Social Icons

Pages

Friday 24 February 2012

Negara Telinga Sebelah : Kau Cacat! (Bahagian 1)

Pulau Telinga Sebelah


      Pada suatu masa dahulu, lama sebelum Mark Zuckernberg mula mencipta laman social facebook, apatah lagi sebelum Najwa Latif menyanyikan lagu cinta muka buku, dikisahkan bahawa terdapat sebuah pulau, nun terletak jauh nian di selatan Kepulauan Melayu, kira-kira sepurnama perjalanan menaiki jetski kapal layar dari pelabuhan Acheh.

  
    Di pulau yang tidak diketahui namanya ini, terdapat sebuah Negara yang dipimpin oleh seorang raja yang korupsi, zalim, tak hensem, serta gemar memeras wang rakyat dengan menaikkan harga minyak kelapa, bahan komoditi utama di Negara tersebut.
  

   Raja yang bernama Raja Golan si Polan yang dikatakan berasal dari Kutub Utara ini menetap di sebuah istana mewah milik Negara, bersama isteri kesayangannya, Permaisuri Carpai Capati. Namun malang, seribu kali malang, akibat terlalu banyak makan wang rakyat, mungkin juga disebabkan disumpah oleh rakyat-rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan diktatornya itu, tiada keduanya mereka ini dianugerahi cahaya mata, tiada, walaupun seorang. Series Takde!
  

     Sudah bermacam-macam usaha yang dilakukan oleh Raja Golan si Polan dan isterinya bagi memperoleh zuriat: yang kira-kiranya dapatlah dibuat buah hati pengerang jantung, yang boleh dicubit-cubit pipi tembamnya, dipicit-picit hidung kemeknya, dan digosok-gosok kepala bulatnya….


   Tiada pusat-pusat perubatan moden mahupun tradisional di pulau itu yang tidak dikunjungi mereka, juga tiadalah seorang bomoh dan pengamal perubatan tradisional pun dipulau (oh lupa untuk saya mengkhabarkan, terletaknya pulau ini adalah sangat terpencil, hingga tiadalah hubungannya dengan dunia luar, sehingga tiadalah dapat untuk mereka suami isteri berubat di luar negara seperti di Ireland mahupun Korea Selatan) itu melainkan telah dipanggil menghadap, rela mahupun paksa untuk berikhtiar menyelesaikan masalah baginda dan zaujah permaisurinya…
  

    Namun tiadalah juga berakhir dilema yang melanda mereka berdua suami isteri. Bimbanglah Raja Golan bahawa kerajaannya itu nanti bakal ketiadaan pewaris yang berwibawa dan korupsi sepertinya selepas kemangkatannya…


  Hinggalah pada suatu hari,

bernazarlah Raja si Golan, bahawa jika isterinya itu Berjaya mengurniakannya seorang cahaya mata, maka akan dikabulkan apa jua permintaan si isterinya itu. Adapun pula jika usaha mereka masih menemui kebuntuan, maka tiadalah dapat tidak, melainkan baginda akan mencari di serata pelusuk pulau, seorang gadis cantik untuk dijadikan madu buat isterinya.
Dan akan dibiarkan Permaisuri Carpai Capati sekonyong-konyong seorang diri, tanpa nafkah, zahir dan batin.


     Namun, entah bagaimana, seakan-akan hasratnya itu dapat dibaca oleh isterinya, tidak semena-mena gempar seisi istana, malah hingga ke seluruh Negara tersebut bahawa Permaisuri Carpai Capati sedang hamil 3 bulan!
  

    Tiadalah topik hangat yang dibincangkan oleh rakyat jelata di warung-warung kopi, malah sehingga ke dalam laman twitter dan myspace (kan dah cakap time ni facebook xde lagi) melainkan berkenaan kehamilan  Permaisuri Carpai dan mengenai masa depan arena politik Negara setelah kelahiran putera sulung Raja Golan, bakal pewaris tahta ayahandanya.
  

