Social Icons

Pages

Thursday 21 June 2012

Abi

abi


(*Amaran! Post panjang! Pastikan anda tidak mempunyai apa-apa kelas, tutorial mahupun kerja, 15 minit dari sekarang)


Abi. Atau orang bukan Arab seperti kami memanggilnya bapa, ayah, papa, father, dan lain-lain. Namun saya lebih senang memanggilnya abah.

(*Pendahuluan dipetik daripada koleksi karangan contoh PMR  Hulu Yam Selatan)


   Dalam arus pasca-modenisasi ini, di tengah-tengah esak sesak nafas manusia dihimpit kemodenan, liberalisasi dan hedonism yang tak kunjung reda, rupa-rupanya masih ada sekelumit nilai yang masih sudi terpalit di hati sanubari manusia. Ya, masih sudi. Sekurang-kurangnya masih ada insan-insan yang masih mengingati jasa baik kedua ibu-bapanya. 


   Lihat sahaja kad-kad dan hadiah Hari Ibu yang laris di pasaran tempoh hari. Tonton sahaja deretan rancangan-rancangan televisyen yang memaparkan pengorbanan seorang ibu. Ya, memang seperti yang anda bisik-bisikkan itu, ia masih jauh daripada mencukupi untuk menghargai jasa seorang yang bernama ibu dan bapa. Namun, seperti yang saya nukilkan sebentar tadi, masih sudi.


   Namun, dalam mengenang jasa kedua orang tua, barangkali pengorbanan seorang ayah jarang kali disebut dan dikenang-kenang. Mungkin kerana sosoknya sebagai seorang lelaki yang ‘keras’ dan tabah, terkadang terlihat seperti tidak punyai perasaan, menyebabkan umum secara tidak sedar meminggirkannya.



Wallaweyh! Intro! Karangan espi-em dulu tak tulis macam ni, hahaha.


  Alhamdulillah, saya pernah mempunyai seorang abah. Dan masih mempunyai seorang abah. (tak tau la kot-kot nanti ada dua orang pulak ye, hahahaharimau.)


  Walaupun mungkin tidak sehebat abi-abi kalian, namun dalam kotak kehidupan kecil saya, abahlah merupakan seorang figure hebat yang banyak mengesankan hidup saya. Bagi saya, abahlah lelaki melayu terakhir yang paling osem dan gagah bergaya dalam hidup saya. No.2 saya la… hahaha


   Abah mungkin bukan seorang yang berpelajaran tinggi, pengajian formalnya mungkin hanya sekadar di tingkatan 5, memilih kerjaya sebagai seorang penoreh getah kerana tidak mahu berjauhan dengan ibunya, namun dalam hidup saya, abahlah arkitek, jurutera, mekanik, warden, ustaz, imam dan sebagainya. Eh, abah awak ada banyak ke? Soal anda terpinga-pinga. Macam mana boleh jadi semua tu? Kata tadi belajar sampai form 5 je??? Tangan anda mula diangkat ke atas. Garu.garu.garu.


  (nah ubat kutu, haha)


   Seawal usia perkahwinannya dengan emak, abah dan emak tinggal di rumah tok. Namun, mungkin (ya mungkin, sebab saya mana ada lagi time tu woo!) disebabkan 
tidak ingin menyusahkan tok dan aki, emak menggesa abah untuk mempunyai sebuah rumah sendiri. Tidak perlu sebuah rumah agam, banglo dengan kolam renang, mahupun apartment mewah, cukuplah sebuah kediaman yang layak dipanggil rumah.


  Jadi, nak tak nak, abah telah membuat keputusan untuk membina sendiri sebuah rumah yang beberapa tahun selepas itu akan menjadi kediaman seorang anak comel, bermata bulat dan berpipi tembam seakan-akan minta dicubit. Haha saya tak cakap saya. Anda yang cakap.


  Jadi bermulalah proses pelakaran, pelan, dan pembinaan rumah kami. Semuanya dilakukan sendiri oleh abah, dengan dibantu sikit-sikit oleh emak dan abang (yang ketika itu baru berusia sekitar 2-3 tahun-bantu la sangat kan-) Saya kurang ingat ianya memakan masa berapa lama, mungkin setahun, mungkin juga lebih, namun akhirnya siaplah juga sebuah kediaman, yang layak kami panggil rumah.


   Begitulah prestasi demi prestasi yang diraih oleh abah, yang saya sendiri tidak mampu mengikutinya. Bayangkanlah, abah membuat sendiri sistem pendawaian elektrik rumah kami, sistem perpaipan dan saluran air, dan berbagai-bagai lagi. Mungkin bagi anda biasa, namun bagi saya, untuk seorang yang tidak pernah pun melihat pagar politeknik, apatah lagi universiti, ianya sesuatu yang boleh dikenang dan diingat-ingat.


