Social Icons

Pages

Sunday 16 December 2012

Saya semangat Vs Saya faham

[kredit]


“Ingat akhi, Islam ni, kalau berjuang kerana isu, isu akan sejuk. Berjuang kerana semangat, semangat akan hilang. Berjuanglah kerana faham.”

  
Begitulah kurang lebih, kata-kata yang saya dengar dulu. Dulu, lama dulu, waktu saya mula-mula belajar ber-akhi-akhi dengan orang. Lama, korang silap-silap tak lahir lagi. Ewah.

Sunday 4 November 2012

Tuesday 23 October 2012

Semalam Yang Manis

[kredit]



  Dari jauh, mendengar bunyi deburan ombak menghempas pantai, seakan-akan rasa sayu pula. Ombak yang setia melaksanakan tugasnya, berukhuwah dengan pasir-pasir di sepanjang pesisir pantai. Nun di kejauhan, kelihatan beberapa buah bot nelayan sederhana besar sedang membelah permukaan air.

  Awal-awal pagi begini, sudah ada nelayan-nelayan yang sanggup meninggalkan kehangatan rumah mereka, demi mencari sesuap (ok tipu sangat la sesuap kan) rezeki buat anak-anak dan isteri.

Tuesday 16 October 2012

Jatuh

kredit



“Akhi,

Tau tak, apa yang lagi sakit daripada jatuh?”

“Ya, untuk bangun semula.”


Monday 24 September 2012

Cabutan Super Bertuah

[kredit]

“Tok tok tok!”

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam…”

“Ok, akak, pertama sekalinya saya nak ucapkan tahniah kat akak, sebab akak sungguh bertuah hari ini terpilih dalam program gores dan menang anjuran syarikat kami…”

Thursday 6 September 2012

Fahami Prioritas



Wah, dah macam artikel bahasa Indonesia pulak. Jangan bimbang, anda tak perlukan Revalina S. Temat pun sebagai penterjemah. Haha.

Baik, lurus kepada titik (baca: straight to the point). Sila hadamkan situasi-situasi berikut.

Saturday 1 September 2012

Debat Merdeka

[kredit]


*Sempena sambutan kemerdekaan yang ke 55 ini, saya dengan penuh rasa patriotik dan suka-suka hatinya mempersembahkan cerpen ‘Debat Merdeka’!!!
Semoga terhibur… ^^

“Merdeka!
Merdeka!!
Merdeka!!!
Mer…!!”

“Hoi! Senyap sikit jiran sebelah!!!”
-Pakcik Razali(bukan nama tipu), jiran sebelah.

Thursday 30 August 2012

Andai Ramadhan itu Ramadan

Tok! Tok! ada orang tak? boleh saya nak tumpang?



   Kalaulah Ramadhan itu Ramadan, dan bukannya sekadar Ramadhan, tentu keadaannya akan jauh berbeza berbanding Ramadhan itu Ramadhan. Manakan tidak, jika Ramadhan itu Ramadan, tentulah tak sama dengan Ramadhan itu Ramadhan. Mana mungkin sama Ramadhan dengan Ramadan. Mana mungkin!

Mungkin ke?

Monday 23 July 2012

Diari Ramadhan Iman



Bukan diari sebenar,, harap maklum.


   Subuh itu damai. Sedamai jiwa-jiwa tulus yang tekun mencari redha Ilahi. Burung-burung sudah lama terbang meninggalkan sarang, mencari rezeki. Keluar pagi-pagi lagi. Itulah ibadat mereka, mencari rezeki dan bertasbih memuji Ilahi, tentu sahaja dengan bahasa yang kita tidak fahami.

Sunday 15 July 2012

Menangis Dalam Gelap

disklaimer: bukan tangan penulis. hahaha


*post ini dijamin pendek. Tak perlulah susah-susah membancuh segelas horlick panas atau membeli sebungkus ‘popcorn’, jauh sekali merendam sebungkus megi kari. Tapi kalau dah terbuat tu usah gusar, saya kan ada… hahahahalia.



Amboi tajuk, ala-ala bernafas dalam lumpur gitu… hehe

Thursday 12 July 2012

Akhi I’m In Love



 Bismillahirrahmanirrahim…
oh, sebelum tu, terlupa, ini adalah sekuel kepada drama epic air mata Ukhti, I'm In Love


   Incheon Gukje Gonghang, Seoul, seperti hari-hari lainnya, sibuk dengan lautan manusia, sesuai dengan tarafnya sebagai antara lapangan terbang yang tersibuk di dunia. Tiada apa-apa yang berbeza hari ini, melainkan salji yang agak lebat turun lambat-lambat dari langit yang memutih.

Wednesday 11 July 2012

Ukhti, I’m in love.




tet tet tet tetet tetetet…

“ Insya Allah, awak akan belajar melupakan saya, jika awak mula belajar mengingat, apa yang lebih wajar untuk diingat. Maafkan saya, Iman.”
-Fazwan

Sunday 1 July 2012

10 Minit Sebelum


Masihkah anda ingat?



10 minit sebelum,


   Ya, andalah orangnya itu, yang sedang duduk di dalam program “Bebaskan Palestin!” itu. Yang paling depan, ya andalah, dan yang paling kuat takbir dan teriak “Free Palestine!!!” itu siapa lagi kalau bukan anda.

