Social Icons

Pages

Friday 18 May 2012

Tsunami Datang Lagi!

tsunami datang lagi, apa tunggu lagi???





Bukan, bukan! Ini bukan artikel pasal Tora datang lagi itu! Haha.







 
Kepulauan Andaman, di sebuah pagi yang dingin.

   Khairul Ferrero Sanchez semakin erat menarik selimut nipisnya itu rapat-rapat ke tubuhnya. Sekejap dia berpaling ke kiri, sekejap ke kanan. Seakan tidak selesa benar laku tingkahnya itu.

  Akhirnya dia menyerah. Perutnya menang pagi itu. Tuntutan untuk melunaskan nafkah kepada perutnya itu mengatasi rasa mengantuk yang menghantui dirinya pagi itu.

“Plushhhhhhh!!!!” bunyi tandas di pam.

   Sejurus melangkah keluar, Khairul memandang sekelilingnya. Kosong. Suasana rumah sewanya sepi, tanda rakan-rakannya semua masih lena tidur. Selepas menunaikan subuh gajah awal pagi tadi, semuanya kembali menjadi gajah-gajah ketiduran selepas subuh.

  Yang patah, tumbuh, yang hilang, berganti. Mungkin pepatah itu amat sesuai menggambarkan keadaan Khairul yang sedang menyelongkar almari dapur rumah mereka, mencari jika ada saki-baki mee segera barang sebungkus dua yang belum dimamah mereka, buat mengisi perutnya yang baru lepas ‘dikosongkan’ itu.

  “Aha! Ni dia, cun!” Khairul Ferrero Sanchez bermonolog sendirian kearah sekampit magi kari yang dijumpainya di dalam laci dapur.

  Tanpa berlengah lagi, tangannya cekatan membuat kerja, sebiji periuk api besi dicapainya sambil menuangkan air kosong ke dalamnya. Selepas itu, sebiji telur dicapainya dari dalam peti ais, dibasuhnya, lantas dipecahkan lalu diisi di dalam periuk tadi, yang kini telah berada di atas dapur dengan api sedia terpasang.


  Bau megi kari yang semerbak ke seluruh ruang rumahnya itu nampaknya sedikitpun tidak mengganggu tumpuan dan fokus dua orang lagi sahabatnya, Ismail Fathoni dan Daud Wasabi yang sedang tergelimpang di depan televisyen itu. Langsir yang berkibar kuat akibat ditiup angin laut yang kencang itu juga tidak sedikitpun mengganggu mereka. Bahkan Ismail Fathoni semakin lena di dalam bungkusan selimut tebalnya itu.

   Sedang Khairul Ferrero Sanchez cuba mencapai sudu dan garfu dari rak pinggannya itu, tiba-tiba rak itu tumbang lantas segala pinggan mangkuk yang ada di dalamnya habis pecah berderai. Terkejut beruk Khairul hingga hampir-hampir ia melompat masuk ke dalam peti ais.

  Setelah beberapa ketika, barulah dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Ya, rumahnya sedang bergegar! Tidaklah terlalu kuat, sehingga mampu mengejutkan dua orang sahabatnya yang sedang tidur mati itu, tapi cukup untuk membuatkan segala perabot dan isi rumah bergerak ke sana ke mari.

  Setelah kira-kira 30.8 saat gegaran kecil itu berlalu, menurut perkiraan jam G-Shock miliknya itu, barulah segalanya kembali seperti sediakala, kecuali barang-barang rumah yang tunggang-langgang, termasuklah Ismail Fathoni dan Daud Wasabi, yang kini terbaring bergelimpangan betul-betul di hadapan pintu tandas yang baru digunakan Khairul tadi.

  Setelah rasa terkejutnya hilang, dia ke ruang tamu, lantas menghidupkan televisyen untuk mengetahui apakah gegaran yang berlaku tadi. Malangnya ianya menambah-nambah keterkejutannya apabila wartawan di televisyen itu sedang melaporkan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku kira-kira150 kilometer di luar pantai Acheh. Setelah itu keterkejutan Khairul bertukar menjadi gabra dan cemas yang melampau-lampau apabila melihat amaran tsunami dikeluarkan kepada pantai-pantai berhampiran, termasuklah Kepulauan Andaman, lokasinya sekarang!!! Ya Tsunami datang lagi!!!!

  Khairul Ferrero Sanchez hanya sempat mencapai i-phone 4S dan Notebook Dell-nya, sebelum meluru keluar daripada rumah sambil menjerit

Tsunami! Ayoyo Tsunami! Ayoyo!!!”

Dalam kegopoh-gapahannya itu, tidak disedari dia telah terpijak perut dua orang sahabatnya itu, yang masih lagi, err…, tertidur.


  Petang.

   Alhamdulillah, kuasa Allah, tiada sebarang kejadian tsunami direkodkan, melainkan ombak kuat separas buku lali yang dicatatkan di sesetengah tempat.