     Berpusu-pusulah wartawan-wartawan dan pemberita-pemberita dari segenap pelusuk Negara untuk membuat liputan mengenai perkembangan terkini Permaisuri Carpai dan kandungannya. Malah terdapat slot lintas-langsung dari perkarangan istana di dalam Buletin Utama, bagi melaporkan semasa ke semasa, hal ehwal Permaisuri Carpai dan Raja Golan.


       Tiadalah duduk, bangun, makan dan tidur Permaisuri Carpai melainkan akan menjadi tajuk utama yang terpampang di muka akhbar setiap hari.

    Seluruh pelusuk Negara juga dikerahkan untuk membuat persiapan rapi menjelang hari kelahiran bakal pewaris tahta Raja Golan. Banner-banner dan sepanduk-sepanduk bergantungan di sana sini, bagi mengucapkan ucapan selamat menimang cahaya mata kepada Raja Golan.


     Hari berganti hari, pekan berganti pekan, bulan bertukar ganti, akhirnya masa yang ditunggu-tunggu telah kunjung tiba. Penuh perkarangan istana dengan rakyat jelata yang ingin menyaksikan secara langsung peristiwa bersejarah itu. Petugas-petugas media pula, awal-awal pagi lagi, sebelum ayam sempat berkokok, telah siap siaga di hadapan perkarangan istana untuk berlintas langsung bersempena hari bersejarah itu.
  

        Akhirnya saat yang ditunggu-tunggu tiba, habis kesemua doktor-doktor, tabib-tabib, dan bidan-bidan dikerah ke istana sebagai persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dikhabarkan Permaisuri Carpai Capati terpaksa bersalin melalui pembedahan, apatah lagi, bertambah risaulah Raja Golan dan gundah-gulanalah ia hingga tiadalah berselera ia untuk menjamah sarapan pada pagi itu.
  

       Setelah berjam-jam pembedahan yang dilakukan oleh barisan pakar-pakar bedah dan bidan-bidan terlatih, akhirnya dikhabarkan Permaisuri Carpai Capati selamat melahirkan zuriat pertama, bakal perwaris tahkta ayahandanya, Raja Golan. Bertempik soraklah Raja Golan kegembiraan dan tiadalah terlintas dia untuk bersujud syukur kepada Ilahi hingga tiadalah tersedar ia mengumumkan cuti umum kepada seluruh negara selama tiga hari penuh. Tiadalah tersedar ia bahawa dia telah terlompat-lompat kegembiraan hingga sampai ke perkarangan istana dan telah terlihat oleh rakyat jelata akan perihal raja mereka itu.
   

         Namun, malang. Seribu kali malang. Tambah tiga ribu kali lagi malang. Disangka panas hingga ke petang, rupanya sampai ke tengah malam pun panas lagi (ok ini tipu) rupa-rupanya lahirnya cahaya mata pertama Raja Golan ini tiadalah dalam keadaan yang sempurna sifatnya, melainkan ia tidak mempunyai sebelah telinga. Telinganya hanya ada di sebelah manakala sebelah lagi seakan-akan telah dikerat layaknya.
   

           Maka merayulah Sang Permaisuri Carpai Capati supaya berita itu dirahsiakan serahsia-rahsianya. Tiadalah ia mahu menanggung aib kerana melahirkan bayi yang kurang sempurna sifatnya itu. Juga tiadalah dia mahu anaknya itu membesar dalam keadaan menanggung malu akibat kekurangan dirinya…


          Maka mengenangkan nazar yang telah dibuatnya sebelum ini, maka bersetujulah Raja Golan supaya berita itu dirahsiakan dengan begitu ketat sehingga hanya beberapa orang gundik dan pengawal yang terpecaya sahaja yang mengetahuinya.
  