   Dan, jika dapat di-zoom in kan ke arah wajah anda ketika itu seperti dalam sinetron-sinetron Indonesia, mungkin kita akan mampu melihat bebola api semangat yang sedang menyala-nyala dalam mata anda itu. persis di dalam komik Jepun itu.

Saturday 30 June 2012

Sila Ambil Ujian Psikologi Ini!




Wah, ujian apa pulaklah kali ini. Macam-macam betullah anda ni.

   Wahaha jangan risau, ini bukanlah ujian-ujian biasa seperti ujian “pasangan kamu dari negeri mana?” ataupun “kereta apakah yang kamu sesuai miliki” dan ujian-ujian lain yang berlambak-lambak di dalam laman sosial itu, haha.

   Juga bukan ujian statik memandu, apatah lagi ujian penilaian sekolah rendah (UPSR). Ini, err, ujian yang lain.

Wednesday 27 June 2012

Kita Ibarat Periuk Belanga Besi. Eh?

Kita Ibarat Periuk Belanga Besi. Eh?


 
   Kita, manusia, ibarat sebiji periuk belanga besi. Begitulah, antara percaya dengan tidak, kami sekelas mendengar ianya terlafaz dari mulut salah seorang ustaz kesayangan kami.

Tuesday 26 June 2012

Game Yang Memang Agak Tarbawi


Game Yang Memang Agak Tarbawi

 
ehem ehem, test test test…

Assalamualaikum W.B.T,

Saya yakin, kebanyakan, atau mungkin saya boleh kata majoriti, atau mungkin lebih tepat lagi 82.31% pembaca belog senget ini, pernah menjadi seorang fasilitator.

Friday 22 June 2012

Pengalaman Dolu-dolu






  
Adoi, di tengah-tengah malam begini, dengan angin kipas yang masih sepoi-sepoi bahasa walaupun sudah mencecah ke angka 5, ditambah pula dengan segelas minuman coklat panas, memang suasana yang cukup kondusif untuk mengenangkan kisah dolu-dolu. Ala, zaman muda-muda dulu.

Thursday 21 June 2012

Abi

abi


(*Amaran! Post panjang! Pastikan anda tidak mempunyai apa-apa kelas, tutorial mahupun kerja, 15 minit dari sekarang)


Abi. Atau orang bukan Arab seperti kami memanggilnya bapa, ayah, papa, father, dan lain-lain. Namun saya lebih senang memanggilnya abah.

Saturday 9 June 2012

Tahukah Anda? Ini ada satu fakta menarik!

Psstt, nak tau tak?

“Pstt…Pssttt!”

(mencuit bahu)…

(membuat isyarat peace)…

(berbisik)…

“Syyhhhh!” (sambil membuat isyarat diam)

“Eh, anda nak tau satu rahsia tak? Nak?”

“Kalau nak ikut saya. Sini tak selamat…”
“Mari sini. Dekat lagi. Lagi. Dekat.”

Dah-dah la tu… kang terhantuk kat skrin komputer tu plak. Hape la korang ni, itu pon nak percaye… hahaha

(membuat isyarat peace sekali lagi)

Anda nak tahu satu rahsia tak???
Tapi, kita cakap sini habis sini la yek? Jangan kecoh-kecoh…

Betul nak tahu ni?

Friday 1 June 2012

Melayu Mudah Lupa? Melayu Lagi Mudah Tersilap.




   Ya,bagi saya, Melayu takde la mudah terlupa sangat. Buktinya, ratusan malah ribuan anak-anak Melayu yang keluar dari maahad-maahad tahfiz Al-quran di seluruh pelusuk tanah air. Kalau dah namanya hafiz dan hafizah ini, komfem-komfemla mereka ini mempunyai ingatan yang lebih kuat daripada hard disk 1 terabyte. Kalau mudah lupa memang tak dapat la… haha

   Anda tak setuju lagi? Ha ini bukti kedua. Buktinya, Melayu memang susah nak lupa.

Friday 18 May 2012

Tsunami Datang Lagi!

tsunami datang lagi, apa tunggu lagi???





Bukan, bukan! Ini bukan artikel pasal Tora datang lagi itu! Haha.







 
Kepulauan Andaman, di sebuah pagi yang dingin.

   Khairul Ferrero Sanchez semakin erat menarik selimut nipisnya itu rapat-rapat ke tubuhnya. Sekejap dia berpaling ke kiri, sekejap ke kanan. Seakan tidak selesa benar laku tingkahnya itu.

Saturday 12 May 2012

Aku Saksi? Ko Seriyes? (Epilog)




   Baiklah. Untuk siri terakhir ini, tiba-tiba pakcik penulis rasa berbesau/besaq/besor/besar hati untuk memberikan anda pilihan. Pilihan untuk apa? Isy sila bawak bersabar anda-anda semua ni. Iaitu pilihan untuk memilih pengakhiran sendiri bagi kisah ini.
 
  Yela, dah memang watak utama dalam kisah ni anda, jadi biar anda la yang buat pilihan sendiri bagaimana untuk menamatkannya.Ye dok?? Anda boleh memilih salah satu daripada dua ending di bawah ini. Enjoy.
(*pesanan: sila baca sehingga habis kedua-kedua ending tersebut)


Ending 1

“MAAALLLLIIIIIIIKKKKKK!!!”