  Tengah hari itu, Ismail dan Daud akhirnya menamatkan hibernasi bak beruang kutub mereka itu, mendapati diri mereka dalam keadaan terkejut apabila mendapati mereka terbaring bergelimpangan di hadapan tandas rumah mereka. Itu belum dikira lagi keadaan rumah yang tunggang-langgang dan berserakan, ditambah dengan pintu yang dibiarkan terbuka luas tidak berkunci.

   Dan yang lebih merunsingkan lagi mereka berdua ialah apabila Khairul Ferrero Sanchez tidak kelihatan dalam pandangan mereka. Apa yang kelihatan hanyalah semangkuk megi kari yang telah sejuk, sebelum dibalun habis oleh mereka berdua.

“ Alah, kau tak payah risaulah, mustahillah Khairul tu kena culik, dia tu bukannya hensem mana pon. Lagipun, tengok megi ni tak bersentuh. Ini merupakan bukti konkrit bahawa takde sape-sape pecah masuk rumah kita!” Ismail Fathoni mengemukakan teori sambil menyudu megi ke dalam mulut.

  Tidak lama selepas itu, mereka ke hadapan televisyen yang entah dibiarkan terpasang oleh siapa. Bulat mata mereka berdua melihat laporan bahawa amaran tsunami besar baru sahaja ditarik balik di Pulau Andaman. Jika amaran tersebut tidak ditarik balik, pastilah mereka berdua yang telah ditarik oleh ombak besar yang membadai pantai berhampiran rumah mereka itu tanpa sempat menunaikan solat sunat Dhuha yang banyak fadhilatnya itu.

“Kurang asam! Nampaknya saudara Khairul Ferrero Sanchez tersayang kita tu dah lari menyelamatkan nyawa dia seorang je!!!” gumam Daud Wasabi sambil menggepal penumbuk.


   Petang itu Khairul Ferrero Sanchez kembali ke kediamannya sambil tersengih-sengih, melihatkan dua orang sahabatnya itu sedang menunggu di pintu rumah dengan kayu besbal dan penyapu lidi tergenggam kemas dalam tangan masing-masing.

“Ow… nak hidup sorang-sorang je ea???” sapa Daud Wasabi dingin.

“err, aku…

“Kenapa balik sini? Kenapa tak terus lari ke atas gunung tu??” tambah Ismail Fathani pula.

“Sori la weyy, aku bukan tak nak kejut, tapi tengok korang berdua sedap sangat tidur, aku tak sampai hati….”
“…. Lagipun aku ni bukannya pandai sangat bab-bab tsunami ni, so aku pergi sorang-sorang dulu nak mendalami ilmu astronomi, kaji bumi, mengkaji selok-belok ilmu geologi dan kaji tanah, bila aku dah pakar, aku dah kompemkan betul-betul dulu pasal tsunami ni barulah aku balik, kejutkan korang….”

Belum sempat Khairul Ferrero Sanchez menghabiskan ayatnya…

“Kau tau tak! Kau tu dah la bengap kurang terpelajar, SPM rendah pada aku! Kalau nak tunggu ko siap mengkaji ilmu segala bagai tu dulu, alamatnya mati keras dulu la kitorang kena baham dek air laut tu!!!! Faham tak!!!!”

Tutur kata Khairul Ferrero Sanchez selepas itu tidak dapat direkod dengan jelas, akibat diganggu bunyi jeritan diselang-seli dengan bunyi libasan dan hempukan kayu besbal dan penyapu lidi…….

Tammat.



 

Di dalam cengkerang kacang ( baca: In a Nutshell)

Macam biasa la kan, tak lengkap la cerita kat blog ni kalau takde pengajaran dan pentadabburannya kan? Haha.

Kita semua sedar tak, yang kisah kat atas ni, merupakan kisah hidup kita sendiri? Perasan kan? Kan? Kan?

“ Err, macam takde ape-ape kaitan je, saya tak pernah pulak alami gempa bumi, apatah lagi tsunami wahai encik akhi!”

Itu kalau anda semua lihat dari bawah tempurung reput anda itu. Haha.

Sebenarnya kisah ini sangat berkait rapat dengan diri kita, ye la, anda anda itu, buat apa pandang tepi, anda la yang saya maksudkan.

Anda. Mr-nak jadi baik- punya jenis.

   Bila disapa angin kesedaran, revolusi keinsafan, taufan kefahaman, ramai di antara kita yang – Alhamdulillah- segera berlari ke arahnya, meninggal jauh segala lumpur jahiliah dan kejahatan silam yang telaj sekian lama membalut diri kita.

   Dengan segera, kita berlari meninggalkan ‘rumah’ jahiliah, tempat tinggal kita selama ini untuk mencari perlindungan di bawah naungan Islam. Sama halnya seperti Khairul Ferrero Sanchez yang lintang-pukang meninggalkan rumahnya yang bakal dirempuh tsunami itu.

   Namun dalam kesibukan kita melarikan diri itu, ya sama seperti dalam kes saudara Khairul Ferrero Sanchez itu, hingga dia terlupa untuk mengejutkan dan memberi amaran kepada Daud Wasabi dan Ismail Fathani yang sedang lena tidur itu. 

