Social Icons

Pages

Sunday 1 July 2012

10 Minit Sebelum


Masihkah anda ingat?



10 minit sebelum,


   Ya, andalah orangnya itu, yang sedang duduk di dalam program “Bebaskan Palestin!” itu. Yang paling depan, ya andalah, dan yang paling kuat takbir dan teriak “Free Palestine!!!” itu siapa lagi kalau bukan anda.

   Dan, jika dapat di-zoom in kan ke arah wajah anda ketika itu seperti dalam sinetron-sinetron Indonesia, mungkin kita akan mampu melihat bebola api semangat yang sedang menyala-nyala dalam mata anda itu. persis di dalam komik Jepun itu.


   Seakan-akan pada malam itu juga, anda akan memacu kuda, meredah gelap malam yang bukat,  merempuh pintu kota Jerusalem, membebaskan Al-Aqsa.


Sekarang,

   Ya, anda yang sama jugalah, dikesan sedang melepak-lepak bersama teman-teman, menghilangkan lapar dan dahaga selepas penat berteriak takbir mengecam Israel, dengan segelas coke dan sebungkus chicken foldover,

   Bersantai-santai di dalam restoran Mekdi (baca: Mac Donald), menikmati wifi percuma, sambil memenuhkan kantung poket zionis, agar mampu membeli sebiji lagi peluru besi, buat membedil Palestin esok pagi.

----------------------------------------------------------------------------------------------

10 minit sebelum,

   Andalah itu, yang sedang mendengar pengisian yang sungguh membasahkan jiwa, bergenang-genang kelopak mata mengenangkan nasib umat selepas keruntuhan khilafah, menyedari reality umat ini yang sudah mula mendekati Ilah yang lain selain Allah, mendengar betapa tiada jalan lain yang dapat dilalui melainkan jalan dakwah dan tarbiah ini,

   Jika tidaklah kerana ditahan dan dipegang tangan oleh sahabat sebelah anda itu, mahu sahaja rasanya anda berlari ke tengah-tengah kota raya, menjerit sekuat-kuat hatinya betapa memang tidak mungkin ada Tuhan melainkan Allah, dan benarlah Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya.

   Jika tidaklah, tentu sahaja anda sekarang sudah berada di dalam perut pesawat, sedang berlepas menuju ke Papua New Guinea, semata untuk menyampaikan seruan dakwah di sana.


Sekarang,

   Masih anda yang samalah, namun bukanlah anda yang sepatutnya sedang menyampaikan seruan dakwah di tengah-tengah masyarakat peribumi itu, sebaliknya ini adalah anda yang, err, sedang berada di bumi Korea. Bukan, sebenarnya,.. sedang bergenang air mata di depan komputer riba, menghayati drama-drama Korea.

   Dakwah? Tarbiah? Err bagi orang lain dulu la kot. Saya tak mampu lagi la bang, saya bukannya baik sangat pun…

---------------------------------------------------------------------------------------------

10 minit sebelum,

   10 minit sebelum sekarang, andalah yang sedang merah-merah mata itu, yang mengesat hingus dengan tisu itu, sejurus selepas menonton beberapa video di You Tube, berkenaan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan ayah, dan betapa sayangnya mereka kepada anda.

   Jika tidaklah dek kerana mereka tiada di rumah, menguras keringat bagi memenuhkan perut dan kehendak anda, nescaya sudah anda berlari pantas ke arahnya, langsung memeluk kedua-dua mereka, meminta ampun maaf dari segala dosa, berjanji akan menjadi anak yang berbakti dan berguna.

   Nescaya juga anda sudah kucup kedua-dua tangan mereka dalam jurai air-mata, sambil berjanji tidak akan pernah, ya tidak akan pernah lagi menyakiti mereka.


Sekarang,

   Siapa lagi kalau bukan anda, yang sedang merungut-rungut kasar, hanya kerana sajian tengah hari itu bukan lauk kegemaran anda, dan dalam tak sedar, ibu curi-curi mengesat air mata, barangkali terluka.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

10 minit sebelum,

   Andalah itu, yang sedang berkerut-kerut muka, melafazkan ikrar, janji setia yang paling kool, osem dan bergaya dalam dunia,

   Betapa solat anda, ibadah anda, hidup anda, dan mati anda, hanyalah semata-mata untuk Allah, tuhan sarwa sekalian alam.

“Inna solati, wa nusuki, wa mahyaya, wamamati, lillahi rabbil’alamiin…”

Sekarang,

   Siapa lagi kalau bukan anda, yang sedang tersengih-sengih dengan telefon bimbit di telinga,

   Dengan suara separuh berbisik, melafazkan ikrar janji setia, betapa dalam dan tingginya cinta anda kepadanya,

   Hingga laut api pun sanggup anda redahi, gunung everest pun anda sanggup upah bulldozer ratakan, awan entah macammana anda sanggup gumpal-gumpal untuk dibuat gula-gula kapas,

Semuanya demi dia, kekasih gelap haram anda.

-----------------------------------------------------------------------------------------------


Itu 10 minit sebelum,

Sekarang?

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Sekarang,

Andalah itu, yang sedang merenung artikel ini, sedikit sebanyak mula menyedari,


    Betapa derita saudara seagama di seluruh pelusuk dunia, Syria, Palestin, Myanmar, Checnya, Filipina, Pattani, Kashmir, Iraq, dan seluruh pelusuk-pelusuk yang lain,


   Betapa besarnya tanggungjawab Syahadatul Haq di atas bahu anda, betapa anda sebenarnya tidak punya jalan lain melainkan jalan dakwah yang panjang dan penuh selekoh-selekoh maut itu,


   Betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu bapa anda,


   Betapa anda telah melafazkan ikrar janji setia kepada Allah S.W.T, hampir dalam setiap kali solat anda,


   Dan betapa anda perlu kembali ‘memeluk’ Islam, memeluk Islam dalam erti kata yang sebenar-benarnya.


Ya, sekarang anda telah menyedarinya,


Dan untuk kali ini, anda sendirilah yang mampu memilih,

Apa yang anda akan lakukan,

10 minit selepas ini,

Dan minit-minit selepasnya…

--------------------------------------------------------------------------------------------------

2 comments:

  1. ijlis bina nu'min sa'ah..sbb hati lebih cepat berbolak dari periuk yang mendidih ye dak?

    ReplyDelete
  2. :-)
    hayya hayya!! hayya ma'ana!

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...