Social Icons

Pages

Thursday 14 March 2013

Mahu Belajar Kungfu Terbang?

[kredit]


Mahukah anda jika saya tawarkan kepada anda untuk belajar ilmu kungfu terbang?

Ya persis di dalam filem kungfu klasik itu. Terbang dari atas atap pagoda ke pagoda yang lain.

Berlawan sepak terajang sambil terbang di puncak air terjun.

Mahu?





Baik, bagi yang masih membaca post ini, saya ingin pastikan sekali lagi;


Adakah anda betul-betul pasti dengan keputusan anda ini?

Tak menyesal?

Seriyes?

Kerana saya hanya ingin berkongsi rahsia ini dengan yang benar-benar berminat sahaja.

Bagi yang masih berasa ragu dan sangsi, anda masih berkesempatan untuk mengundurkan diri. Ya, tutup tetingkap blog ini, dan teruskan kehidupan anda seperti biasa.

Seperti manusia biasa. Yang tidak boleh terbang.

Baiklah, bagi yang masih membaca patah-patah kata ini, saya kira anda betul-betul serius untuk belajar. Tahniah saya ucapkan.

Atau anda sekadar menganggap saya bermain-main? Bergurau?

Bagi yang menganggap sebegitu, peluang kedua saya berikan untuk anda mengundurkan diri secara terhormat. Huhuhu.

Baiklah, saya kira sekarang saya sedang berhadapan dengan pembaca yang benar-benar serius.

Biarlah saya rungkaikan rahsianya satu persatu.

Bagaimana jika saya katakan bahawa segala teknik-teknik untuk mempelajari kungfu terbang itu tercatat di dalam sebuah kitab klasik yang tersimpan beratus-ratus tahun lamanya di puncak Gunung Ledang? Ditinggalkan oleh panglima-panglima Puteri Hang Li Po sewaktu berkunjung ke Melaka lama dahulu.

Eh, nanti, nanti. Korang nak ke mana pulak siap dengan beg kembara Deuter tu? Saya cakap jika je kan?

Bagaimana pula jika saya katakan jika naskhah klasik itu sebenarnya tersimpan di atas siling bilik anda yang bersawang itu? Ditinggalkan oleh saki baki tentera Parti Komunis Malaya yang enggan rahsia kekuatan mereka diketahui pihak kerajaan.

La, ambik tangga pulak dah. Nanti dulu, baca la sampai habis dulu…

Baiklah, sebelum saya mendedahkan rahsianya, izinkan saya untuk bercerita berhikayat terlebih dahulu. Atau lebih saintifik lagi, izinkan saya untuk merepek melalut dahulu. Ok?

 
***

 
Dalam sejarah tamadun dunia, manusia pernah menyaksikan kelahiran dua tamadun gergasi yang telah menguasai planet bumi suatu ketika dahulu. Tamadun tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah tamadun Parsi dan Rom.

Kedua-dua tamadun ini mengambil masa selama beribu-ribu tahun untuk mendaki puncak kegemilangannya sebelum muncul sebagai tamadun terkuat di dunia pada ketika itu. Tamadun Rom sendiri memerlukan selama hampir 1200 tahun untuk naik manakala Tamadun Parsi pula mengambil masa tidak kurang daripada 2000 tahun.

Ketika berada di puncak kegemilangan, sememangnya tiada tamadun lain yang dapat menyainginya. Tamadun Parsi sebagai contohnya, muncul sebagai salah satu tamadun terkuat dalam sejarah. Kemajuan yang berjaya di capai oleh tamadun ini meliputi pelbagai bidang. Sains, kesenian, falsafah, seni bina, anda namakan sahaja. Dari segi ketenteraannya juga amat menakjubkan. Satu unit tenteranya yang dihantar ke satu-satu medan peperangan adalah sebanyak 250,000 ke 350.000 orang. Itu satu unit, bayangkan keseluruhan tentera bagi kerajaan ini!

Begitu juga dengan tamadun Rom. Bersaing hanya dengan tamadun Parsi untuk menguasai dunia, Tamadun Rom sendiri yang diketuai oleh Kaisar mempunyai 3 kota utama iaitu Constantinople, Jerusalem dan Alexandria. Bayangkan betapa luasnya tanah jajahan takluk empayar ini. Kekuatan ketenteraannya juga tidak kurang daripada 300,000 bagi satu-satu peperangan, dengan memilik kelengkapan peperangan antara yang tercanggih di dunia ketika itu.

