tet tet tet tetet tetetet…
“ Insya Allah, awak akan belajar melupakan saya, jika awak mula belajar mengingat, apa yang lebih wajar untuk diingat. Maafkan saya, Iman.”
-Fazwan
“ Insya Allah, awak akan belajar melupakan saya, jika awak mula belajar mengingat, apa yang lebih wajar untuk diingat. Maafkan saya, Iman.”
-Fazwan
Separuh menggigil bibir Iman, mengeja patah-patah kata tersebut. Sungguhpun mesej tersebut kelihatan ringkas, ianya cukup padat buat mematah-matah dan menghancur lumatkan hati Iman. Meninggalkan kesan luka yang cukup dalam, sangat membisa, sehingga mungkin luka tersebut tidak akan pernah sembuh lagi.
Iman mencampakkan telefon bimbitnya ke sisi, kemudian menekapkan mukanya ke bantal, lalu menangis sepuas-puasnya. Semahu-mahunya.
**********************************************************************************
Nurul Iman menapak perlahan di tepi jalan, langkah diatur satu-persatu, lemah. Sungguhpun suhu badannya sudah tidak setinggi semalam, namun seluruh badannya terasa amat lemah. Dia demam. Dan itu sepatutnya tidak membuatkannya selemah itu tengah hari itu jika tidak disebabkan dia terpaksa menduduki peperiksaan akhir hari itu.
Semalaman dia terbaring lemah di atas katil, meskipun berkali-kali dia cuba bangun dan membelek-belek buku 'anatomy' nya, kepalanya kembali berdenyut kuat, membantahnya. Dan hasilnya, dia hampir-hampir menitiskan air mata sewaktu menyelak-nyelak helaian kertas peperiksaan.
Jujurnya, soalannya tidaklah terlalu sukar, namun, oleh sebab dia tidak membaca apa-apa semalam, fikirannya terasa kosong. Dia hanya menjawab sekadarnya, atau lebih tepat lagi, tidak sampai pun separuh daripada semua soalan tersebut.
Memang wajarlah dia berasa kecewa. Bidang perubatan bukanlah bidang yang senang, bukanlah bidang yang boleh belajar ala kadar kemudian masuk dewan peperiksaan untuk mendapatkan markah cukup makan.
“Budak medic ni kurang-kurang kena ada otak RAM 4 gig, Hard disk kosong 1 Tera, Medulla Oblongata kena tip-top! hahaha” kata temannya, Ana, seorang pelajar Farmasi.
Sedang Iman khayal mengelamun itulah tidak disedarinya bahawa dia semakin menghampiri jalanraya. Tidak jauh di belakangnya, sebuah Toyota Hilux yang sedang melaju menghampiri.
Fazwan yang sedang leka berbual melalui telefon bimbitnya tersentak melihat seorang gadis sedang berada di atas jalan yang lazimnya sibuk dengan kenderaan itu. Sepantas kilat dia berlari dan menarik lengan gadis itu ke tepi.
Bunyi hon yang kuat dan rentapan di lengannya menyedarkan Iman daripada lamunan. Pemandu Toyota Hilux itu menyumpah-seranah entah apa sebelum melaju pergi.
“Awak ni dah hilang akal ke? Nak bunuh diri tengah-tengah hari ni???” marah pemuda yang baru sahaja menyelamatkannya itu.
“ Err, maaf encik, saya tak perasan tadi. Sorry…” tergagap-gagap Iman menjawab.
“Sory apa pulaknya, itu nyawa awak, bukan nyawa saya. Awak ingat awak tu macam dalam cerita dragon ball ke, kalau mati boleh main hidup-hidup balik pakai mutiara naga??? Haila, macam-macam la…”
“Takpe, tak perlu susah-susah terima kasih, sama-sama. Assalamualaikum.” Pemuda itu bergegas berlalu pergi.
“Waa…laikumussalam…” belum sempat Iman menjawab, pemuda itu sudah berlalu.
