Social Icons

Pages

Monday 24 September 2012

Cabutan Super Bertuah

[kredit]

“Tok tok tok!”

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam…”

“Ok, akak, pertama sekalinya saya nak ucapkan tahniah kat akak, sebab akak sungguh bertuah hari ini terpilih dalam program gores dan menang anjuran syarikat kami…”

“Isy, ye ke? Muka kamu nampak macam menipu je…”


“Eh, betul akak, saya tak tipu. Macam ni je akak, akak hanya perlu gores kad ini, lepas tu tengok sama ada akak bertuah atau tidak. Tak perlu bayar apa-apa. Setengah sen pun saya tak minta duit kat akak.”

“Err… betul ke kamu ni? Akak masih sangsi dan ragu-ragu ni.”

“La, betul la… buat apa saya nak tipu. Nah, akak ambik kad ni, kemudian gores.”

“Akak nak gores pakai apa ni?”

“La macam tak biasa pulak, akak ada duit syiling?”

“Ha, tengok! Tadi kamu kata kamu takkan mintak duit kat akak! Ni yang akak bertambah sangsi ni…”

“Ya Allah akak, bukannya saya nak duit tu… syiling tu untuk gores kad tu la…”

“Oh, ye ke. Ehehe. Patutkah akak berasa malu sekarang juga?”

Gores.

Gores-gores.

“Eh, ni apa dia tulis ni adik? Bi-em-dabeliu? Apa tuh?”

“TAHNIAH!!!! TAHNIAH akak!!!!! Akak lah mangsa pelanggan bertuah yang kami cari selama ini!!! Akak tau tak, akak baru saja memenangi sebuah kereta BMW!!!! Tahniah sekali lagi akak… tahniah!!!”

“Wah, rasa macam tak percaya la pulak. Sebelum-sebelum ni tak pernah pulak akak bertuah macam ni. Masa kecik dulu akak beli kuaci sepuluh sen pun tak pernah dapat kupon bertuah yang boleh tebus percuma lagi satu kuaci tu.”

“Tahniah akak, tahniah… yahoo!!! eh, kenapa saya pulak yang teruja lebih?”

“Jadi bila akak boleh dapat kunci kereta? Tak sabar dah ni nak bawak berarak keliling kampong…”

“Eh, sebelum tu, sebelum akak boleh bawa pulang kereta tu, akak mesti beli barangan dari syarikat kami dulu. Ala, tak mahal pun akak… empat ribu empat ratus empat ploh hinggit tunai je kak… ala, berapa sangat la nak dibandingkan dengan sebijik BMW tu… akak sungguh bertuah hari ni, series, akak patut bersyukur. Sila sujud syukur sekarang!”

“Eh? Kompius.”


***


“Jutaan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar Kolej XYZ sekalian. Kamu patut berasa bersyukur dan bangga, kerana kamu semua merupakan pelajar-pelajar terpilih. Dalam berbillion-billion pelajar-pelajar lain yang memohon di luar sana, kamu sungguh bertuah kerana berjaya terpilih memasuki Kolej XYZ ini. Tahukah kamu, tempat yang kamu sedang duduk itu, ada beribu-ribu lagi pelajar lain yang berebut ingin mendapatkannya…”


***


Eh, maaf-maaf, jauh pulak melalut hari ni. Tapi macam pernah ku kenal ayat-ayat di atas tu, tapi di mana ya? Korang pernah? Haha.

Ok, sekarang serius. Sila kerutkan dahi-dahi anda.

Dalam hidup korang selama ni, korang pernah tak bertuah?

   Err, maksudnya, pernah tak korang jalan-jalan tiba-tiba menang superbike sebijik ke, menang hamper bertuah masa hari sukan sekolah ke, menang kipas angin cabutan bertuah pasaraya Q ke, pernah?

   Kalau saya, seingat-ingat saya, sepanjang-panjang hidup saya, hanya dua kali je saya pernah kena cabutan bertuah.

Pertama, dapat hadiah biskut cap pingpong masa jamuan akhir tahun sekolah rendah.

Kedua, sewaktu malam asrama putera (kami panggil malam Aspura) masa sekolah menengah.