Tuesday 8 May 2012

Aku Saksi? Ko Seriyes? (part 2)




AMARAN: Artikel ini memerlukan tahap khayalan/gambaran/penghayatan beresolusi tinggi (HD). Pihak kami sama sekali tidak akan bertanggungjawab di atas segala kehilangan nyawa, harta benda, kunci loker dan lain-lain. Dah sapa suruh korang baca. Haha. Layan…

Tips: Untuk mendapatkan penghayatan terbaik, diharapkan dapat menyelami cerita ini dengan bersungguh-sungguh. Kalau boleh sambil pejam mata. Eh, tapi kalau pejam mata macam mana nak baca pulak? Haha jadi buat-buat macam pejam mata je la okey?...




   Bangunan ini bangunan lama. Sudah lama ditinggalkan tidak berpenghuni. Menurut datuk anda, bangunan ini merupakan tinggalan sejarah pra-kemerdekaan dahulu. Suatu ketika dahulu, ianya pernah dijadikan bangunan pentadbiran British di pekan ini. Namun, akibat tidak dijaga dengan baik, yang tinggal bukan lagi sekadar tinggalan sejarah, malah lebih menjurus kepada tinggalan sarang-sarang kelawar dan burung walit, dan tinggalan najis-najis mereka, yang baunya macam harem itu. Anda sendiri hairan mengapa bangunan ini masih segan-segan untuk dirobohkan oleh pihak berkuasa. Hanya menyakitkan mata memandang. Apatah lagi di tengah malam-malam begini. Menyakitkan mata dan bulu roma.
 
 Kira-kira beberapa langkah sahaja lagi untuk anda dan Malik sampai ke lorong tersebut, tiba-tiba, dan tanpa disangka-sangka….

“BANG! BANG!!!”…..

 Kedengaran bunyi dua das tembakan dilepaskan. Bunyinya menggema ke seisi ruang angkasa.

Friday 4 May 2012

Aku Saksi? Ko Seriyes? (HD version)



AMARAN: Artikel ini memerlukan tahap khayalan/gambaran/penghayatan beresolusi tinggi (HD). Pihak kami sama sekali tidak akan bertanggungjawab di atas segala kehilangan nyawa, harta benda, kunci loker dan lain-lain. Dah sapa suruh korang baca. Haha. Layan…

Tips: Untuk mendapatkan penghayatan terbaik, diharapkan dapat menyelami cerita ini dengan bersungguh-sungguh. Kalau boleh sambil pejam mata. Eh, tapi kalau pejam mata macam mana nak baca pulak? Haha jadi buat-buat macam pejam mata je la okey?... huhu




1
    Malam ini aneh. Lebih aneh daripada malam-malam aneh yang sebelum-sebelumnya.

Tuesday 1 May 2012

Kita Selalu Sangka…




Sedar atau tidak, sepanjang hidup kita ini, dah banyak kali dah kita tersalah sangka.

   Masa kecik-kecik dulu, masa kita darjah 5 dan 6, sewaktu muka-muka semua masih comel dan montel lagi, sambil main beyblade dan crushgear waktu rehat, kita semua amat takut untuk menempuhi UPSR! 

  Haha mungkin sekarang kita semua boleh tergelak bila dengar nama tu,

Hohoho Awas! Saya Telah Kembali…




   Haha rasanya dah hampir 4,231 jam saya tidak menulis di ruangan ini (ok, fakta tu hentam je..), mungkin ada peminat-peminat pembaca yang tertanya-tanya, kenapa saya tak update, broadband kena potong kah, kena kencing manis kah,lupa password blog kah, melancong ke Selatan Sudan kah, dan berbagai-bagai lagi persoalan yang bermain di minda. Maaf, bajet kejap. Huhu

  Baiklah, saya akan tampil member penjelasan, sebelum pihak-pihak media arus perdana yang lain mula membuat sebarang spekulasi liar, haha sekali lagi.
 
  Sebenarnya saya tidak ke mana-mana, jadi desas-desus yang mengatakan saya berangkat ke Filipina untuk menjejaki semula saudara kandung saya itu tidak benar sama sekali! Hoho.

  Saya masih di Malaysia,

Thursday 5 April 2012

Barcelona; Mahu Jadi Pemain, Atau Sekadar Penyokong?

Mahu jadi Pemain?
Atau hanya Penyokong???

Ya, saya sedang bertanya anda sekarang.

Jika diberi pilihan, sama ada anda ingin menjadi seorang pemain dalam kelab Barcelona (atau mana-mana kelab lain pilihan anda), atau sekadar menjadi penyokong, mana yang akan anda pilih?


Jika anda boleh memilih, sama ada;

Wednesday 4 April 2012

Jika Panjang Umurku



Jika Panjang Umurku

Jika panjang umurku,
mungkin mencecah 80 tahun,
90 tahun bahkan mungkin sehingga 100 tahun,

 bolehlah aku berhibur-hibur dahulu di dunia ini,
menghabiskan usia mudaku
untuk memenuhi mimpi-mimpi remajaku,

mengumpul harta,
memikat wanita,
mengejar takhta,

Jika panjang umurku,
bolehlah aku,
menghabiskan masa mengejar bulan dan matahari,
memeluk bintang dan bumi.

kemudian, bila tiba usia senjaku, jika panjang umurku,
bolehlah aku mula menukar simpang,
dari jahiliah ke simpang Islam,
dari lorong dunia ke jalan akhirat,

bolehlah aku mula menginjakkan kaki ke masjid,
untuk beribadat dan bertaubat,

bolehlah aku mula mengisi tabung derma khairat,
buat menambah saham akhirat,

bolehlah aku mula berlatih berpuasa sunat,
jika badan masih belum lelah dan penat,
dan belum tenat.