   Begitulah kita, bergegas kearah kebaikan, sehingga terlupa mengejutkan sahabat-sahabat kita yang masih ‘tertidur’ dalam jahiliah itu.

Mungkin kita senang member alasan,

“tak sanggup la nak ajak, dia tu tengah syok dok buat kejahatan tu, kalau tegur pon mesti tak layan punye la…”

Ataupun

“ Dah pernah tegur dah sekali haritu, tapi dia buat tak tahu je… malas la dah nak layan…”

   Begitu mudah kita meletakkan temboh pemisah Israel antara kita dan sahabat kita tersebut. Semudah Khairul Ferrero Sanchez lari meninggalkan sahabat-sahabatnya dengan alasan “tak tergamak nak kejut” itu.
Ya tidak dinafikan, memang tugas untuk menyedarkan mereka itu bukan mudah. Bahkan anda mungkin dicaci, dimaki, disepak , dijet dan di-pelbagai lagi- oleh mereka itu. 

Tapi adakah anda akan berhenti begitu sahaja? Tidak.

   Bayangkan anda sedang berada dalam situasi yang sama dengan Khairul Ferrero Sanchez, pastilah anda akan bersungguh-sungguh mengejutkan sahabat anda yang sedang tertidur, agar mereka dapat lari bersama-sama anda menyelamatkan diri. Dan untuk itu, anda tidak akan kisah jauh sekali terasa hati jika dimarah, dimaki dan ditendang oleh sahabat anda yang sedang tidur itu.

   Ya, kerana anda tahu mereka itu sedang tidur. Tidak menyedari hal sebenar yang berlaku. Juga anda menyedari bahawa bencana besar sedang menanti mereka jika mereka tidak bangun. Oleh kerana kasih dan sayang yang jitu dan padu terhadap mereka, pastinya anda tidak akan sanggup melihat mereka ditimpa kecelakaan besar, akibat tindakan anda yang mengejutkan mereka secara sambil lewa itu.

   Begitulah jua keadaannya dalam dunia realiti, mereka walaupun kelihatannya sedang jaga, boleh bermain dan ketawa, sebenarnya hati-hati mereka masih tertidur, menunggu untuk dikejutkan, sebelum tsunami (baca: maut) melanda mereka.

   Mungkin juga anda dengan senangnya member alasan yang tidak kurang famousnya di alaf baru ini.

“Ala aku ni bukannya baik sangat pon, dah nak tegur-tegur orang. Tunggulah aku nak perbaiki diri aku sendiri dulu, baru boleh nak nasihat orang lain”

   Wahai adik manis. Sedarkah anda bahawa proses ‘pembaiksasian” diri anda itu tidak akan pernah berakhir? Jadi bila masanya untuk menunggu diri anda menjadi betul-betul baik, sebelum menyeru orang lain kearah kebaikan?

   Sama juga seperti tidak dapat diterima alasan Khairul Ferrero Sanchez yang mendakwa ingin menjadi seorang ahli Geologi dan pakar bencana alam yang tersohor dahulu sebelum memutuskan untuk member amaran kepada sahabat-sahabatnya.  Kerana tidak mungkin sempat untuk dia menyiapkan dirinya sedemikian rupa, sebelum tsunami datang melanda.

Khairul Ferrero, tidak mengapalah, hanya sekadar dibedal dengan kayu besbal dan penyapu lidi.

Kita nanti?

Jadi, apa tunggu lagi???

Ayuh!

“ASLEH NAFSAKA WAD’U GHAIRAKA”

(Perbaikilah diri kamu dan (pada masa yang sama) serulah orang lain)




*
dan saya sendiri pon, jika nak tunggu betul-betul baik, sudah pastilah kalian tidak akan dapat membaca artikel ini kerana saya ketika itu pastilah sedang bertapa di gua Niah untuk memperbaiki diri saya.
*agama Islam ini bukan seperti Final Destination, nak lepaskan diri masing-masing je, bukan juga seperti Filem Tamil, selamatkan orang lain tapi diri sendiri susah. Sebaliknya agam Islam ini seperti Wonderpets, wonderpets dan anak pelanduk dalam kesusahan, sama-sama terselamat akhirnya…

4 comments:

  1. wonderpets...bergerak seiringan=)
    syukran atas perkongsian..

    ReplyDelete
  2. seronok baca sini, walaupun panjang, yang mana artikel panjang selalunya melemahkan minda saya. hih

    tapi, ini, berjaya membuat saya baca sampai habis. mmg benar sungguh pendapat dlm ni.

    tapi ada org yang memang sukar dikejut. dah kejut berkali2 pun memang tak bangun. gegar badan dia pun dia buat-buat tidur. kalau dia terjaga pun, dia duduk pastu tidur dalam keadaan duduk. acane tuh?

    *ni memang tidur betul, maksudnya tkde kena mengena dgn analogi kat atas ni. haha

    walauapapun, thanks :)

    ReplyDelete
  3. terima kasih kembali, kerana sudi baca (walaupun panjang) :-)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...