“Hoi, wan, kenapa? Kenapa? Hang okey ka?” Suara kaget dari speaker telefon. Terlupa panggilan masih belum diputuskan.
“Takda apa bro, ni ha, ada budak try nak bunuh diri.” Selamba Fazwan menjawab.
“Ek???”
Iman bergegas pergi, sebelum semakin banyak mata-mata yang memerhati. Daripada sedih, lemah, kini seratus-peratus bertukar malu yang amat. Dia harus segera menyembunyikan mukanya dari khalayak. Harus!
******************************************************************************
Begitulah pertemuan kali pertamanya dengan pemuda tersebut. Belum sempat hilang lagi perasaan malu dan segan yang teramat sangat itu, Iman terserempak sekali lagi dengan pemuda tersebut. Kali ini, dengan cara yang berbeza, namun tetap sama. Memalukan.
Ketika dia sedang bergegas membeli token LRT untuk pulang ke kolejnya, entah bagaimana ketika dia sedang kalut memasukkan wang baki ke dalam beg duitnya, sambil berlari-lari anak bimbang terlepas LRT, dia tercicirkan tokennya itu.
“Err, cik! Nanti! Cik tertinggal ni…” Fazwan melangkah laju, cuba mengejar tampang gadis yang terjatuhkan tokennya itu.
“Err..” Iman berhenti mendadak lantas berpusing.
“Eh?” kedua-dua mereka serentak kehairanan.
“La, awak lagi… Awak ni hidup memang selalu cuai camni eh?” Fazwan memulakan kuliah jalanannya.
“Er… sory untuk kesekian kalinya…”
Begitulah detik-detik pertemuannya dengan pemuda yang kemudiannya diketahui namanya sebagai Fazwan itu. Itulah detiknya, meskipun bukanlah terlalu indah untuk diingat-ingat.
Dari pertemuan itulah bercambah menjadi perkenalan. Lantas, dalam tidak sedar, memutik, berbuah menjadi satu rasa. Rasa yang aneh. Mungkin cinta, menurut definisi Iman.
Dahulu, mungkin dialah orang yang paling meluat dan muak dengan kata-kata ‘Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah’. ‘Geli’ telinganya mendengarnya. Namun, setelah merasakannya sendiri, barulah dia sendiri tahu, betapa kuatnya penangan cinta. Betapa padunya pukulan rindu. Makan, minum, tidur, hanya ada satu rasa; cinta. Belajar, bermain, berjalan, hanya ada satu perisa; rindu.
Begitulah, bagi orang yang tidak merasanya sendiri, memang tidak akan pernah faham, detik hatinya apabila disindir dan menjadi bahan gurau rakan-rakannya.
Berlalulah beberapa ketika waktu, semuanya sudah tidak terasa lagi. Yang terasa sudah tentulah, hanya yang indah-indah belaka.
Apatah lagi Fazwan seorang yang romantik. Tak mungkin dilupakannya saat-saat dia mendapat kiriman pos sebuah kotak sederhana besar, yang apabila dibukanya ternyata dipenuhi dengan kuntuman bunga mawar, buat hadiah hari jadinya. Dia menangis terharu, tanpa diketahuinya Fazwan menghabiskan hujung semester itu dengan mee segera dan nasi bujang.
Sehinggalah beberapa ketika, Iman merasa seperti ada yang tidak kena. Ada yang kurang. Fazwan seperti semakin jauh daripadanya. Atau mungkin, menjauh. Tiada lagi mesej-mesej riang, melainkan dia yang memulakannya dahulu. Tiada lagi panggilan-panggilan rindu, jika dia tidak bertindak dahulu. Namun, itupun, semacam dibalas acuh tak acuh.
Fazwan sudah tidak seperti dahulu. Lebih banyak alasan daripada janji. Lebih kerap berdiam diri dari memuji. Suaranya pun terasa di telinga Iman seakan kaku tidak bernada, tidak seperti selalunya.