Dan jika mampu,
bolehlah aku mula mengumpul wang,
buat menziarahi Baitullahil Haram,
jika masih sempat,
jika belum terlambat.

Barulah aku akan dikenali olah orang banyak,
“Wah, si fulan itu sudah banyak berubah!”
“Bukankah si fulan itu dahulu seorang yang sekian dan sekian?”

Jika panjang umurku, jika tidak?

Siapa yang berani menjamin dia akan bangun esok pagi,
siapa yang berani menjamin umurnya masih ada, walaupun satu hari,
dan siapa yang berani, menolak dan membantah,
di saat tiba surat undangan ke kuburan.

Apa lebihnya aku,
untuk tidak terlibat dalam kemalangan kenderaan seperti orang lain,
untuk tidak hangus dalam kebakaran seperti orang lain,
tidak ditimpa penyakit maut seperti yang lain,
Apa lebihnya aku, untuk terus hidup sehingga usia tuaku.

Apa aku punya penjamin,
agar tidak diapa-apakan nyawaku,
Tidak.
Apa aku punya jasa kepada Tuhan,
sehingga perlu dipanjangkan usiaku,
Tiada.

Abangku juga berangkat meninggalkan dunia di usia yang sangat muda,
kira-kira seusia denganku sekarang ini,

Apa abangku tahu dia akan pergi esok hari,
Sedangkan petang sebelumnya itu kita sedang rancak bergurau dan bersembang,
tentang kesudahan kisah Harry Potter yang sedang kau baca,
tentang Nintedo DS yang ingin kita beli bersama,
tentang air tebu yang ingin kau hirup sepuasnya, apabila keluar dari hospital kelak,

Apa aku tahu,
Abangku akan diambil nyawanya seawal itu,
sebelum sempat melihat keputusan peperiksaan matrikulasinya itu,
yang hanya keluar di hari keberangkatannya ke alam sebelah sana itu.

Apakah aku, kita punya jaminan,
Tidak akan menjadi seperti abangku, seperti jutaan pemuda lain;
yang tidak pernah sempat pun menempuh hari-hari dewasanya,
pergi di saat pemuda-pemudi lain sedang hangat dipeluk oleh dunia.

Dunia itu alam,
dan dari kata dasar “alam” itu munculnya perkataan “alamat”.

Jadi dunia ini hanya papan tanda,
yang menunjuk arah tuju ke akhirat,
malangnya papan tanda itu dihias terlalu cantik,
hingga tak sedikit yang jatuh cinta padanya,
ingin kekal di situ. Lupa akan destinasi mereka.

Jika panjang umurku, bolehlah aku melakukan semua itu.
Jika tidak?


Jika panjang umurku,
bolehlah aku,
menghabiskan masa mengejar bulan dan matahari,
memeluk bintang dan bumi.

 




Thursday 22 March 2012

Pak Mat: Kisah Misteri Seorang Nelayan ( Part 2 )

Pak Mat dan isteri sedang beristirehat


     (sambungan)
     ......Hinggalah pada suatu pagi yang cerah, di saat Pak Mat dan isterinya baru kira-kira setengah jam memulakan rutin hidup sihat di waktu pagi mereka, datang dua orang pemuda, bersaiz sederhana. Jelas kelihatan dari kulit gelap mereka dan jalur-jalur urat yang tampak jelas di lengan mereka, bahawa mereka telah banyak menghabiskan masa di bawah sinaran mentari, saban hari mengayuh sampan, perahu atau kolek mereka di tengah-tengah lautan, buat mencari sesuap rezeki.

 
      Tiadalah Pak Mat mengendahkan kedua-dua pemuda itu, kerana dia berpendapat bahawa kedua pemuda itu hanya sekadar menumpang lalu di tepi buaiannya, untuk pergi ke pantai, kerana di tangan kedua-dua mereka, tergenggam kemas pendayung sampan yang dipermuat daripada kayu itu. Lagipun, Pak Mat memang kenal benar dengan mereka berdua itu, Katang dan Keting, dua orang sahabat baik yang sama-sama menceburi profesyen ke-nelayan-an. 

 
     Namun jangkaan Pak Mat meleset. Katang dan Keting berhenti betul-betul di hadapan Pak Mat yang sedang beristirehat itu. Walaupun rasa sedikit terganggu, namun Pak Mat masih cuba menunjukkan budi bahasa yang tinggi yang dimiliki masyarakat Melayu, bersesuaian dengan kempen kerajaan Melaka ketika itu, “Budi Bahasa Budaya Islam” dan “Melaka bebas masyarakat biadap menjelang wawasan 1515Hijrah”. Dengan senyum manis yang agak plastik terukir di bibir, Pak Mat menyapa mereka berdua dengan salam.

 
"Uhaiyikum bitahiyyatil Islam Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh wahai saudara yang saya kasihi.” Amat manis gaya bahasa yang dipilih oleh Pak Mat.
 
Waalaikummussalam warahmatullahi wabarakaatuh wahai Pak Mat.”
Serentak jawab Katang dan Keting, persis murid-murid di dalam kelas menjawab salam cikgu matematiknya sahaja.

 “Gerangan apa kalian berdua enak berdiri di hadapan hamba ini? Tidak kelautkah hari ini? Dah lambat ni, tak takut rezeki lari ke?”
Padat, sungguh padat kata-kata yang keluar dari bibir Pak Mat ini.

