Social Icons

Pages

Tuesday 15 January 2013

Kerana Sebuku Roti

[kredit]
* ceh, tajuk nak gramatis je... huhu



   
   Bas mendadak berhenti. Halmi yang sedikit tersengguk ke hadapan tersentak. Segera dia melarikan pandangan ke luar tingkap. Mengecam suasana. Tiba-tiba dia tersenyum sendirian.

Alhamdulillah, dah sampai.


  
   Sungguh, perjalanan selama dua jam setengah itu terasa berlalu dengan pantas. Dia begitu tenggelam di dalam pembacaannya. Sedar-sedar bas yang dinaikinya sudah tiba di destinasi. Dia segera menutup aplikasi e-book di i-Padnya setelah menanda mukasurat bacaannya yang terakhir tadi. E-book “Digital Fortress” karya Dan Brown itu akan dihabiskannya kemudian. Sekarang, dia ada hal yang lebih penting.

   Tersenyum, Halmi bergegas turun. Hatinya melonjak-lonjak keriangan. Seusai mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas tersebut, segera dia merasa-rasa poket seluarnya, lantas mengeluarkan sesuatu.

  
Senyumannya malah semakin melebar. Halmi menekan pad kekunci telefon bimbitnya, menyemak nombor kenalan, seakan mencari-cari sesuatu. Ya, nombor istimewa. Ketika butang dail ditekan, baris giginya yang tersusun putih itu jelas kelihatan. Dia tersengih sambil menunggu panggilan bersambut di sebelah sana talian.

Tut… tut…

Tut… tut…

Tut… tut…

Seakan ada debar di dadanya. Membayangkan suara yang akan menjawab panggilannya itu.

Klik, bunyi ganggang diangkat di sebelah sana talian.

“Assalamualaikum…” Halmi terlebih dahulu memberi salam.

“Waalaikummussalam, ha Along… maaflah, mak baru balik masjid semayang Isyak tadi, tu yang dok lambat angkat telefon tu… Ada apa-apa ka Along?”

“Oooo, takpa mak, Ni, ceq dah sampai stesen bas dah ni…” Halmi makin tersengih nakal.

“ Ya Allah… bertuah punya anak! Awat Along tak habaq awal Along nak balik? Mak ingat Along balik minggu depan?”

“He he he, saja ceq nak buat surprise kat mak…”

“ Hah ye la tu surprise. Nanti mak suruh Angah amek Along kat stesen bas.”


  
Selepas saling berjawab salam, panggilan diputuskan. Dengan senyuman masih bersisa, Halmi melangkah pergi.

***

   Salimin mengibas bajunya kepanasan. Kipas surau yang berputar-putar malu itu gagal menyamankan suasana. Salimin mendengus kemarahan. Sudah hampir tiga jam dia menanti di surau kecil itu. Namun penantiannya masih belum berakhir. Usahanya masih belum berakhir.

  
Salimin melipat-lipat sejadah, kemudian dialaskan ke kepalanya buat dijadikan bantal. Kepanasan masih belum berkurangan. Salimin memerhatikan kipas yang berpusing-pusing perlahan. Kemudian melarikan matanya mengamati persekitaran surau yang kurang terurus itu. Kemudian kearah pintu kayu surau itu.  Sejak tiga jam lepas, belum ada muka yang menjengah masuk melalui pintu itu.

Ah, barangkali surau ini terlalu terpencil, sehingga tiada orang yang datang. Penantianku selama ini sia-sia!
Getus hati kecil Salimin.

  
Salimin merasa-rasa poket sisinya. Ah, masih selamat di situ. Dia lantas mengeluarkannya. Sebilah pisau Rambo siap bersarung kelihatan. Sarung dicabut, dia mencuba-cuba mata pisau yang berkilat itu ke kukunya. Masih tajam seperti biasa.

  
Tiba-tiba, bunyi berkeriut dari arah pintu mengejutkannya. Segera dia menjatuhkan pisau itu di sisi, disembunyikan di celah-celah lipatan sejadah.

  
Sejurus kemudian, satu wajah menjengah masuk ke dalam. Seorang pemuda awal 20-an yang sarat memikul beg melangkah masuk. Pandangan mata mereka bertembung. Pemuda itu menawarkan senyuman. Kurang selesa, Salimin melarikan pandangan.

***

   Manik-manik peluh mula muncul di dahi Halmi. Setelah letih dia melangkah mengelilingi perkarangan stesen bas itu, barulah dia ternampak papan tanda surau. Halmi melepaskan nafas kelegaan. Kebiasaannya, apabila dia ingin pulang ke rumah, dia akan solat jamak taqdim terlebih dahulu di surau stesen bas di kota. Namun hari ini, akibat jalan yang agak macet, dia tiba lewat ke stesen, lantas terburu-buru menaiki bas setelah mendengar panggilan terakhir bagi penumpang yang menuju ke utara. Jadi dia sekadar sempat berniat untuk menunaikan solat jamak ta’khir setibanya di destinasi nanti.

