Social Icons

Pages

Thursday, 22 March 2012

Pak Mat: Kisah Misteri Seorang Nelayan (Part 1)

ish misteri sungguh...

    Kata sahibul hikayat, adapun lima ratus delapan puluh tahun dahulu, iaitu beberapa puluh tahun sebelum Feringgi dikhabarkan melanggar Melaka, tinggallah seorang lelaki misteri di sebuah kampung di pinggir kota Melaka. Adapun kenapa lelaki ini dikatakan misteri biarlah hamba hikayatkan sebentar lagi. Isy, sabarlah tuan-tuan dan puan-puan ini, adakah begini rupanya akhlak dan adab masyarakat kita Melayu di zaman tuan-tuan nanti? Tiada bersabar dalam setiap laku tingkah? Hahaha

   Adapun masyarakat di kampung ini, biarlah hamba namakan sebagai kampung 1 Tanah Melayu, hidupnya dalam keadaan sentosa dan aman bahagia. Memanglah di zaman ini Kerajaan Melaka belum lagi terfikir untuk memberi subsidi kepada harga padi huma mahupun minyak tanah, jauh sekali menyediakan elaun persaraan kepada warga emas seperti yang tuan-tuan nikmati di zaman tuan-tuan sekarang ini, namun, masyarakatnya tetap hidup dalam suka dan gembira. Mungkin ini barakahnya kami-kami ini hidup di bawah pemerintahan Islam. Yang bertani menanam padi, yang menternak mengembala kambing, yang berdagang menjaja jualan, yang ke laut mencari ikan. Semuanya bergembira dengan kerja masing-masing.


  Apatah lagi di zaman ini, tiadalah sangat duniawi untuk dikejar-kejar. Tiadalah lagi kaum Benggali Putih itu masuk berdagang di negeri kami ini menjaja segala macam gadjet-gadjet seperti yang saudara gilai itu, ha, yang itulah, Samsung Galaxy S, I-Pad 2, haish, tiadalah hamba tahu sangat nama-namanya itu.

    Hidup kami hanyalah cukup sekadar bekerja, makan, tidur, bergurau-senda dengan anak isteri. Adapun hal-hal ibadat janganlah tuan-tuan bersu-udzon(buruk sangka) dengan kami ini, adalah kami ini daripada masyarakat yang menjaga segala amalan-amalan sunat apatah lagi yang wajib. Setiap hari Senin dan Khamis akan bersesaklah sekalian tua-muda di perkarangan istana, menanti bilal Melaka melaungkan azan Maghrib, sebagai tanda bagi kami semua untuk berbuka puasa bersama-sama Sultan Melaka dan jemaah menteri kabinetnya. Di zaman tuan-tuan ada? Hahaha sekali lagi.

   Dan setiap pagi hujung minggu akan bersesaklah semula kami-kami ini, kali ini di madrasah istana, buat menyambung pengajian agama yang berlangsung saban minggu. Adapun di madrasah ini, kami diajarkan ilmu-ilmu tauhid, fiqah dan akhlak. Mudah-mudahannya supaya kami rakyat Melaka ini menjadi rakyat yang berilmu lagi bertakwa, supaya urusan jual-beli di pelabuhan Melaka tiadalah dicemari dengan riba, juga tiadalah lagi berlaku campur-baur antara kaum laki-laki dan perempuan dalam majlis-majlis rasmi istana sepertinya yang berlaku di zaman sebelum Islam menyelinap masuk dalam hati-hati masyarkat negeri ini. 

  Juga agar tiadalah lagi masyarakat kami ini yang merasa undang-undang kanun Melaka yang terkandung hukuman hudud dan takzir itu menzalimi rakyat, apatah lagi mengatakan ianya kolot dan ketinggalan zaman bagi kami, rakyat Melaka yang sudah mampu berkereta kuda ini. Juga minta dihindarkan negeri kami ini, jauh dari pemerintah yang bakal mengatakan hukum ini sebenarnya tiada dalam kitab Al-quran. Eh, kenapa tuan-tuan menggaru kepala? Di negeri tuan-tuan adakah? Hehe

  Jadi marilah kita kembali kepada kisah lelaki misteri tadi, sebelum tuan-tuan mula berasa bosan dan mual-mual dengan cerita hamba yang berbelit-belit ini. Jadi marilah kita namakan lelaki ini sebagai Pak Mat, nama yang masyhur di dalam negeri Melaka ini. Adapun di Kampung  1 Tanah Melayu ini, pernah terdapat sebanyak tiga puluh tiga orang yang bernama Pak Mat, mak aih banyaknya, mungkin itulah reaksi tuan-tuan semua sebentar tadi, namun begitulah hakikatnya yang terjadi. 

  Adapun yang bernama Muhammad Rasyidi Ramli itu, apabila besar kelak tiadalah dipanggil Rasyid ataupun Edy melainkan dipanggil Pak Mat jua. Begitu juga dengan nama-nama lain, Muhammad Iffan Makki, Ahmad Maher Al-Zaini, Muhammad Zakry Fakry Fazry, dan nama-nama lain semuanya berakhir dangan gelaran Pak Mat jua.

  Arakian di kampung tersebut terdapatlah pelbagai-bagai Pak Mat, Pak Mat Tiger ada, Pak Mat Gasing ada, Pak Mat Tekong ada, tidak ketinggalan juga Pak Mat Wifi yang menyewakan chalet di pelabuhan Melaka, buat penginapan pedagang dari Gujerat dan Canton.