Hampir-hampir terpanjat pokok kelapa laut Afrika kedua-dua pemuda itu mendengar tazkirah Subuh yang ringkas tapi padu menghempap kepala itu.

 
“Wah tazkirah orang pulak dah Pak Mat ni, abis tu yang dia tu dari pagi sampai ke malam tak kerja, silap-silap rezeki dia tu dah lari sampai Kanada dah! Tu pun kalau ada lagi rezeki! Silap-silap dah tertutup langsung.”
Getus hati Katang dan Keting.

“Eh takde la Pak Mat, kami datang ni actually sebenarnya ada benda nak tanya Pak Mat ni.” Namunn hanya itu yang terkeluar dari mulut Katang.
 
“Hah, apa benda yang kamu nak tanya aku? Sifir 4? Soalan biologi? Sejarah dunia?” 
Pak Mat kehairanan.

“Ish takde la, kami cuma nak tanya, sebenarnya dah lama kami berdua khasnya, dan seluruh penduduk kampung ini dan negeri Melaka ini amnya, tertanya tanya pasal Pak Mat ni…”
Sepatah-sepatah kalimah tersebut keluar dari mulut Keting pula.

“Isy, apa yang kamu semua tertanya pasal aku ni? Kamu ni buat aku nerbes je…”
sekali-sekala  Pak Mat cuba berbahasa Benggali Putih.
 
“Err, takdela, cuma kami semua tengok Pak Mat ni tiap-tiap hari duk relax je, Pak Mat tak nak kerja ke?”
Berhati-hati Katang menuturkan, bimbang Pak Mat terasa hati. Adab dan sopan masih dijaga di tahap yang tertinggi.
“ Oh, pasai tu ka? Awat hangpa tak habaq awai-awai? Kalau pasai tu senang ja jawapan dia…” Jawab Pak Mat jujur dalam loghat utagha.

“Ape die, ape die? Ce cerite, ce cerite!!!”
Sungguh gembira dua orang pemuda itu, nampaknya persoalan yang menjadi tanda tanya sejak bertahu-tahun akan tersingkap hari ini. Dan nama mereka mungkin akan tercatat dalam sejarah, sebagai tokoh penting dalam usaha merungkai misteri ini.
“Sebelum tu aku nak tanya, aku pun sebenarnya hairan, sebab apa korang bekerja sungguh-sungguh ni, keluar pagi balik petang, ada kala sampai malam ni?”
Sungguh-sungguh Pak Mat bertanya.

Aik Pak Mat ni, tentulah nak cari ikan banyak-banyak!” serentak mereka menjawab sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
“Sebab apa nak dapat tangkap ikan banyak-banyak?”
Tanya Pak Mat lagi.
“Isy, ape la Pak Mat ni, tak berminda kelas pertama betulla… tentu la supaya boleh jual kat pasar Melaka, boleh dapat duit banyak-banyak!”

“Sebab apa pulak nak cari duit banyak-banyak???”
Pak Mat buat muka innocent.

“Tentula supaya dapat beli bot besar, siap dengan enjin Turbo lagi. Apa punya soalan daa…”

“Sebab apa nak beli bot besar?”

“Mestila supaya dapat pergi jauh lagi ke tengah laut, dapat tangkap berganda-ganda banyak ikan!”

“Tapi sebab apa?”

“Lepas tu bolehla jual, dapat duit lagi banyak, duit tu boleh la bukak syarikat perkapalan sendiri, jadi bos! Ada paham tak???”
Keting sudah mula hilang sabar.

“Lepas tu nak buat apa?”
Pak Mat masih dengan muka blur.

“Tak kan itu pon tak boleh pikir! Boleh la dapat duit banyak, berjuta juta, boleh beli macam-macam… boleh beli rumah besar…”

“Lepas tu nak buat apa?”
Pak Mat memotong terlebih dahulu.

 
“LEPAS TU BOLEH LA KAWIN ISTERI CUN, MACAM PUTERI GUNUNG LEDANG TU, DAPAT ANAK,…..”
Kesabaran sudah melebihi hadnya.

“Lepas tu apa…?”

“KENAPA SLOW SANGAT PAK MAT NI HA??? LEPAS TU BOLEH LA KITA HIDUP SENANG, RILEK-RILEK, REHAT-REHAT!!! TAK KAN ITU PUN TAK DAPAT PIKIR??? HAH!!”
Katang sudah hilang pertimbangan. Habis tergolek Pak Mat jatuh dari buaian kainnya ditolak oleh Katang.

Pak Mat bangun dengan muka merah padam.

“HABIS! KAMU FIKIR APA AKU TENGAH BUAT SEKARANG??? BUKAN RILEK-RILEK, REHAT-REHAT??? HA PANDAI??? ELOK JE AKU BOLEH RILEK, TAK PAYAH LA NAK BELI BOT, SYARIKAT, RUMAH BESAR LA SEGALA BAGAI!!”  
Gedegang!!!.
Habis segelas air kopi dan sepiring goreng pisang panas singgah di muka Katang dan Keting.

 
“PAK MATTT!!!!!!”
Serentak jerit kedua pemuda itu.


*******************************************************

   Kesudahan cerita ini tidak dapat dipastikan. Namun, pendapat yang paling sahih ialah Katang dan Keting menarik Pak Mat ke dalam perahu mereka, memaksa Pak Mat untuk mengikut mereka ke laut untuk menangkap ikan, ekoran rasa tidak puas hati di atas tindakan keterlaluan Pak Mat yang menyimbah air kopi panas dan sepiring goreng pisang panas ke muka mereka.