Hinggalah sampai suatu hari. Semuanya terhenti. Panggilannya tidak berjawab lagi. SMSnya tidak diladeni lagi. Separuh siuman dia berusaha menghubungi Fazwan. Atau setidaknya menghubungi rakan-rakan rapatnya.
***********************************************************************************
Berita itu bagaikan petir yang memanah gegendang telinganya.
“Iman, Fazwan dah takde kat sini. Member aku bagitau dia pergi student exchange kat Korea. Tak tahu pulakla berapa lama.” Maklum salah seorang temannya.
Namun Iman tak pernah berputus-asa. Perkataan mengalah ternyata tiada dalam perbendaharaan kamus cintanya. Dia tetap gigih, cuba menghubungi Fazwan. Masakan Fazwan kabur begitu sahaja dari hidupnya.
***********************************************************************************
Hinggalah pada malam itu, dia mendapat sebuah panggilan telefon yang tidak diundang. Diamat-amatinya, nombor asing. Namun bila diangkat, nyata suara yang sopan memberi salam di hujung sebelah sana talian tidak pernah asing daripadanya. Suara Fazwan.
Namun bukan panggilan itu yang diharap-harapkannya. Bukan panggilan yang memutuskan hubungan mereka yang dinanti-nantinya. Bukan juga panggilan yang menjelaskan sebab-musabab Fazwan harus berpisah dengannya, yang ditunggunya saban hari selama ini.
Tubuhnya menggeletar dan menggigil, marah, takut, benci, rindu semuanya bersatu. Esak tangisnya mula semakin menjadi-jadi. Segala penerangan, alasan, dan justifikasi Fazwan sudah tidak masuk ke telinganya. Semuanya bagai bendasing yang membawa cemar ke gegendang telinganya.
Panggilan itu ditamatkan dengan jeritan “Kau PENIPU!!!” oleh Iman, disusuli esakan yang makin menjadi-jadi.
***********************************************************************************
Selang beberapa belas minit kemudian,
tet tet tet tetet tetetet…
“ Insya Allah, awak akan belajar melupakan saya, jika awak mula belajar mengingat, apa yang lebih wajar untuk diingat. Maafkan saya, Iman.”
-Fazwan
Separuh menggigil bibir Iman, mengeja patah-patah kata tersebut. Sungguhpun mesej tersebut kelihatan ringkas, ianya cukup padat buat mematah-matah dan menghancur lumatkan hati Iman. Meninggalkan kesan luka yang cukup dalam, sangat membisa, sehingga mungkin luka tersebut tidak akan pernah sembuh lagi.
Iman mencampakkan telefon bimbitnya ke sisi, kemudian menekapkan mukanya ke bantal, lalu menangis sepuas-puasnya. Semahu-mahunya.
**********************************************************************************
Sekian lamanya dia menanggung luka parah. Pelajarannya entah kemana, makan minumnya tak terjaga. Berat badannya susut mendadak. Manakan tidak, kini tiada lagi rasa cinta, tiada lagi perisa rindu. Makan, minum, tidur, semuanya terasa kelat pahit dikhianati dan kecewa.
Tipulah jika perubahan dirinya itu tidak membimbangkan rakan-rakannya. Namun apa lagi yang boleh mereka lakukan, penyakit hati ini bukannya boleh sewenang-wenangnya boleh disembuhkan dengan dua tiga biji pil ‘pain-killer’. Bukan juga boleh dicairkan dengan hanya beberapa milligram ‘warfarin’.
Pada suatu tengah hari yang agak redup, jika diamat-amati akan serasa seperti tengah hari yang indah itu pula. Tengah hari bersejarah itu.
Entah mengapa tengah hari itu Iman tiba-tiba terdetik untuk melalui jalan tersebut, jalan yang sama dia pernah diselamatkan oleh Fazwan setahun dahulu.
Sedang dia melangkah longlai, ingatan silam kembali menari-nari dalam memori.
