Social Icons

Pages

Thursday 6 September 2012

Fahami Prioritas



Wah, dah macam artikel bahasa Indonesia pulak. Jangan bimbang, anda tak perlukan Revalina S. Temat pun sebagai penterjemah. Haha.

Baik, lurus kepada titik (baca: straight to the point). Sila hadamkan situasi-situasi berikut.



Situasi 1

  
Sebuah kereta peronda polis sedang memecut laju di atas sebuah lebuh raya di pantai barat Burkina Faso. Kelihatan dua orang polis peronda di dalamnya dengan muka serius tak hengat, menandakan mereka sedang melaksanakan sebuah misi penting. Nun di depan sana, kelihatan sebuah lagi kenderaan berwarna hitam sedang memecut dengan kelajuan maksimum.

  
Ternyata, yang mereka sedang kejar itu bukanlah sebarangan penjenayah. Selain senarai jenayah lampau yang berkajang-kajang panjangnya, ternyata penjenayah tersebut sekarang sedang membawa senjata nuklear untuk diletupkan di tengah-tengah kota
Ouagadougou. Dan harapan seluruh negara kini hanya tergantung kepada dua orang polis berwajah serius ini.

  
Sedang mereka melaju, mereka melintasi sebuah motosikal buruk yang turut sama berkongsi menggunakan jalan itu. Tiba-tiba… jeng jeng jeng…

“Kejap kejap! Berhenti! Berhenti!” Jerit encik polis yang berada di tempat duduk penumpang.

“Awat? Awat? Kita tengah dok ligan oghang jahat ni kan!” Polis yang berada di kerusi pemandu kaget.

“Aku kata berhenti, berhenti je la!”

“???”

“Tu, tengok tu, pakcik motor tu, tak pakai topi keledar. Itu belum cek lesen lagi, entah ada entah tidak. Jom kita berhenti saman dia dulu…”

“???”


Situasi 2

  
Asap tebal berkepul-kepul keluar dari surau papan itu. Kejadian itu telah menggemparkan penduduk setempat yang bergegas mengelilingi tempat kejadian. Untuk pengetahuan, pihak bomba dan penyelamat telah dihubungi dan sedang dalam perjalanan.

  
Api yang menjulang-julang tinggi menghalang orang ramai untuk masuk membantu. Bunyi derakan kayu siling dan perabot kayu yang sudah mula renting tambah mengerikan suasana. Mereka hanya mampu berdoa agar Superman datang kesemua penghuni yang masih terperangkap, selamat.

  
Tidak beberapa lama kemudian, dengan tidak semena-mena muncul beberapa lembaga dari sebalik kepulan asap tebal tersebut. Ternyata, Pak Husin, Daud Wasabi, dan beberapa orang lagi ahli jemaah yang tadinya menumpang tidur petang di situ, berjaya meloloskan diri dari surau yang hampir roboh itu. Orang ramai mula bersorak sorai kegirangan.

  
Namun, tiba-tiba mereka semua berhenti di hadapan tangga surau itu. Tidak semena-mena, tercetus perbalahan kecil. Dari sebalik asap tebal, kelihatan mereka semua seperti sedang berebutkan sesuatu.

  
Ternyata, Pak Husin, Daud Wasabi dan ahli jemaah lain tersebut sedang berebutkan selipar. Mereka semua tetap berkeras mahu menyarung selipar masing-masing. Daud Wasabi yang tadinya datang dengan selipar crocs barunya yang berwarna hijau pucuk pisang itu enggan menyarung selipar Jepun surau yang telah dipotong berbentuk ikan itu. Pak Husin pula yang sedang mencari sandal Asadinya nyata berang melihatkan seorang jemaah lain telah menyarung sandalnya. Pergelutan pun berlaku.

“Krakkk!!!!” surau papan itu mula bergoyang-goyang.


Situasi 3

  
Pihak bomba yang bergegas tiba segera mengeluarkan perkakasan memadam kebakaran dari trak bomba. Hos disambungkan ke pili bomba yang berdekatan. Pendek kata, semuanya sudah siap siaga untuk misi menyelamat. Menurut saksi, beberapa orang jemaah masih lagi terperangkap di dalam surau papan yang hampir roboh itu. Tidur mati barangkali.

  
Sedang seorang ahli bomba sedia untuk menghalakan hos ke arah api yang sedang marak itu, tiba tiba satu tangan menghalangnya.

“Eh, kejap-kejap. Tak berapa betul tu bro. Bukan ke dalam buku suruh pegang macam ni ke?” rakannya menunjukkan cara yang sepatutnya.