   Masih terbayang-bayang dalam ingatan saya, bagaimana abah mengukirkan sebilah keris daripada pelepah kelapa, khusus buat abang bagi pementasan lakonan darjah enamnya. Hasilnya, keris abanglah yang paling cantik di kalangan rakan-rakannya, dan menjadi mainan harian kami selepas itu, hinggalah ianya dijahanamkan kami adik beradik. Hahaha.


   Di rumah, abah juga tidak kekok untuk membaiki sendiri perkakas-perkakas rumah kami yang rosak. Daripada mesin basuh, peti ais, lampu hinggalah ke televisyen, semuanya pernah di’bedah’ oleh abah. Malah, beberapa perabot di bilik saya , seperti rak buku dan meja laptop ini, semuanya hasil pertukangan abah.


   Bukan sekadar itu sahaja, kami adik beradik, dahulu (sebenarnya sampai sekarang pon) apabila terdapat barang permainan kami yang rosak, tidak kiralah kereta kawalan jauh, basikal, mahupun jentolak plastic, pasti abahlah akan menjadi ‘workshop’ kami semua. Abah akan membaikinya pulih seperti sediakala sehinggalah ianya tidak mampu dibaiki lagi bahana kebuasan kami adik-beradik.


   Begitulah abah, sedia menjadi segala-galanya buat kami. Menjadi warden kepada saya saban Subuh yang tidur mengalahkan beruang polar sedang berhibernasi di Artik. Menjadi ostat kepada saya semasa kecil, mengajar mengaji. Mungkin abah tidak mampu mengajarkan segala ilmu tajwid, tarannum dan qiraat, namun cukuplah buat kami mengenal huruf-huruf Arab dan mampu membaca Al-Quran dengan lancar.

 
  Juga menjadi guru kepada kami. Masih jelas di ingatan abah yang akan membantu adik menyiapkan kerja sekolahnya, sedangkan adik, dengan selamba tertidur di atas muka surat buku teks yang sebelah lagi.


   Walaupun terpaksa berkerja keras di kebun getah, namun abah tetap tidak keberatan untuk membantu emak menyapu sampah setiap pagi, menjemur dan melipat kain, mengemas rumah dan sebagainya. Yang saya sendiri tak mampu melakukannya secara istiqamah. Adoi!!! (tutup muka)


  Begitulah abah, dalam diam menjadi qudwah yang sangat mengagumkan bagi kami. Qudwah yang belum tentu mampu kami mencontohinya. Saya sayang abah!!!






Err…. Ye la, saya tahu la encik sayangkan abah encik tu, saya pun sayangkan abi saya. Tak perlulah sampai nak  kecoh-kecoh kot. Apekede… erk!
Dush! Dush! Dush!
 “Adoi! Adoi!”
Ok ok. Cepat cakap apa maksud tersiratnya… Adehh, saya gurau-gurau je tadi akhi…

(menyapu-nyapu tangan)


  Baiklah, sememangnya tujuan penulisan artikel ini bukanlah untuk mengiklankan kehebatan abah-abah dan abi-abi masing masing, jauh sekali untuk membandingkan abi siapa yang lebih hebat. 

   Ye la, kalau abi anda lebih hebat dan bergaya pon daripada abah saya, apa yang boleh kita buat? Bertukar ayah? Mustahil.

Lainlah kalau anda sudi abi anda menjadi ayah mer…. Erk!


“Aduh! Adeii! Arghh! Tolong! Ok ok gurau je tadi… susah betul la bercakap ngan orang emo macam anda ni…”

 
Bukan Bakat Luar Biasa

  Bagi saya, abah saya merupakan seorang model yang hampir lengkap muwasafat tarbiahnya dari aspek “Mampu Berdikari.”



Ya, dan abi-abi anda juga punya kelebihan masing-masing.

   Namun, apa yang pastinya, abah-abah kita, dan abi-abi anda, tidak memperolehnya secara tiba-tiba dan luar biasa.

  Mana mungkin abah saya, sejurus selepas berkahwin, sacara magisnya terus dikurniakan kebolehan dan bakat dalam pertukangan, perpaipan, pendawaian elektrik, membaiki alat-alat elektronik dan sebagainya.

  Begitu juga boleh dikatakan mustahil dengan tidak semena-mena abah saya terus menjadi seorang yang rajin dan pengemas. Secara tiba-tiba. Seperti manusia biasa yang secara tiba-tiba bertukar menjadi ultraman, hanya dengan menjerit “Bertukar!”

  Dan sebegitu mustahil jugalah abi-abi anda itu menjadi seorang yang berkempimpinan, pandai dan bekerja-keras dengan mendadak sejurus selepas berkahwin.

   Mustahil. Memang mustahil. Seperti mana mustahilnya seorang superman yang hanya sekadar menanggalkan kacamatanya dan memakai seluar dalam di luar, lantas terus gagal dicam oleh masyarakat. Mustahil.