Ain sedang bersantai-santai berjalan. Sekadar ingin ke kedai buku, tidak perlu tergesa-gesa, getus hatinya, ceria. Hari ini dia tidak punya sebarang kelas. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk memanfaatkan waktu dengan mencari buku-buku terbaru di pasaran. Buku yang bermanfaat pastinya.
Tiba-tiba, hampir gugur jantungnya melihatkan situasi di hadapan matanya.
“ADIK!!!!” dia gegas menarik seorang gadis muda, mungkin dua atau tiga tahun muda daripadanya, yang sedang berjalan betul-betul di atas laluan kenderaan.
Iman tersentak apabila tiba-tiba terasa tangannya ditarik seseorang. Mulanya dia menyangka dia sekadar berhalusinasi, mengulang peristiwa silam. Namun setelah kedua-dua mereka terduduk di tepi jalan tersebut, barulah dia tersedar. Dia di alam realiti.
“Ya Allah! Apa adik buat kat tengah jalan tu?? Bahaya tau!” seorang gadis bertudung hijau muda, mungkin tiga atau empat tahun lebih tua darinya, memarahinya. Mungkin bukan marah, tapi lebih kepada prihatin.
“Maaf kak, saya tak perasan tadi.” Jawab Iman acuh tak acuh.
“Haisy, sayang nyawa la adik oi, kita ni bukannya kucing, ada sembilan nyawa, kita ada satu je. Hah kucing pun kalau kena langgar pun mati tau tak! Kalau kemalangan tadi, sapa yang susah?”
“Adik tak apa-apa ke ni?” nadanya mula bertukar kepada prihatin, mungkin kasihan.
“It’s okay kak. Sekali lagi saya ucap terima kasih banyak-banyak selamatkan saya.” Ujar Iman. Sebuah senyuman cuba diukir. Plastik.
“Oh, takdehal… nama akak, Ain. Boleh panggil Kak Ain.”
“Iman.”
“Amboi, sedapnya nama, haha.” Senyum. Ikhlas.
**********************************************************************************
Jika dihitung-hitung dengan jari, ternyata tidak dapat dihitung, kerana sudah sebelas bulan sejak kali pertama dia bertemu dengan Kak Ain. Dan juga sudah hampir masuk enam bulan sejak dia berpindah masuk ke rumah sewa Kak Ain dan rakan-rakannya.
Sejak berkenalan dengan Kak Ain, dia terasa bertemu kembali dengan cahaya kehidupan yang telah lama hilang. Jujurnya, pada awalnya tiada apa-apa pun perubahan kepada dirinya sejak peristiwa diselamatkan Kak Ain tersebut. Masih tetap tidak mensyukuri nikmat dipanjangkan nyawa oleh Allah S.W.T. Masih seperti dahulu.
Namun Kak Ain gigih merapati. Mulanya dia jadi hairan, kenapa secara tiba-tiba seorang yang tidak pernah dikenalinya selama ini tiba-tiba jadi mesra dan cuba mendekatinya. Curiga ada, syak apatah lagi. Namun setelah sekian lama, sedikit demi sedikit dia berasa selesa. Rasa percaya.
Dia semakin yakin, Kak Ain datang menawarkan cahaya.
Lama-lama, rasa sayang mula menumbuh. Bukan selama ini, dia tidak punya seorang kakak, namun Kak Ain ternyata lain. Belum pernah dia jumpa orang yang begitu mengambil berat akan dirinya seperti Kak Ain. Dan tentu sahaja selepas Fazwan.
Mengenali Kak Ain, dahulu dia yang hanya sekadar mengenal sejadah, kini jadi mula mengenal Tuhan. Apabila ternyata dia tidak lagi diterima untuk tinggal di kolej kediaman, Kak Ain menawarkan untuk tinggal bersamanya. Dan entah kenapa, tanpa berfikir panjang, dia bersetuju.
Tinggal bersama Kak Ain, dia mula mengenali teman-teman serumah Kak Ain. Ternyata mereka juga satu ‘spesies’ dengan Kak Ain. ‘Spesies’ yang mudah mesra dengannya. ‘Spesies’ yang baik. Terutama dengan ‘adik-adik’.