Kesimpulannya, kedua-dua tamadun ini merupakan tamadun yang amat kuat dan gagah. Maju, luas, kuat, dan bersatu di bawah satu kepimpinan.

Namun, tahukah anda, tamadun Parsi yang dibina selama 2000 tahun itu runtuh hanya dalam masa 3 tahun! Ya, dalam masa 3 tahun sahaja, tamadun ini jatuh buat selamanya.

Apa lagi yang dapat kita lihat kesan tinggalan tamadun ini? Err, mungkin ada satu dua, kucing Parsi yang montel itu contohnya.

Tamadun Rom juga turut menerima nasib yang hampir sama, tumbang dalam masa kira-kira 2 tahun sahaja! Ya, tamadun yang membangun dengan susah payah selama 1200 tahun itu tenggelam hanya dalam masa kurang daripada 800 hari, meninggalkan namanya terpahat pada CD-ROM dan DVD-ROM. Hahaha.

Apa sebabnya mereka jatuh secepat itu?

Begitulah pola graf ketamadunan. Mengambil masa beribu-ribu tahun untuk bangun, berada di puncak, kemudian runtuh dalam masa yang super singkat.

 
***

 
Namun begitu sejarah juga pernah menyaksikan kemunculan sebuah tamadun yang aneh lagi pelik. Ya, aneh dan pelik kerana ianya telah melanggar corak graf ketamadunan yang disebutkan sebentar tadi.

Apakah tamadun itu? Sapa tahu cepat angkat tangan!

Ya, anda betul. Tamadun itu ialah tamadun Islam.

Kenapa? Baik. Sila perhatikan betul-betul.

Islam bermula di Mekah pada tahun pertama kerasulan. Selama 13 tahun fasa Mekah ini menyaksikan baginda Rasulullah membina dan mentarbiyah generasi awal Islam hingga menjadi super saiya peringkat kelapan.

Namun, tamadun Islam hanya bermula ketika tahun pertama hijrah, ketika Madinah ditubuhkan sebagai daulah Islam pertama. Ketika ini, Islam sudah mempunyai sistem pemerintahan, ketenteraan, sosial, undang-undang dan pelbagai lagi.

Baik, bayangkan, betapa cepatnya perkembangan tamadun Islam, menjelang tahun 12 Hijrah, kerajaan Islam di bawah Saidina Abu Bakr telah menghantar dua pasukan kecil tentera untuk mencabar menjatuhkan kerajaan Parsi. Dua pasukan ini, yang diketuai oleh Khalid Al-Walid dan Al-Muthanna Ibnu Harithah telah menyerang empayar Parsi di tengah-tengah ibu kota empayar itu sendiri, Al-Madain, di Iraq!

Khalid al-Walid yang kemudiannya digantikan oleh Saad bin Abi Waqas telah memimpin pasukannya untuk menghadapi bala tentera Parsi yang berkali ganda jumlahnya dan memiliki kelengkapan senjata yang jauh lebih canggih di dalam peperangan Al-Qadisiyyah.

15 Hijrah, 3 tahun kemudiannya, Empayar Parsi telah runtuh sepenuhnya!

Tahun ke 12 Hijrah juga menyaksikan Saidina Abu Bakr menghantar 4 pasukan tentera, yang berjumlah kurang dari 34 ribu orang bagi menyerang jajahan-jajahan empayar Rom. Bayangkan, satu sektor tentera Parsi sahaja sudah terdiri tidak kurang dari 340 ribu orang tentera.

Namun, kejutan berlaku sekali lagi, 14 Hijrah, Rom telah tumpas di tangan Islam dalam peperangan Al-Yarmouk.

Bayangkan! Dalam masa 15 tahun selepas penubuhan kerajaan Islam pertama, Islam telah berjaya menumpaskan 2 tamadun terbesar di dunia ketika itu! Tamadun yang mengambil masa ribuan tahun untuk dibina.

Sewaktu peperangan Yarmouk sedang berlangsung. Abu Bakr telah wafat di Madinah dan jawatan Khalifah digantikan oleh Umar Al-Khattab.