  
Dari luar, surau kelihatan lengang. Dia tidak pasti apakah disebabkan oleh malam sudah larut, atau sudah tidak ramai lagi orang yang sudi berkunjung. Ah, dia tersenyum sendiri.

“Mungkin semua orang berebut nak solat kat masjid kot…” Halmi menyedapkan hati.

  
Dia memutar tombol pintu surau itu sebelum melangkah masuk. Sedikit tersentak Halmi apabila mendapati seorang lelaki sedang bersandar di dinding surau. Sangkaannya meleset. Pandangan mata mereka bertembung. Halmi menawarkan senyuman. Sebaliknya lelaki itu melarikan pandangannya. Halmi kurang senang.

Jauh di sudut hatinya, setan-setan bertanduk berbisik menghasut;

“Eleh mamat ni, sombong betul. Ingat aku nak sangat senyum kat ko. Boleh pigi da!!!”

Lantas dia teringat satu hadis yang pernah disebutkan oleh ustaznya.

“Senyum pada wajah saudaramu adalah sedekah.”

Dia menarik nafas, kembali melapangkan dadanya, kemudian bergerak ke tempat wudhuk.

***

   Salimin hanya memerhatikan gerak-geri pemuda itu. Selesai berwudhuk, pemuda itu bergerak ke sisi surau. Di bahunya terdapat sebuah beg galas yang kelihatan sarat. Salimin sudah masak benar. Dari tampang pemuda itu, sudah pasti dia merupakan seorang pelajar di mana-mana institut pengajian tinggi. Dan pelajar-pelajar sepertinya kebiasaannya akan membawa barang-barang berharga bersama mereka apabila pulang ke kampung halaman.

  
Sekurang-kurangnya komputer riba. Atau telefon bimbit. Dan kadang-kadang, apabila nasibnya baik, mereka turut membawa wang tunai yang agak lumayan. Salimin tersengih. Sudah terbayang-bayang hasil lumayan yang akan diperolehinya malam itu. Penantiannya malam itu berhasil.

  
Sejahat-jahat Salimin, dia kebiasaannya akan membiarkan mangsanya selesai menunaikan solat terlebih dahulu. Entah mengapa, dia seakan menemui secebis ketenangan di situ. Walaupun dia sudah terlalu lama manjauhkan diri dari Tuhan, ada damai yang dia lihat pada orang yang sedang rukuk dan sujud, tunduk dan patuh kepada pencipta. Tapi damai itu hanya seketika. Seusai sahaja mangsanya selesai solat dan berdoa, Salimin akan memulakan operasinya.

  
Sewaktu dia sedang menunggu pemuda itu selesai, fikirannya tiba-tiba mengajaknya menerawang jauh. Mengulit kembali memori-memori lama. Jujurnya, memori hidupnya tidaklah begitu indah untuk dikenang-kenang. Atau lebih jujur lagi, dia telah melalui masa silam yang gelap. Dilahirkan dalam keluarga yang berantakan, sejak kecil dia kurang mengerti apa itu kasih sayang. Hidupnya terabai. Sejak kecil lagi, dia jarang-jarang pulang ke rumah. Bukan dia terlalu seronok berjalan-jalan merayau disekeliling kota, namun dia terlalu takut untuk pulang. Ayah tirinya terlalu garang.

 
Dia tidak pernah bermimpi untuk membesar sebagai penjahat seperti ini. Bahkan sewaktu kanak-kanaknya, dia pernah dengan yakin menjawab kepada cikgunya bahawa dia akan menjadi doktor kelak. Namun realiti hidup tidak seindah impian. Dia sering merayau-rayau kelaparan di tengah kota. Tidak ramai yang peduli dengan nasibnya.

 
Pernah suatu hari, dia sangat kelaparan. Pengusaha-pengusaha kedai makan enggan menghulurkan simpati. Malahan ada antara mereka yang menghalau dengan kata-kata keji. Terdesak, dia terpaksa mencuri beg duit salah seorang pengunjung di situ buat membeli makanan.

  
Sejak hari itu, dia mula berjinak-jinak untuk mencuri. Rasa berdosa akibat perbuatannya itu sering dipujuk dengan dendamnya terhadap masyarakat. Ya, dendam kepada masyarakat yang enggan mengasihaninya. Dia membesar dengan dendam dan benci. Dari mencuri, dia mencuba-cuba untuk meragut dan merompak. Hasil pendapatannya semakin lumayan. Hidupnya makin mewah. Rasa bersalah telah hilang sama sekali. Ini balasannya, terhadap apa yang mereka telah lakukan terhadap masa silamnya.
 
Sedang asyik termenung, tiba-tiba dia dikejutkan oleh satu suara.

“Assalamualaikum abang.”