Hadiah? Saya pun tak pernah tahu.

Kenapa?

Sebab malam tu ada satu lagi nombor sama sebijik macam nombor saya. Hahaha.

Eh, rezeki kan daripada Allah. Buat apa nak sedih-sedih? (ayat cover maut)

   Sebenarnya, ada apa pada cabutan bertuah ni? Kalau nak dilihat dari aspek hadiah, takdelah gempak mana pun kan? Paling-paling special pon hamper yang ada bakul kat bawah, air  botol berkarbonat kat tengah, lepas tu dililit-lilit dengan jeli, Rota, Twisties dan wafel coklat di keliling.

Kalau beli sendiri lagi banyak kot.

Jadi, kenapa?

Jawapannya mudah. Sebab BERTUAH.

   Kita panggil cabutan bertuah ke, kalau dalam satu dewan tu, semua menang hamper cabutan bertuah? Tiada yang menang, melainkan menang-menang belaka.

   Best
ke usung hamper ke sana ke mari, kalau semua orang lain pun ada hamper yang sama?

   Jadi, yang menjadikan cabutan bertuah itu best dan mengembangkan hidung, ialah apabila hanya kita (dan beberapa orang lain) sahaja yang memenanginya.

   Bayangkan dalam ramai-ramai orang; Udin Galah, Seman Spider, Kasim Ikan dan Daud Kicap, tiba-tiba kita yang bertuah untuk naik ke atas pentas, lalu bergambar sepam dua. Dalam ramai-ramai orang; Semah, Su Lijah, Hartini, Leha, tiba-tiba kita yang dapat hamper, dibawa berkepit ke sana ke mari. Bayangkanlah!


   Ok ok… berhenti sebentar di situ saudara. Apa motif sebenar saudara ni? Saudara stress sebab jarang menang cabutan bertuahkah? Atau saudara sedang menulis tesis tentang cabutan bertuahkah?


   Baiklah, zaman sekarang orang meminang pon tak pakai pantun-pantun dah, terus lurus ke titik (straight to the point) je. Inikan pula menulis belog, ye dok?

   Jadi, pernah tak, secara tiba-tiba anda merasa sangat bertuah? Tengah syok-syok melepak di tepi lombong terbiar, tiba-tiba anda didatangi perasaan bertuah ini. Sedang enak-enak membantu emak memasak air di dapur, tiba-tiba anda melompat kegembiraan, kerana rasa begitu bertuah. Elok-elok tengah tersengguk-sengguk di dalam kelas, tak dijangka-jangka anda tiba-tiba didatangi perasaan sangat bertuah ini, sehingga mengalirkan air mata sambil mengucapkan terima kasih tidak berhenti, seperti artis baru memenangi anugerah bintang paling popular saja lagaknya.

Pernah?

Kalau tak, saya sarankan supaya anda mula berbuat begitu sekarang.Eh.

Ya, anda wajar berbuat begitu, kerana anda sememangnya orang paling bertuah dalam dunia ini.

   Bayangkan, dalam banyak-banyak benda dan makhluk yang ada di muka bumi ini, anda bertuah untuk terpilih menjadi seorang manusia, sebaik-baik kejadian. Allah telah memilih anda untuk diciptakan menjadi manusia, khalifah di muka bumi ini. Bukan dinosaur, kucing, beruang polar, mangkuk tandas, bola futsal, kunci loker dan berbillion-billion lagi objek lain.

   Bayangkan jika anda dicipta menjadi sekeping biskut chipsmore, suka-suka hati je digigit dan ditelan (walaupun femes dapat masuk tv), bagaimana pula jika dicipta menjadi batu seremban, sudahlah dipermain-mainkan oleh kanak-kanak, dicampak dan dibaling pula sewenang-wenangnya. Bagaimana, bertuah kan dapat jadi manusia?

   Kemudian, dalam berjuta-juta trillion manusia yang pernah lahir di muka bumi ini, anda bertuah sekali lagi untuk dipilih menerima risalah kebenaran yang diutuskan melalui para rasul. Anda terpilih untuk menerima seruan dakwah baginda Rasulullah, ya anda, bukan kaum-kaum primitif yang pernah menghuni di gua-gua dan delta-delta sungai itu. Anda! Bertuah kan?