Keajaiban demi keajaiban terus dicipta. Amru bin al-As memimpin 8000 orang tentera, cuba membuka Mesir, yang ketika itu dianggarkan memiliki kekuatan sejuta orang lelaki yang siap untuk menentang mereka. 4 bulan kemudian, tentera Islam telah berjaya membuka Mesir.

Tahun 96 Hijrah, Islam sudah tersebar sejauh Sepanyol dan Portugal. Dan Islam sudah sampai hanya kira-kira 60km dari Paris di bawah pimpinan Tariq ibnu Ziyad.

Dan kejayaan demi kejayaan ini terus dilanjutkan oleh kerajaan-kerajaan seterusnya, Umayyah dan Abbasiyah.

Bagaimana ini semua boleh berlaku?

Walaupun perit untuk dikenangkan, namun ternyata Tamadun Islam merupakan tamadun yang mengambil masa paling lama untuk jatuh. Sejak serangan kaum Monggol ke atas Bani Abbasiyah pada 1258 Masihi, khilafah Islam hanya benar-benar jatuh pada 1924 Masihi, iaitu setelah berlalu ratusan tahun lamanya. 

Dan percayalah, ianya boleh bangkit semula, bila-bila masa sahaja!

 
***


Jadi, apakah yang menyebabkan tamadun Islam ini begitu unik dan berbeza dengan tamadun-tamadun lain yang pernah wujud dalam sejarah peradaban dunia. Apakah tentera-tentera Islam mempunyai lembaran-lembaran klasik yang terkandung di dalamnya rahsia-rahsia teknik kungfu terbang yang membuatkan mereka sebegitu osem?

Bagaimana jika saya kata ya?

Dan bagaimana jika saya kata rahsia itu masih kekal tersimpan hingga sekarang?

Dan bagaimana pula jika saya katakan segala rahsia-rahsia itu berada di dalam rumah kalian?

Ya, bukannya tersembunyi di atas siling berhabuk bilik anda itu. Sebaliknya ia sedang berada di hadapan mata anda. Tersembunyi di sebalik al-Quran berzip berwarna pink yang sering anda baca itu. Ya!!!

Ya, rahsianya telah sekian lama tersimpan di situ. Hanya menanti untuk dibaca, difahami dan dipraktikkan oleh anda sahaja.

Jadi, apa tunggu lagi???


“Di setiap kota terdapat pusat pembangkit tenaga elektrik. Para pegawai memasang instalasinya di seluruh penjuru kota, memasang tiang dan kabel, setelah itu aliran elektrik masuk ke pabrik-pabrik, rumah-rumah, dan tempat-tempat lain. Jika aliran elektrik tersebut kita matikan dari pusat pembangkitnya, nescaya seluruh penjuru kota akan gelap gelita. Padahal saat itu tenaga elektrik ada dan tersimpan di pusat pembangkit elektrik, hanya saja tenaga elektrik yang ada itu tidak dimanfaatkan,”
-Imam Syahid Hassan Al-Banna


 
Sebuah hadith shahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah..

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: تكون النبوة فيكم ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون ملكًا عاضًا فيكون ما شاء الله أن يكون، ثم يرفعها إذا شاء الله أن يرفعها، ثم تكون ملكًا جبرية فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة، ثم سكت.

"Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya.
Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah 'ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya.
Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan 'Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya.
Setelah itu, masa kerajaan yang berasaskan ketenteraan (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya.
Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah 'ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam."

Reference: 
Masnad Ahmed bin Hanbal (Hadith # 18430) , As-Saheeha al-Albani (Hadith # 5). It has been declared Hasan by Sh’uaib Arnaoot, and al-Albani classified it as Sahih. The text quoted is the one from Masnad Ahmed.




*segala fakta-fakta sejarah di atas diperolehi daripada video ceramah oleh Dr. Tariq Suwaidan- The Future of Islam. Untuk lebih mantop, sila tonton sendiri di sini.Wallahua’lam bissawab. Segala kesilapan itu adalah disandarkan kepada kelemahan penulis (saya la) sendiri.

5 comments:

  1. Pergh...hebat kitab "kungfu" kita...

    ReplyDelete
  2. Saya begitu menyukai artikel yang disajikan dalam blog ini,
    Semoga sukses terus memberikan informasi bermanfaat utk semua orang.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...