  Adapun bukan Pak Mat-Pak Mat yang ini yang ingin hamba hikayatkan, yang hamba katakan misteri itu, yang itu Pak Mat yang lain. Pak Mat yang itu ialah….. Pak Mat Si Nelayan. Adapun pastilah timbul musykil di hati tuan-tuan, apakah yang misterinya dengan Pak Mat Nelayan ini? Sudah hamba duga tuan-tuan ini memang tidak penyabar orangnya. Baiklah izinkanlah hamba untuk berhikayat…

 Misteri yang hamba maksudkan di sini bukanlah misteri kerana Pak Mat ini ada menternak jin setan segala, bukanlah jua kerana Pak Mat ini menjadi pengacara rancangan Misteri Nusantara yang masyhur di zaman tuan-tuan itu. Bukan.

  Adalah yang menyebabkan misterinya Pak Mat ini adalah kerana, seumur hidupnya belum pernah ada penduduk Melaka yang melihatnya keluar ke laut, bekerja, apatah lagi melihat Pak Mat ini memikul pukat naik ke atas jong dan perahu, jauh sekali melihat Pak Mat mendarat di pantai sambil tersengih puas memikul beberapa guni ikan dan sotong. Bahkan belum ada yang pernah melihat Pak Mat berada dalam lingkungan jarak 3 meter dari gigi air. 

  Begitulah kemisterian Pak Mat yang menjadi buah mulut orang kampung. Hendak dikatakan yang Pak Mat ini menjalankan bisnes dari rumah, tidak. Juga mustahil Pak Mat ini menjalankan bisnes online mahupun menjadi ajen topup kerana, jangankan internet, telefon awam saja belum wujud pada zaman ini.

  Jadi adapun Pak Mat ini dinamakan Pak Mat Nelayan hanyalah kerana ayah, datuk dan moyangnya dulu merupakan seorang nelayan, jadi sudah menjadi hukum adatlah bahawa Pak Mat juga akan membesar dan meneruskan karier di dalam bidang perikanan ini jua. Juga digelar orang sebagai Pak Mat nelayan adalah kerana, tiadalah panggilan Pak Mat lain lagi yang tinggal di kampung itu, seperti yang hamba hikayatkan tadi Pak Mat Gasing, Tempe, Keropok losong, telekom, wifi, bomba semuanya sudah mempunyai pemilik. Jadi yang tinggal hanyalah Pak Mat nelayan sahaja….

  Adapun Pak Mat ini tidaklah tua orangnya, bahkan mungkin boleh digolongkan sebagai seorang muda belia lagi. Namun, oleh kerana melihatkan Pak Mat ini tiadalah pekerjaannya sehari-hari, melainkan berehat-rehat sahaja, layaknya seperti CEO syarikat yang telah pencen, maka cocok benarlah dengan panggilan ‘Pak” itu.

   Pekerjaan Pak Mat ini sehari-hari hanyalah beristirehat bersama isterinya di tepian pantai. Adapun bagaimana Pak Mat ini mampu beristeri sedangkan beliau tidak bekerja, itu satu misteri yang lain pula. Tiadalah mahu hamba menghikayatkannya di sini. Bimbang berlaku ghibah pula, haish!  Jadi pekerjaannya bermula dari terbit matahari hanyalah beliau akan pergi berehat-rehat di bawah pokok rhu di tepi pantai bersama-sama isterinya. 

  Isterinya pula akan membawa buah-buahan dan makanan-makanan ringan yang lain ke tepi buaian kain yang terikat antara pokok-pokok rhu itu, tempat Pak Mat menghabiskan kebanyakan masanya dengan berehat-rehat. Berterusanlah amalan makan-makan dan berehat-rehat mereka berdua itu hinggalah azan Maghrib dilaungkan di masjid berdekatan, barulah mereka berdua akan berkemas-kemas untuk pulang menyambung istirehat di rumah pula. Begitulah hal keadaan mereka sehari-hari. Wah, misteri bukan?

  Begitulah hal keadaannya Pak Mat dan isterinya itu sehari-hari. Rutin tersebut telah diamalkan secara istiqamah oleh Pak Mat sejak bertahun-tahun lepas. Sehinggakan telah menjadi bengkok pokok rhu tempat Pak Mat mengikat buaiannya itu, dek kerana menampung keberatan Pak Mat yang hampir menyamai berat seekor anak paus biru itu.

  Sudah puas penduduk kampung membincangkan misteri Pak Mat itu, ada yang berpendapat, mungkin Pak Mat merupakan seorang putera raja Majapahit yang berhijrah ke tanah Melaka, justeru mempunyai harta yang bertimbun-timbun, hingga tiadalah perlu mengerah keringat membanting tulang mencari rezeki. Ada juga yang mengatakan Pak Mat itu tiadalah dia itu tidak bekerja melainkan kerana membela toyol buat mencuri duit dan barang kemas penduduk kampung. Begitulah, semua bersangka-sangka tanpa sebarang bukti saintifik yang konkrit.

   Hinggalah pada suatu pagi yang cerah.... (to be continued)





2 comments:

  1. =.=

    jazakallah ats perkongsian. moga Allah redha :)

    ReplyDelete
  2. syukran inspector saahab. fajazakallahu khairan kathiran aidhan...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...