  Siapa tahu, 7 jam dari saat itu, perahu mereka akan mengalami kecelakaan, yang menyebabkannya karam, dan ketiga-tiga mereka akan terdampar di sebuah pulau aneh, jauh dari peradaban, yang mana penduduknya kesemuanya BERTELINGA SEBELAH!

Jeng Jeng Jeng!!!

 
_TAMMAT_


 
Ish takkan tamat macam tu je? Macam ada yang tak kena je?

    Haha mesti la tak. Takkan habis macam tu je. Even buku Komsas tingkatan 3 korang dulu t upon tak habis macam tu je kan?

   Mesti la ada nilai-nilai dan pengajarannya kan?


 
Di dalam cengkerang kacang (In A Nutshell/as a conclusion)

   Macam tu la jugak dalam kehidupan kita. Kita boleh tanyakan soalan yang sama yang diajukan Pak Mat tersebut kepada diri kita.

Untuk apa kita belajar?

Nak dapat result bagus.

Untuk apa?
Nak kerja gempak-gempak.

Untuk apa?

Nak dapat gaji banyak.

Untuk apa?

Nak hidup senang-lenang.

Itula hakikatnya pemikiran stereotype kebanyakan dari kita hari ini.


Aik kenapa? Salah ke nak cari kesenangan hidup?

No, no, no. Cari kesenangan hidup dunia memang tak salah. Yang salah ialah semata-mata cari kesenangan hidup dunia.


“ Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti kami berikan (balasan) penuh atas pekerjaan mereka di dunia (dengan sempurna) dan mereka di dunia tidak akan dirugikan”

“Itulah orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu) di akhirat kecuali neraka, dan sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan terhapuslah apa yang telah mereka kerjakan.”
                                                                                                                               -Surah Hud: 15-16


   Lagipun apa ke loser-nya kita ni, nak susah-susah belajar teruk-teruk, kerja separuh mati, hanya semata-mata supaya dapat hidup rilek-rilek dan senang-lenang atas dunia ni.

Kalau kita mati sebelum itu?

Kalaupun kita masih hidup, kita dah tua, dah ada banyak penyakit, dah tak sesegar dan seriang dulu untuk mengecapi nikmat dunia ini.

Macam Pak Mat, buat apa beliau memilih untuk bersusah payah ke laut semata-mata untuk menangkap ikan agar dapat beli bot, bukak syarikat, jadi kaya dan akhirnya, semata-mata untuk hidup senang-lenang.

Bukankah itu yang telah beliau lakukan dari awal-awal lagi, setiap hari, bersenang-lenang dan berehat-rehat?

Kita nak berehat dan enjoy di SANA nanti. Di syurga.
Jangan Tersalah Faham.

Mungkin ada yang akan tersalah faham mengenai penulisan ini.

“Habis tu kita tak payah belajar bersungguh-sungguh la. Buat apa, buat letih saja.”

“Hah kalau macam tu, baik kita enjoy dari sekarang je. Kalau nak tunggu tua, takut tak sempat.”

No no no sekali lagi.

Tujuan penulisan ini bukanlah untuk membantutkan semangat-semangat kalian untuk belajar mahupun bekerja. Bukan.

Penulisan ini bukan bertujuan menghasilkan insan-insan pasif yang malas berusaha.

Bukan usaha kalian yang patut diubah. Tapi niat, tujuan dan hadaf kalian yang perlu kalian kaji semula.

Apa tujuan sebenar aku belajar ni?

Apa tujuan aku score result gempak-gempak ni?

Apa tujuan aku nak dapat kerja gaji mewah-mewah ni?

Jika tujuan kita semata-mata untuk hidup senang-lenang di dunia ini, mungkin kita akan dapat. Mungkin juga tidak.

Tapi yang pastinya, tiada lagi bahagian kesenangan untuk kita di akhirat nanti.

Yang sepatutnya.

Perbaharuilah niat-niat anda. Supaya ikhlas kerana Allah dan untuk membantu agama Allah.

Aku belajar ni supaya dapat result bagus, baru orang terbuka mata tentang cantiknya Islam ini, mengajar umatnya melakukan yang terbaik.

Aku score pointer tinggi-tinggi ni, supaya nanti dapat kerja yang bagus-bagus, aku nak tolong sebarkan Islam kepada manusia.

Aku kerja gaji tinggi-tinggi ni, supaya dapat gaji nanti, boleh infak untuk tolong saudara mara seislam yang dalam kesusahan, tolong support orang yang berjuang menegakkan agama Allah ni.

Mungkin kita akan letih, penat dan terasa tak mendapat apa-apa ganjaran di muka bumi ini. Namun yakinlah, syurga itu ialah sebaik-baik ganjaran dan se’best’-‘best’ tempat beristirehat dan lepak.

(>.<)


Part 1

Pak Mat: Kisah Misteri Seorang Nelayan (Part 1)

ish misteri sungguh...

