau lepas ni? Apa yang akan terus membuatkan kau terus bermotivasi untuk terus jalani hidup ini. Apa yang kau nak capai dalam hidup kau sebenarnya? Takkan lepas ni, kau cuma akan go on with the flow. Habiskan saki baki hidup kau, yang tak tahu akan habis bila. Hidup sekadar tunggu mati. Sebab apa yang kau nak selama ni kau dah kecapi?"
Muadz menggosok-gosok rambutnya yang sudah sedia serabut. Pandangannya kembali jatuh pada meja belajarnya. Jatuh pada buku kecil pemberian Amir tadi. Buntu dia buntu.
***
Amir menanggalkan kaca matanya, kemudian memicit-micit batang hidungnya. Penat. Jam di tangan dah menunjukkan pukul 3.15 pagi. Dia melipat komputer ribanya. Cukuplah setakat ini dahulu. Proposal tesisnya itu akan disiapkan pada masa-masa yang lain pula.
Amir merenung jam di tangan kembali. Menghitung-hitung. Ah, hanya ada beberapa jam sahaja lagi waktu untuk melelapkan mata sebelum masuk waktu Subuh. Dia lantas melabuhkan tubuh diatas tilam. Telefon bimbit di sisi dicapai. Jam penggera dipastikan sudah dihidupkan. Memastikan diri tidak terlajak Subuh gajah Tom Yum Goon.
Kaca mata diletakkan di kepala katil. Mata dipejamkan. Keletihan, sebentar sahaja diri sudah terasa berada di awang-awangan.
Satu saat.
Dua saat.
Tiga...
"Kringg....!!!"
Bunyi penggera telefon bimbit kedengaran lantang memecah hening pagi.
Ah, sekejapnya.
Telefon bimbit masih terus berdering.
"Kringg....!!!"
Amir mencapainya malas-malas. Sebelah matanya dibuka berat memerhatikan skrin telefon bimbitnya. Berhajat menangguhkan penggera seketika.
Ah, bukan penggera.
Panggilan masuk.
Muadz!
***
"Assalamualaikum Muadz."
"Waalaikummussalam. Hah Amir. Kau kena tolong aku."
Agak kaget kedengaran suara Muadz di hujung sana talian.
Segera mata Amir segar terbuka. Bingkas dia bangun lalu duduk di birai katil.
"Hah, kenapa Muadz? Ada apa masalah?"
"Kau kena tolong aku Amir. Aku baru sedar..."
"Sedar apa?"
"Aku rasa kosong. Aku rasa aku macam dah takde tujuan hidup..."
"Aku rasa lost. Aku rasa blur. Aku rasa aku dah tak tahu apa aku nak capai dalam hidup aku. Apa cita-cita aku. Kau kena tolong aku."
Bibir Amir mula mengukir senyum.
"Muadz, kau nak tak kalau aku bagitahu kau, apa cita-cita hidup kau. Cita-cita yang harus kau kejar?"
"Apa dia?"
"Redha Allah."
"Syurga."
***
Langit awal pagi itu cantik. Meski gelap, ia tetap cantik. Awal pagi itu, Muadz dan Amir tertidur dalam senyum. Di bawah naungan langit yang cantik.
:')
ReplyDeletesweet
simple
srappp
ok kerepek dah
Banyak lg kne bljr dengan tuan inspektor. Hoho ^^
ReplyDeletethumbs up ! sbb cerita ni pasal langit , double thumbs up !
ReplyDelete