Social Icons

Pages

Friday 1 June 2012

Melayu Mudah Lupa? Melayu Lagi Mudah Tersilap.




   Ya,bagi saya, Melayu takde la mudah terlupa sangat. Buktinya, ratusan malah ribuan anak-anak Melayu yang keluar dari maahad-maahad tahfiz Al-quran di seluruh pelusuk tanah air. Kalau dah namanya hafiz dan hafizah ini, komfem-komfemla mereka ini mempunyai ingatan yang lebih kuat daripada hard disk 1 terabyte. Kalau mudah lupa memang tak dapat la… haha

   Anda tak setuju lagi? Ha ini bukti kedua. Buktinya, Melayu memang susah nak lupa.

Terutamanya bab-bab mengungkit kebaikan diri sendiri terhadap orang, dan kejahatan orang terhadap diri sendiri.

   Berapa ramai dalam masyarakat hari ini yang menyimpan dendam puluhan tahun, padahal ianya hanya disebabkan perkara yang kecil yang telah berlaku sekian lama,

   Contohnya Pak Man Teja dan Wak Seman tak bertegur bertahun-tahun hanya akibat pernah berebutkan sepohon manggis yang terletak di sempadan rumah mereka. Padahal pokok manggis tersebut telah lama tumbang dilanda rebut.

   Mek Minah pula sudah 22 tahun bermasam muka dengan Su Lijah, akibat berebutkan Mail Pomen, jejaka terhangat di kampong mereka suatu ketika dahulu. Padahal, Mail Pomen telah lama meninggal dunia akibat dihempap pokok manggis di sempadan rumah Pak Man Teja.

Haha intro tak boleh bla…

Jadi, kenapa kata Melayu mudah tersilap pulak? Akhi Nawawi ni nak cari pasal dengan bangsa Melayu ke? Nanti saya panggil pengerusi ngo gagah perkasa nanti mahu?”

wah, emonya anda. Tak makan nasi lagi ke?

Saya akan datangkan buktinya. Bukti yang sahih.

Baik. Peristiwa ini berlaku ke atas diri saya sendiri. Err...gulp… pagi tadi.

   Dengan badan yang masih keletihan dan lesu, akibat baru pulang dari pengembaraan ke bumi Melaka bersama teman-teman malam semalam, sehingga saya tertidur mati di tengah-tengah ruang tamu, saya memaksakan  merelakan diri untuk meneruskan khidmat bakti saya di kebun getah milik ayah. Ya, inilah pekerjaan sementara waktu saya bagi menghabiskan cuti yang amat panjang ini.

   Namun, saya perlu pulang awal hari ini, kerana saya mempunyai temu janji di klinik gigi di Bandar berhampiran. Temujanji untuk apa? Haha yang itu biarlah kekal menjadi rahsia di antara saya dan hakak doktor gigi itu. Wakakakaka.

   Kad temujanji yang jelas tercatat jam 11.45 a.m hari Khamis itu telah saya tinggalkan dalam kereta ayah selepas kali terakhir ke klinik itu minggu lepas supaya tidak tertinggal nanti (kerana saya ini memang Melayu hensem mudah lupa orangnya).

   Nak dijadikan cerita, sedang saya leka berangan menoreh getah, jam telah pun menunjukkan pukul 10.30 pagi. Saya berkira-kira untuk pulang bagi bersiap-siap, namun ayah menyuruh supaya menghabiskan dahulu baki beberapa (banyak la jugak) batang pokok lagi yang masih belum ditoreh. Akhirnya, dengan kelajuan sepantas supersonik, saya berjaya menyiapkannya ketika jam menunjukkan pukul 11 pagi. Hanya ada masa 45 minit lagi untuk bersiap.

   Lantas kami pun bergegas pulang untuk segera bersiap-siap. Tidak pernah saya melihat ayah memandu selaju itu di jalan kampung ini. Mujurlah tidak ada ayam-ayam kampung yang melintas, jika tidak pastilah melayang nyawanya tanpa sempat disembelih.

   Setibanya di rumah, kami segera bersiap-siap untuk bertolak ke klinik. Setelah memastikan penampilan diri kacak dan bergaya, kami pun bertolak ke klinik yang terletak di bandar kira-kira 25 minit perjalanan dari rumah. Ya, ayah saya berbesar hati untuk menghantarkan saya ke situ, “terima kasih abah!”.

   Alhamdulillah, akhirnya saya sempat juga tiba di klinik pada waktu yang dijanjikan. Bergegas mengambil kad temujanji dan menyediakan wang bayaran secukupnya, saya melihat kepada kad tersebut.

“Abah, hari ni berapa haribulan?”
“31”
“Kenapa dia tulis kat sini ari Khamis, 28 haribulan?”
“Entah, dia silap tulis la tu…”

   Lalu saya pun bergegas keluar dari kereta lalu menuju ke pintu masuk klinik. Dalam hati saya menyumpah serba sedikit (astaghfirullah) kecuaian pekerja klinik itu yang tersilap menulis haribulan. Namun tidak sedikit pun saya menyimpan dendam mahupun amarah. Saya maafkan kesilapannya dengan penuh ikhlas dan rendah diri. Haha.

   Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam klinik itu, dengan langkah penuh bergaya saya ke kaunter pendaftaran lantas menghulurkan kad temujanji saya itu.

“ Ni saya ada temujanji ni harini” begitulah lebih kurang tutur saya dengan yakin kepada dua orang bro berseragam putih di sebalik kaunter itu.

Namun saya lihat sedikit kerutan di dahi salah seorang daripadanya sebaik melihat kad temujanji saya.

“Err.. Ni dia tulis 28 haribulan ni dik. Bukan hari ni.”

Sedikit kepul-kepul asap muncul di dalam hati saya. Sudah la salah tulis haribulan, saya pula yang dipersalahkan.

“Yela, dah tu tulis hari Khamis tu???”

“ Khamis ni dia punya hari ,adik. Tarikh dia 28 haribulan.”

“Macammana pulak boleh jadi macam tu? 28 haribulan kan dah lepas, kenapa tulis hari khamis?” saya sudah mula pening.

“Ye la adik (yang bergaya), hari khamis tu harinya, ni tarikhnya, 28/6/2012…” tutur abang itu sopan sambil membulatkan tarikh yang tercatat di atas kad saya itu.

Agak lambat untuk otak saya memproses segala data-data mentah itu. Khamis? 28 haribulan..? how come?

Mungkin akibat sudah terlalu lama bersara dari menghadiri kuliah dan menjawab soalan-soalan pecah otak daripada pensyarah.

Sehinggalah akhirnya, otak saya berjaya berfungsi dengan baik, lantas mendatangkan satu kenyataan yang perit. Amat perit.

28/6???? Bulan 6??????

“err… jadi temujanji ni khamis 28/6 nanti la ye? Hujung bulan depan nanti???” tutur saya.

“ye adik, kan adik dah datang baru-baru ni, jadi hujung bulan depan pulak la adik kena datang semula.”

   Abang itu masih kekal bersopan-santun dan berintegriti, walaupun siapa tahu, mungkin di dalam hatinya dia sudah mahu mencucuk mata saya dengan pen kilometrico di tangannya itu. aiseh man, dia masih ingat lagi saya!!!

   Selepas termalu sedemikian rupa, tanpa menjejaskan sedikit pun kekacakan dan harga diri saya, saya pun memohon maaf di atas kesilapan saya secara terhormat, dan.. err… err… beredar. Mujurlah tiada sesiapa yang lain yang berada di ruangan itu. Mujurlah juga hakak-hakak doktor tidak keluar dari biliknya itu. Ahahaha.

   Masuk semula ke dalam kereta, kami pun bertolak pulang ke rumah diiringi dengan sedikit omelan dan bebelan penuh kasih sayang daripada si ayah diatas kecuaian saya itu.



Happy Ending. hahaha

   Jadi itulah salah satu kisah daripada berjuta-juta lagi kisah yang membuktikan kita lebih banyak tersilap daripada terlupa.

    Sebenarnya penyakit ini bukan hanya dihadapi oleh bangsa Melayu ini sahaja, bahkan semua manusia sejagat juga menghadapinya.

   Berapa ramai antara kita hari ini yang mampu mengingat segala macam formula-formula sains dan matematik, tetapi tersilap dengan menyangka itulah tujuan hidup kita di atas muka bumi ini. Untuk menghafal dengan bersungguh-sungguh fakta-fakta dan formula-formula tersebut, menjawab peperiksaan, mengajarkannya pula kepada orang lain, kemudian mati. dan kitaran itu terus berputar dangan mangsa-mangsa yang baru pula.

   Begitulah sahaja hidupnya sehari-hari berlalu, sambil diselangi dengan hiburan yang tidak mendatangkan manfaat. Kosong. Kosong. Segala kata cacian yang telah engkau berikan, membuatku rasa kosong. Kosong. Eh? Ahaha.

   Alhamdulillah, sekarang saya cuba untuk mengamalkan salah satu nasihat berguna yang saya dapati daripada novel “ketika cinta bertasbih 1”, iaitu nasihat pak kiai, ayah kepada Anna Althafunnisa, supaya sentiasa mengaitkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan sehari-harian  dengan Islam dan akhirat.

   Di dalam novel tersebut, Anna yang proposal tesisnya  diterima oleh pensyarah berasa sangat-sangat-sangat girang gembira, lantas teringatkan pesan ayahandanya tersebut, lantas cepat-cepat mengaitkannya dengan akhirat. Jika lulus proposal tesis saja sudah gembira begitu, bagaimana pula perasaan gembira jika dapat mengetahui kita berjaya lulus dalam timbangan amal di akhirat kelak, pastilah kegembiraannya tidak dapat terbandingkan dengan kegembiraan hanya setakat lulus proposal tesis.
Wah sungguh stylo bukan?