   Selepas itu, anda sekali lagi terpilih untuk melafazkan kalimah ‘Lailahaillallah’ dalam begitu ramai manusia yang pernah menerima seruan dakwah Islam itu. Dalam ramai-ramai manusia yang menentang dan mengabaikannya, tiba-tiba anda yang terpilih. Sedangkan anda sendiri tak pernah mengisi apa-apa borang permohonan, baik secara online mahupun tidak.

   Dalam ramai-ramai Ah Chong, Ramasamy, Ronaldo, Abu Lahab, tiba-tiba nama anda yang naik untuk dipilih. Gila kau tak bertuah?

   Tidak terhenti setakat itu, sekali lagi anda terpilih. Kali ini, dalam berbillion-billion manusia yang telah mengucapkan kalimah syahadah dan mengaku sebagai Muslim ini, anda yang terpilih untuk mengamalkannya. Betapa ramainya manusia di luar sana, sama ada yang masih hidup ataupun telah mati, yang sekadar memakai Islam pada namanya sahaja.

   Namun, anda lain. Anda bertuah telah dipilih untuk merasai nikmat solat, enaknya berpuasa, leganya bersedekah, tenangnya menutup aurat, dan lain-lain lagi. Baik kan Allah?

   Baik, sekarang mari kita imbas kembali, dalam banyak-banyak makhluk, kita terpilih menjadi manusia. Kemudian kita terpilih pula untuk menerima seruan dakwah para rasul. Selepas itu kita terpilih pula untuk menerimanya. Dan sekali lagi, entah bagaimana kita terpilih sekali lagi untuk mengamalkannya! Alangkah bertuahnya kita!

Sekarang, anda dah rasa cukup bertuah?

Nanti dulu!

   Pemilihan ini masih belum selesai lagi. Kali ini, buat kesekian kalinya, sekali lagi anda terpilih. Anda manusia, menerima seruan para rasul, menerima Islam dan mengamalkannya.

   Sekarang, dalam entah berapa billion trillion makhluk yang pernah wujud,dalam sebegitu ramai Muslim yang hanya menganggap Islam sebagai ritual-ritual tanpa roh, anda yang terpilih untuk menerima nikmat tarbiah, mendalami Islam sebenar-benarnya, dan kemudian menyampaikannya.

Mahukah anda menerimanya?

   Dalam banyak-banyak orang; Norkumalasari, Lisa Surirumah, Osman Pulau dan Khairudin Sanchez, Makcik Hidayah dan Pakcik Tarbiah lebih memilih untuk mengetuk pintu hati anda. Sudikah anda membuka pintu sambil tersenyum mesra buat mereka?

   Ya, anda memang super bertuah. Walaupun anda tidak pernah memenangi peraduan gores dan menang, tidak pernah bertuah dalam cabutan bertuah, andalah orang yang paling bertuah di atas muka bumi ini.

Yahoo!!! Yippiii!!! Hooraayyyy!!!

Eh, nanti dulu.

   Namun, harus anda ingat! Sebagaimana mudahnya anda untuk tiba-tiba terpilih, semudah itulah juga buat Allah untuk menarik semuanya kembali, dalam sekelip mata, bila-bila masa.

Pernah jumpa kenalan atau sahabat yang dulunya elok bertudung litup, kini sudah terbuka di sana sini?

Pernah bertemu dengan kenalan yang dahulunya sama-sama berkongsi sejadah dengan anda, kini sudah sesat untuk ke masjid?

Atau mungkin pernah dengar kisah-kisah di dada akhbar orang yang dahulunya Islam, kini sudah kufur?

Nauzubillahi min dzalik.

Apa lebihnya kita untuk dijamin terselamat? Kekal thabat di atas jalan ini? Mata berpeluh.

   Sebagaimana sekelip mata segala nikmat ini datang, sepantas itulah jua ia boleh pergi, jika kita tidak berusaha untuk menjaganya.


“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu
dustakan?”
-Ar-Rahman:13

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...