  
Pemuda itu yang menyapanya. Tangannya di bawah lipatan sejadah makin erat menggenggam pisau. Menanti masa yang sesuai.

“Maafkan saya, saya Halmi. Saya nak tanya, abang nak tak ni?”

  
Kelihatan ditangan pemuda itu sebungkus roti. Salimin tersentak. Belum sempat dia berkata apa-apa, roti itu bertukar tangan. Pemuda itu meletakkannya ke dalam tangannya sambil tersenyum.

“Abang ambik la ni. Saya ikhlas.”
Senyuman makin melebar.

Salimin menjatuhkan pandangan pada sebungkus roti di tapak tangannya.

Tidak percaya.

***

   Usai solat dan berdoa, Halmi mencapai beg galasnya. Niat asalnya ialah untuk mengeluarkan iPadnya untuk menyambung pembacaan sementara menunggu adiknya datang menjemput. Kemudian dia membatalkan niatnya, lantas membuka zip di bahagian hadapan untuk mengambil mushaf al-Quran kecilnya. Halmi baru teringat bahawa dia masih belum menyempurnakan target bacaannya untuk hari itu.

 
Sewaktu dia sedang meraba-raba ke dalam beg galasnya bagi mencapai al-Qurannya, tangannya menyentuh sesuatu yang lembut. Lantas dia menarik keluar. Sebungkus roti gardenia berinti coklat berada di tangannya. Baru dia teringat dia sempat membelinya sebelum bertolak tadi.

  
Halmi menyandarkan badan pada dinding sambil tangannya cuba membuka bungkusan roti itu. Perutnya terasa berkeroncong kerana belum diisi dengan makan malam seperti biasa.

  
Kemudian dia terlihat lelaki tadi sedang termenung jauh. Cuba memaniskan muka, dia bangun, menghampiri lelaki itu.

***

   Sewaktu sedang membaca al-Quran, tiba-tiba pahanya bergetar. Ada mesej baru. Adiknya sudah tiba di stesen bas. Halmi menyudahkan bacaan ayat terakhirnya, kemudian kembali menyimpan al-Qurannya di dalam beg. Sewaktu dia ingin beredar, kelihatan lelaki tadi masih duduk di situ. Bungkusan roti di dalam pegangannya masih seperti tadi, tidak dibuka.

“ Erm, abang, saya balik dulu ya? Assalamualaikum…”


Dia sudah hampir melangkah keluar dari surau itu apabila tiba-tiba…

***

   Salimin terkedu. Seakan tidak percaya, seorang pemuda yang bakal dirompaknya sebentar lagi tiba-tiba menghulurkan sebungkus roti kepadanya. Hatinya tiba-tiba tersentuh. Dia terharu. Bukan disebabkan dia terlalu lapar ketika itu. Bukan. Hakikatnya dia sudah kenyang manjamu selera di restoran sebentar tadi. Namun ada sesuatu yang menyentuh hatinya. Ada sesuatu yang berbeza pada pemuda bernama Halmi ini.

Halmi sudah hampir melangkah keluar dari surau itu apabila tiba-tiba…

“Nanti!!!” Satu suara kasar dari belakangnya menghentikannya. Halmi kaget. Dia berpaling kearah satu-satunya pemilik suara di dalam surau itu.

“Kenapa.. kenapa kau bagi aku roti ni?” Lelaki itu sudah mengangkat pandangan, menyeluruhi wajah Halmi.

Sedikit gugup, Halmi mencari-cari patah kata yang sesuai. Dia cuba tersenyum.

***

“Err… Sebab Islam ajar kita buat baik pada orang lain.?”

 
Salimin lebih tersentak. Tidak dijangka jawapan itu akan keluar dari mulut pemuda itu. Hatinya lebih tersentuh. Memorinya kembali mengimbau ke zaman kanak-kanaknya. Zaman suramnya.

  
Dia tersedar, jika semua orang bersikap seperti pemuda ini kepadanya dahulu, dia mungkin tidak akan menjadi begini. Bahkan mungkin dia tidak akan ada sama sekali di surau ini pada hari ini.

Sebab Islam ajar kita buat baik pada orang lain.
Kata-kata itu kekal berlegar di dalam kepalanya.

***

   Ketika Halmi melangkah keluar dari surau itu, dia seakan dapat melihat ada air yang sedang bertakung di kelopak mata lelaki itu.

Tamat. 

*maaf, sudah lama tidak menulis, mungkin sudah sedikit 'berkarat', haha. Maklumlah, saya baru sahaja habis hekzem. Sebagai seorang pelajar jurusan Syariah dan Medik, tentunya saya seorang yang super sibuk.
haha alasan.
Tolong. tolong jangan percaya ^^

2 comments:

  1. aku-bukan-robot.15 January 2013 at 15:19

    thumbs up! sungguhlah kadang2 yang sedikit mampu menyentuh hati jika benar dari hati.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...