    Kata sahibul hikayat, adapun lima ratus delapan puluh tahun dahulu, iaitu beberapa puluh tahun sebelum Feringgi dikhabarkan melanggar Melaka, tinggallah seorang lelaki misteri di sebuah kampung di pinggir kota Melaka. Adapun kenapa lelaki ini dikatakan misteri biarlah hamba hikayatkan sebentar lagi. Isy, sabarlah tuan-tuan dan puan-puan ini, adakah begini rupanya akhlak dan adab masyarakat kita Melayu di zaman tuan-tuan nanti? Tiada bersabar dalam setiap laku tingkah? Hahaha

   Adapun masyarakat di kampung ini, biarlah hamba namakan sebagai kampung 1 Tanah Melayu, hidupnya dalam keadaan sentosa dan aman bahagia. Memanglah di zaman ini Kerajaan Melaka belum lagi terfikir untuk memberi subsidi kepada harga padi huma mahupun minyak tanah, jauh sekali menyediakan elaun persaraan kepada warga emas seperti yang tuan-tuan nikmati di zaman tuan-tuan sekarang ini, namun, masyarakatnya tetap hidup dalam suka dan gembira. Mungkin ini barakahnya kami-kami ini hidup di bawah pemerintahan Islam. Yang bertani menanam padi, yang menternak mengembala kambing, yang berdagang menjaja jualan, yang ke laut mencari ikan. Semuanya bergembira dengan kerja masing-masing.

Monday 5 March 2012

Terrorist-Terrorist Dunia Akademik

terroristkah anda dalam dunia akademik?


Bagi aku, dalam dunia akademik ini, ada 3 jenis ekstremis:

1. Belajar Semata-mata Untuk Dunia


-Golongan ekstremis yang pertama ini amat mudah dikesan. Mereka inilah yang memeras kudrat dan keringat semata-mata untuk memperoleh ganjaran dunia.

-Pointer paling tinggi, pujian rakan taulan + respek awek-awek, masuk surat khabar, kerja bergaji besar, mengumpul harta merupakan hadaf utama.

-Ciri-ciri tambahan golongan ini ialah mereka sanggup melakukan apa sahaja demi memperoleh kejayaan   dalam peperiksaan.
Membela ‘toyol’, meniru rakan sebelah, memecah bilik pensyarah/guru, berjumpa bomoh Siam, anda namakan saja, mereka ini sanggup melakukannya untuk berjaya.


2. Meninggalkan Terus Pelajaran, Kononnya Atas Nama Agama

- Kaum-kerabat ini juga mudah dikenalpasti dan dicam melalui hujah-hujah bernas mereka, antaranya;

 “ Ah ini semua dunia belaka! ”

 “ Buat apa belajar tinggi-tinggi ilmu dunia ni? Last-last ke kubur jugak.”

-Kebiasaannya akan memulaukan peperiksaan yang dijalankan, dengan alasan mereka belajar semata-mata kerana Allah, bukan kerana exam.

-Enggan study, memandang rendah ilmu-ilmu yang menurut mereka “ilmu dunia”, dan ada antara golongan ini yang memulaukan terus sistem pendidikan.


3. Golongan Yang Blurr…


- Rasanya golongan inilah yang memonopoli dunia pendidikan hari ini.

 -Tidak mempunyai pemahaman untuk apa mereka belajar, sekadar mengikut arus dunia hari ini, yang mana remaja-remaja akan ke sekolah, universiti dan seterusnya bekerja.

 -Golongan ini tidak mengambil peduli pembelajaran mereka, sekadar ke kelas, menduduki peperiksaan, namun dengan jiwa yang kosong. Hanya sekadar mahu lulus dengan cukup-cukup makan.


Inilah ekstremis-ekstremis dalam dunia akademik hari ini.

Pak Mat, anda golongan yang mana?

Saturday 25 February 2012

Teori Superman

*credit to akh M, who kindly shared with me this theory.


      Ha korang semua pernah tak tersekat di kesesakan lalu lintas akibat traffic light rosak? 

      Di simpang empat?

      Di tengah panas terik?

      Dalam keadaan perut yang sedang rancak berdemonstrasi, minta ditunaikan  
      haknya untuk diisi dengan barang seketul dua ayam KFC, dan segelas air kelapa?

      Dalam masa yang sama, anda ada tutorial yang
 WAJIB dihadiri
     (err… saya kata wajib, mungkin kerana;
       1.Anda memang seorang pencinta ilmu tegar.
       2.Anda dah pernah ponteng kelas 2 kali, so kali ni no excuses! Haha)
 

     Juga, dalam masa yang sama, anda sedang mengejar waktu solat, sedangkan
     bayang-bayang semakin menghampiri panjang sebenar objek (nak masuk Asar la
     tu maknanya)

   Juga, juga, juga…. (the list goes on…)

     Namun, korang perasan tak kewujudan seorang superman, namun tanpa saiz baju S dipampang di hadapan dada, muncul menyelamatkan keadaan!

Friday 24 February 2012

Negara Telinga Sebelah : Kau Cacat! (Bahagian 2)

alamak, saya ada dua telinga!!!

....Ah, pendek katanya semua penduduk dari setiap pelusuk berkumpul di perkarangan istana, menanti perihal apakah yang akan diumumkan sebentar lagi. Apakah skim bantuan 1 pulau? Baucer membeli santan? Kenaikan elaun bomoh? Semua masih tertanya-tanya.

   
    Kemudian gendang besar dipalu berkali-kali seperti di negeri Cina sahaja gayanya tanda aka nada pengumuman yang amat penting sebentar lagi. Serta-merta senyap sunyi seluruh perkarangan istana. Yang kedengaran hanyalah suara tangisan kanak-kanak yang tidak sempat ditutup mulut oleh ibunya.