Jujurnya, bukan mudah untuk Kak Ain membimbingnya. Namun ternyata kamus perjuangan Kak Ain juga tercicir perkataan ‘putus-asa’. Malah menurut Kak Ain ikhlas, dialah antara ‘adik’nya yang paling liat. Paling degil.
“Tapi yang paling liat ni la yang Kak Ain paling sayang kan…” sakat Iman.
Dengan Kak Ain, dia tidak selindung apa-apa. Kak Ain jadi tempat dia meluahkan masalahnya. Malah, kisah ‘Fazwan’ juga turut dikongsinya bersama Kak Ain. Dalam derai air mata.
Dengan Kak Ain, dia belajar banyak perkara. Hidup bukan hanya sekadar berputar di sekeliling dirinya. Banyak lagi masalah-masalah lain yang harus dihadapinya. Bukan sekadar masalah cinta. Bukan dia seorang sahaja watak utama dalam pentas lakonan dunia ini….
Tok tok tok. Bunyi pintu biliknya diketuk.
Tidak lama kemudian muka bujur Kak Ain menjenguk.
“Hai adik Nurul Iman binti Hasyim, tengah buat apa tu? Boleh akak masuk?”
Lamunannya terhenti. Pandangannya kembali dijatuhkan ke atas buku ‘Hari-hari Dalam Hidupku’ yang sekadar dibukanya tadi.
“Masuklah Kak Ain…” dia tersenyum gembira.
“Hai mengelamun jauh nampak. Sampai mana? Korea?” Kak Ain membalas senyumnya.
“Kak Ain, Iman nak cakap sikit ni…” Iman tersenyum penuh makna. Muka Kak Ain berubah kehairanan.
“Apa?”
“Iman, erm, Iman rasa, ermm…”
“Rasa apa?” Kak Ain memotong tidak sabar.
“Ukhti, I think I’m in love.” Senyum Iman melebar.
Berkerut dahi Kak Ain. Kak Ain menarik nafas. Berat.
“Again???”
“Yup…”
“…With Allah and Rasul.” Senyum Iman masih belum pudar.
Kerut di dahi Kak Ain hilang ghaib entah ke mana.
“…and dakwah. And tarbiyah.”
Senyum mula tersungging di bibir Kak Ain.
“And of courselah, with my lovely akak, Kak Ain!!!” Iman mula tersengih.
Kak Ain mara memeluknya. Buat beberapa ketika, mereka berdakapan erat. Dakapan ukhwahfillah tentunya. Ukhuwah yang murni kerana Allah semata.
************************************************************************************
“Kak Ain datang bilik Iman ni kenapa?”
“Jom!”
“Mana?”
“Jalan yang sumpah panjang, penuh pancaroba dan
dugaan, ujian usah cakap lah, tak terkira. Ada berani?”
“Insya Allah. Tadehal punya, hahaha.”
************************************************************************************
Iman menggagau telefon bimbitnya. Menghidupkannya lantas membuka kotak mesej. Mencari-cari mesej lama. Akhirnya berjumpa.
Iman menggagau telefon bimbitnya. Menghidupkannya lantas membuka kotak mesej. Mencari-cari mesej lama. Akhirnya berjumpa.
“ Insya Allah, awak akan belajar melupakan saya, jika awak mula belajar mengingat, apa yang lebih wajar untuk diingat. Maafkan saya, Iman.”
-Fazwan
Dia menekan ikon berbentuk seperti tong sampah. Memadam.
“Insya Allah, saya dah belajar.” Gumamnya dalam hati.
sekuel: Akhi I'm in love
-Tamat-
-2.10 a.m
-sebuah tempat yang dirahsiakan.
hebat..sekejapp saja hilang sedihnya..teringat bagaimana ruamte saya frust aweknya merajuk..
ReplyDeleteekstensial: wah, saudara Ra***d juga frust kah? series teringin nak tengok... haha
ReplyDelete