“Eh mana ada, kau tu yang silap. Cara kau pegang tu kurang efisien sikit. Nanti cepat lenguh.”

“Ada pulak. Kan dalam buku tu dah tulis…”

“Aku tau la, aku dah pernah cuba dah dulu. Kurang selesa sikit. Series tak tipu.”

“Eleh. Ko sembang la. Ko jangan nak bajet pro sangat la… ikut je la apa aku cakap tu.
Macam ni!”

“Tak tak tak. Sebenarnya macam ni!”

“Macam ni la!”

“Bukan.. macam ni!”                

“Bla bla bla”

“Blab la bla”

“Krrraaakkkk!!!!!!”

 
***


Err… Faham tak maksud tersirat di sini?

Bagi yang dah faham, anda boleh menghentikan bacaan anda setakat ini…

 
*

 
**

 
***


Eh, kenapa baca lagi? Haha.

   Prioritas dicedok daripada kata ‘priority’ dalam bahasa omputihnya. Err…  atau dalam bahasa Melayu mudahnya kita panggil kepentingan.

Kenapa mesti faham prioritas?

Cuba bayangkan, jika kita tidak melakukan sesuatu menurut tahap kepentingannya.

  
Seorang polis yang sedang mengejar penjenayah besar, tiba-tiba berhenti hanya sekadar untuk menyaman pakcik tua yang tidak memakai topi keledar. Perbuatannya itu boleh membuatkan seluruh kota binasa akibat senjata nuklear , sedangkan jika dibiarkan sahaja pakcik itu, mungkin tiada apa-apa yang akan berlaku.

  
Begitu juga dalam situasi kebakaran, menyelamatkan nyawa adalah perkara terpenting. Selain dari itu, semuanya kurang penting. Menyelamatkan wang dan dokumen penting, galaxy note yang sedang dicaj di dalam bilik, apatah lagi berbalah untuk menyarung selipar milik masing-masing. Semua itu tidak sepenting menyelamatkan nyawa sendiri.
   Pihak bomba yang sedang bergelut untuk memadamkan kebakaran juga seharusnya mementingkan apa yang lebih perlu dipentingkan. Menyelamatkan nyawa berbanding memastikan menggunakan teknik-teknik memegang hos yang betul.

Err… so kenapa? Nak suruh jadi bomba ke?


Prioritas dalam agama
.

  
Nah, begitulah halnya dengan agama kita, Islam. Islam juga mempunyai tahap-tahap kepentingannya. Namun realiti yang menyedihkan, umat kita hari ini nyata gagal untuk memahami fiqh kepentingan ini.

  
Kebanyakannya lebih memilih untuk berbalah, bertengkar, malah bersengketa dalam perkara-perkara cabang (furu’) sedang perkara-perkara teras dan pokok dibiarkan begitu sahaja.

Apa gunanya berbalah tentang ke’bid’ah’an membaca qunut dalam solat Subuh, sedang lebih ramai lagi di luar sana yang membuat bid’ah membaca qunut di dalam tidur!

Apa gunanya bertengkar tentang keharusan majlis tahlil, jika bersepah-sepah lagi di luar sana yang belum tahu mengucapkan ‘Laailahaillallah’!

Apa gunanya bermusuh tentang kewajiban menyingkatkan pakaian melebihi buku lali, sedangkan beribu-ribu anak gadis kita yang menyingkatkan pakaian melepasi paha!!!

Apa gunanya berdebat kencang sama ada ingin meletakkan tangan ke dada atau tidak sewaktu solat, andai musuh sedang merancang untuk memotong terus tangan-tangan kita!

Apa guna berlelah-lelah mengkaji simbol-simbol rahsia Freemason, sedangkan kita tiada apa-apa pertahanan untuk menghadapinya! Sedangkan umat Islam diserata dunia parah menderita!!!


  
Lebih malang lagi, ialah apabila yang terlibat dalam perbalahan-perbalahan remeh ini adalah para-para asatizah (ustaz-ustaz) dan du’at (pendakwah-pendakwah), yang sangat diharapkan untuk menyelamatkan ummah ini.

Sang asatizah sibuk dengan perdebatan-perdebatan tentang yang mana sunnah, yang mana bid’ah.

Sang du’at pula leka berbalah sesama sendiri, manhaj dakwah mana yang paling benar. Kumpulan-kumpulan mana yang lebih banyak pengaruh dan jasa.

Bangunan umat kita hari ini sedang marak terbakar. Dan kita lebih memilih untuk bertengkar berebutkan selipar???

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...