     Keluarlah penyimpan mohor besar raja-raja untuk memberi pengumuman. Semua mata tertumpu fokus kepadanya dan menanti-nanti dengan penuh debar, seakan menunggu pengumuman tarikh hari raya Aidilfitri sahaja.

Jeng Jeng jeng Jeng…

Negara Telinga Sebelah : Kau Cacat! (Bahagian 1)

Pulau Telinga Sebelah


      Pada suatu masa dahulu, lama sebelum Mark Zuckernberg mula mencipta laman social facebook, apatah lagi sebelum Najwa Latif menyanyikan lagu cinta muka buku, dikisahkan bahawa terdapat sebuah pulau, nun terletak jauh nian di selatan Kepulauan Melayu, kira-kira sepurnama perjalanan menaiki jetski kapal layar dari pelabuhan Acheh.

  
    Di pulau yang tidak diketahui namanya ini, terdapat sebuah Negara yang dipimpin oleh seorang raja yang korupsi, zalim, tak hensem, serta gemar memeras wang rakyat dengan menaikkan harga minyak kelapa, bahan komoditi utama di Negara tersebut.
  

   Raja yang bernama Raja Golan si Polan yang dikatakan berasal dari Kutub Utara ini menetap di sebuah istana mewah milik Negara, bersama isteri kesayangannya, Permaisuri Carpai Capati. Namun malang, seribu kali malang, akibat terlalu banyak makan wang rakyat, mungkin juga disebabkan disumpah oleh rakyat-rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan diktatornya itu, tiada keduanya mereka ini dianugerahi cahaya mata, tiada, walaupun seorang. Series Takde!
  

     Sudah bermacam-macam usaha yang dilakukan oleh Raja Golan si Polan dan isterinya bagi memperoleh zuriat: yang kira-kiranya dapatlah dibuat buah hati pengerang jantung, yang boleh dicubit-cubit pipi tembamnya, dipicit-picit hidung kemeknya, dan digosok-gosok kepala bulatnya….


   Tiada pusat-pusat perubatan moden mahupun tradisional di pulau itu yang tidak dikunjungi mereka, juga tiadalah seorang bomoh dan pengamal perubatan tradisional pun dipulau (oh lupa untuk saya mengkhabarkan, terletaknya pulau ini adalah sangat terpencil, hingga tiadalah hubungannya dengan dunia luar, sehingga tiadalah dapat untuk mereka suami isteri berubat di luar negara seperti di Ireland mahupun Korea Selatan) itu melainkan telah dipanggil menghadap, rela mahupun paksa untuk berikhtiar menyelesaikan masalah baginda dan zaujah permaisurinya…
  

    Namun tiadalah juga berakhir dilema yang melanda mereka berdua suami isteri. Bimbanglah Raja Golan bahawa kerajaannya itu nanti bakal ketiadaan pewaris yang berwibawa dan korupsi sepertinya selepas kemangkatannya…


  Hinggalah pada suatu hari,

Saturday 18 February 2012

Saya Bukan Budak Baik, Saya Cuma Nak Jadi Baik.


saya nak jadi budak baik boleyy??

(amaran: post ini bakal menggunakan kata ganti nama saya, awak, kamu, kalian dll bertepatan dengan tajuk post ini. Bahkan, mungkin juga akan terkeluar ana, enta, enti, antum jika perlu J )

    Kalau ditanya kepada kita, bilakah waktu yang paling seronok sepanjang hidup kita, rata-rata, iaitu lebih kurang 99.32% akan menjawab masa REMAJA. Bagi mereka yang menjawab selain itu, ada 3 kemungkinan:

 1. Kurang waras

 2. Anda sedang bertungkus lumus menyiapkan homework/assignment anda yang kena hantar esok

 3. Anda sedang berada di dewan peperiksaan, sedang menjawab soalan keempat Add Math paper 2.

  Kalau ditanya kepada saya, jujur saya katakan, kehidupan kita di waktu remajalah yang akan mencorakkan siapa kita sewaktu dewasa nanti.

 Jika kita menghabiskan masa remaja kita dengan bertungkus lumus di bidang medic, hampir pastilah anda akan menghabiskan sisa-sisa hidup anda dewasa kelak dengan sehelai jubah putih dan steteskop (maaf, lupa mcmne ejaan dye) tersangkut di atas bahu.

   Begitu juga jika masa muda-mudi kita dihabiskan dengan merembat motor jiran sekampung, pastilah anda akan menghabiskan 10 tahun kehidupan anda akan datang dengan memegang jeriji besi sambil menyanyi-nyanyi menunggu terbenam matahari.

  Jujurnya, sekolah menengah merupakan tempat yang amat memberi bekas dalam mencorakkan siapa saya sekarang ini. Jangka masa 5 tahun itu amat berperanan dalam menentukan kehidupan saya sekarang ini, cara pemikiran saya, tutur bahasa saya dan hampir segala aspek-aspek lain…

  Jika tidak abang-abang senior memeras ugut saya supaya menghafal wirid selepas solat sewaktu di tingkatan 1, pastilah saya akan membesar sebagai seorang yang akan pura-pura sakit perut selepas solat lalu beredar keluar dari masjid dengan pantas.
 
   Kalaulah tidak guru sains saya memberi tunjuk ajar, pastilah saya sekarang akan ternganga takjub jika ditanya tentang penunu Bunsen.



   Namun, malang. Seribu kali malang. Tambah seribu kali lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...