   Begitulah juga segenap kehidupan kita sehari-hari, jika kita mampu merenung pengajaran di sebaliknya, pastilah semua itu tidak akan berlalu dengan sia-sia sahaja.

   Contohnya, jika kita dimarahi oleh emak atau ayah kita, atau mungkin bos kita. Pastilah kita akan merasa gerun dan takut. Lantas kita cepat-cepat kaitkan dengan akhirat, jika dimarahi ibu bapa sahaja sudah takut begitu rupa, bagaimana mampu kita menghadapi murka Allah S.W.T di hari pengadilan kelak, akibat penderhakaan kita kepada-Nya.

   Jadinya, dalam peristiwa ini, seperti juga di dalam post saya sebelum ini, iaitu Kita Selalu Sangka, saya cuba mengaitkannya dengan unsur-unsur Islam, dakwah dan tarbiah.

   Manusia, sepanjang perjalanan hidupnya, pasti akan berkali-kali malah mungkin beribu-ribu kali melakukan kesilapan. Bahkan mungkin kesilapan itu hanya satu kesilapan yang dilihat bodoh oleh orang lain, seperti yang dilakukan oleh err… saudara kita tersebut di atas.

   Itulah merupakan salah satu tanda betapa kita ini, manusia merupakan insan yang cukup lemah lagi hina. Tidak akan lepas dari terlupa mahupun tersilap dalam kehidupan. Sehingga sesuatu yang kelihatan tidak logik untuk kita tersilap, kita masih boleh tersilap.

    Selepas kesilapan-kesilapan yang kita lakukan, setelah kita bermuhasabah untuk tidak mengulanginya kembali, marilah kita sama-sama merasakan betapa lemah dan tidak berdayanya kita di hadapan Allah. Allah yang Maha Suci dari sifat-sifat kekurangan seperti terlupa dan tersilap ini. Mustahil untuk Allah tersilap, jika Allah juga mempunyai kekurangan seperti kita ini, nescaya rosak binasalah alam ini.

   Manakan tidak, bayangkan jika Allah terlupa untuk memberi sepinggan nasi buat makanan hari  kita selama seminggu, pasti kebuluran kita. Apatah lagi jika Allah tersilap dalam meletakkan jarak planet bumi ini dari matahari, diletakkannya sama ada terlalu hampir atau terlalu jauh dari matahari, pasti rosak binasa penghuni planet ini. Jelaslah bahawa Allah S.W.T suci dari segala sifat kekurangan ini.

   Pun begitu, masih ramai yang merasakan diri mereka ini Encik Sempurna (baca: Mr Perfect) yang tidak pernah melakukan kesilapan. Bahkan, mereka sehingga sanggup mempersoalkan pula hukum-hakam yang telah ditetapkan Allah.

“Hukum Islam tidak lagi relevan bagi masyarakat moden hari ini, ianya hanya akan memundurkan kita!” kata encik Y
“Ish, takkan la tak boleh nak berkapel-kapel, setakat keluar dating, pegang-pegang tangan, bergayut tengah-tengah malam, takkan tak boleh. Kami bukan buat apa-apa pun. Isy, tipulah tak boleh! Takkan Islam zalim macam tu?” kata cik Z
“Kami menuntut hak kami untuk bebas mengamalkan LGBT, ianya adalah hak kebebasan manusia. Siapa yang mengatakan ianya haram adalah kolot” Kata group aktivis J.

   Parking kereta sahaja kadang-kadang tersilap, masak nasi pun kadang-kadang lupa tekan suis, menaip status fb pun selalu tersalah eja, kita masih ada hati untuk mempersoalkan ketentuan Allah, mengatakan ini betul, ini salah, berlandaskan akal dan logik kita semata-mata? Patutkah kita bertindak sedemikian rupa?

   Seperti ‘orang’ itu, tarikh temujanji doktor gigi pun boleh tertukar, sudah mampu menghakimi segala Sunnatullah yang telah ditetapkan?

*ps: masih memikir-mikirkan adakah masih sanggup ke klinik gigi itu 28 haribulan ENAM nanti? haha
arghh!! tidak!!!!

5 comments:

  1. wah... malu gak ot kalau jadi cmtu. hehe..
    dan, manusia mmg tk lari dari kesilapan. :)

    *saudara tahukah mengenai akta keterangan?

    http://amanz.my/2012/05/akta-keterangan-pindaan-2012-berkuat-kuasa-mulai-esok-1-jun-2012/

    ReplyDelete
  2. hehe tau takpe...

    * ya saya tahu. harap-harap tiada pembaca di sini yang cuba untuk mensabotaj saya... huhu

    ReplyDelete
  3. rilex arr...buat muka tembok jer 28 Jun nanti...
    lagi pun enta an memang lomah bab2 nombor nih...bese ar..haha

    ReplyDelete
  4. best2, bila la nak buat buku ni Akhi Tersilap ni.

    ReplyDelete
  5. fit: haha ini bukan berkenaan nombor la... ini tarikh.. huhu
    abu: akhi tersilap? haha kasor bunyi tu.. :-)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...