        Namun itu belumlah mencukupi bagi Permaisuri Carpai. Beliau mengetahui lambat laun, aib anaknya itu akan tetap akan diketahui khalayak. Jika tidak terkantoi sewaktu pendaftaran ke sekolah tadika, pastilah akan terkantoi jua semasa sedang berlumba-lari sewaktu hari sukan sekolah kelak. Di waktu itu belumlah wujud lagi teknologi telinga palsu di pulau tersebut. Apatah lagi pulau tersebut sangatlah terpencil hingga tiadalah sesiapa pun di antara penduduk pulau itu yang pernah keluar dari pulau itu untuk ke tanah besar. Sehingga Raja Golan sendiri pun tidak pernah seumur hayatnya keluar dari pulau itu walaupun atas alasan urusan rasmi mahupun untuk menemani isterinya bercuti di luar negara.
  

       Maka pada suatu malam, ketika Raja Golan sudah hampir mahu terlena, bersuaralah Permaisuri Carpai mengeluarkan hasrat hatinya yang telah terpendam sejak petang tadi.
  
    Tiadalah Raja Golan menaruh apa-apa syak terhadap isteri kesayangannya itu sehinggalah ia mula menyuarakan hasrat hatinya itu.

   “Kanda kanda, apa kata kalau kanda arahkan pengawal-pengawal kita supaya memotong sebelah telinga setiap penduduk negara ini? Agar tiadalah menanggung malu putera kita itu kerana semua orang lain serupa dengannya”

 Dengan tenang Permaisuri Carpai mencadangkan seolah-olah dia sedang mencadangkan agar suaminya memotong bajet belanjawan negara.

Apa lagi terkejut besarlah Raja Golan hingga hampir-hampir sahaja baginda berguling jatuh dari katil dan pura-pura pengsan 3hari 2 malam.

          “Apa??? Hang dah gila ka? Akai ada ?”

Hingga terkeluarlah slang Kedah dari mulut Raja Golan walaupun diawal kisah ini baginda dikhabarkan berasal dari Kutub Utara.
 
    “Ala kanda, adakah kanda sanggup melihat satu-satunya putera kesayangan          
    kita itu membesar sebagai seorang yang tidak normal, menjadi malu dengan
   kecacatan dirinya itu?”

Permaisuri Carpai mula mengumpan.

     “Bukankah kanda jua yang pernah berjanji untuk mengabulkan apa jua
      permintaan dinda, sekiranya dinda mampu memberikan zuriat kepada kanda?"


Seakan tahu-tahu sahaja dia dengan nazar Raja Golan itu.

     “Dinda tak minta rumah banglo 3 tinggat, dinda jua tak minta cincin berlian  
      berjuta-juta, dan dinda tak akan minta kereta Ferrari Enzo baru… Apa yang
      dinda pinta hanya ini kanda,,, please….”


Entah bila pula Permaisuri Carpai pernah belajar bahasa Inggeris. Namun sehingga bergenang-genang matanya dengan air jernih, tanda kesungguhan permintaannya itu.


          Apalagi, tidak tidur Raja Golan semalaman itu memikir-mikir, dan menimbang masak-masak permintaan yang bukan calang-calang itu. Masa depan negara kini di tangannya. Apakah Raja Golan akan mencipta sejarah?

****************************************

        Gempar seisi pelusuk negara hari itu. Semua penduduk diarahkan ke Istana segera. Yang sedang berkerja diarah pulang, yang sedang menorah getah, menanam padi, mengutip kelapa dihalau pulang supaya pergi ke istana. Yang sakit datang berpapah, yang buta datang berpimpin, yang capik datang bertongkat, yang…. Ah, pendek katanya semua penduduk dari setiap pelusuk berkumpul di perkarangan istana, menanti perihal apakah yang akan diumumkan sebentar lagi.

Apakah skim bantuan 1 pulau? Baucer membeli santan? Kenaikan elaun bomoh? Semua masih tertanya-tanya.


Bersambung....



Part 2


3 comments:

  1. perghhh...mantop.....best gile...bestt3

    ReplyDelete
  2. penulisan cerita ini,mmg menarik..sehinggakan pembaca,ada perasaan nk tahu apa yg akn terjadi sepas....selepas...

    ReplyDelete
  3. tahniah akh !!!
    anta memang penulis yang kreatif...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...