Kemahiran ini dibina.


  Ya, saya pasti. Kemahiran-kemahiran yang ada pada abah, dan para-para abi hari ini tidaklah diperoleh melainkan setelah melalui satu proses yang panjang. Kemahiran tersebut diperoleh setelah sekian lamanya dibina dan dilatih. Melalui proses mujahadah yang menggetirkan.

   Seperti abah. Mustahil abah akan mampu membina rumahnya sendiri jika sebelum ini beliau tidak pernah sama sekali menyentuh bata, simen dan pasir.

   Mustahil akan mampu membaiki alat-alat elektronik, melainkan setelah mencuba berkali-kali.

   Juga tidak mungkin tiba-tiba menjadi seorang yang rajin dan pengemas, jika sebelum ini biliknya seperti baru dibom oleh Israel? (tutup muka sekali lagi)


Ya, sekali lagi, mustahil.



Jadi, bagaimana dengan kita?

   Alah, kita tak perlu risau. Teruskan dengan kegiatan berfoya-foya kita. Keluar bergaul dengan teman-teman tanpa mengira jantina, bergayut berjam-jam dengan kekasih hati, menonton filem-filem dan drama di komputer riba hingga lewat malam, menunaikan solat Subuh di waktu Dhuha, berdating dengan buah hati pengerang jantung di KFC yang berdekatan, dan …. (anda penuhkan sendiri list ini)


   Dan kemudian, setelah kita berkahwin nanti, dengan tiba-tiba dan automatisnya, kita akan bertukar menjadi seorang suami mithali dan bapa yang soleh dan lelaki di bawah lindungan Kaabah. 

   Setiap pagi kitalah penghuni setia saff pertama di masjid-masjid berdekatan. Dan di waktu lain kitalah yang akan menjadi imam solat kepada keluarga, dengan  bacaan merdu yang menggugah hati. 

   Kitalah jua yang akan mampu membimbing anak-anak menjadi anak-anak yang soleh, menghafaz 30 juzuk al-Quran. Dan kitalah jua yang akan bangkit menjadi pemimpin-pemimpin masyarakat, yang akan menegakkan kembali agama ini di persada dunia.

  Semua itu akan berlaku secara tiba-tiba, sejurus selepas selesainya akad “Aku terima nikahnya…..” jangan bimbang. Teruslah enjoy.

Aduh, korang tak rasa hari ni macam panas lain dari yang lain ke? Berpeluh-peluh dan ni. Ahaha.


Kesimpulan.

   Binalah kekuatan itu dari sekarang. Sesungguhnya perjalanan kita untuk menjadi ayah/ibu mithali, telah lama bermula. Benarlah, pembentukan keluarga Muslim itu sememangnya harus bermula daripada pembentukan seorang Individu Muslim yang mantop!

   Adakah kita mahu pembinaan rumah tangga kita bermula dengan sesuatu yang tidak ada barakahnya, bahkan mungkin juga Haram? Seumpama membina asas sebuah rumah menggunakan kayu-kayu reput, atau bahkan mungkin sekadar menggunakan kotak-kotak kertas?

   Ini bukan berkenaan dengan gatai nak menikah. Bukan. Ini berkenaan dengan nasib generasi-generasi kita akan datang.

   Sesungguhnya perjalanan untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia, mawaddah dan rahmah itu bukanlah dengan sekadar mencari calon pasangan yang soleh/solehah.



   Ia bukannya persoalan untuk memperisterikan/mempersuamikan calon ketua bidadari sorga/ketua mujahidin Islam, ianya berkenaan membentuk diri, menjadi individu yang soleh/solehah, agar sepadan dengan calon isteri/suami kita nanti.

   Ayuh, kita sama-sama berpimpin tangan, eh, geli la plak, err.. kita sama-sama berganding bahu, membentuk diri menjadi seorang yang lebih baik, demi untuk masa depan dunia yang akan bersinar-sinar cerah, insyaAllah.

 
“Jangan sekadar meninggalkan negara yang lebih baik untuk anak-anak kita, tetapi tinggalkanlah anak-anak yang lebih baik untuk negara dan agama.”

4 comments:

  1. phew
    panjang
    tapi terbaca t.t
    ahh
    menarik habis !

    ReplyDelete
  2. haha bukankah sudah ada amaran di situ... hehe

    ReplyDelete
  3. errkkk.. terharu ada tercabar pon ade
    "waqi` memberi perubahan pd kita dri upin ipin menjadi supermen"
    syukran boss
    *p/s:nak tempah keris pelepah kelapa ^^

    ReplyDelete
  4. Khair: haha keris tu limited wo... ana pon x pandai nak buat... nak suruh abah buat, malu la pulak, dah besar. hehehe

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...